Menangguhkan Qadha’ Puasa dengan sengaja

Assalamualaikum ustaz,bagi perempuan yang tidak hamil yang tidak berjaya menqada’kan puasanya sampai tiba ramadhan seterusnya, namun dia sudah mengganti puasanya pada tahun yg seterusnya. Adakah dia perlu membayar fidyah?

Jawapan:

Ulama’ keseluruhannya bersepakat (ijma’) dalam menyatakan kewajiban Qadha’ puasa ramadhan yang ditinggalkan bagi orang yang mampu untuk mengqadha’kannya. Bagi mereka yang tidak berpuasa pada bulan ramadhan, maka dia wajib mengqadha’kannya sebelum tiba ramadhan yang seterusnya.

Ini berdasarkan hadith aisyah Radiallahu anha yang diriwayatkan oleh ibnu majah dalam kitabnya Sohiih Ibnu Majah, juga disahihkan oleh sheikh Al-bani:

كان يكون عليَّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجيء شعبان

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba”

Hadith ini menunjukkan perlunya qadha’ puasa ramadhan sebelum tiba ramadhan seterusnya.

Sekiranya dilambatkan puasa qadha’ tanpa keuzuran sehingga bertemu ramadhan seterusnya, maka para ulama’ dari mazhab syafie berpandangan wajib qadha’ puasa dan membayar fidyah. Pandangan ini disokong oleh Ibnu Umar, Abu hurairah, Mujahid, Ath-tahuri, imam malik, Auzaie dan Ishak. Ini kerana tindakannya mengambil ringan dalam melakukan perkara wajib sedangkan dia berada dalam berkemampuan. [1]

Juga berkenaan hall fidyah, adakah dibayar mengikut gandaan tahun? Atau hanya dibayar tanpa mengikut gandaan tahun?

Berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, hukumnya adalah harus. Ini bermakna, sekiranya puasa qadha’ dilambatkan sehingga selepas 2 kali ramadhan, maka harus digandakan fidyah berdasarkan tahun yang dilambatkan, juga tidak menjadi suatu kesalahan jika tidak digandakan. [2]

Kadar fidyah adalah satu mud/cupak makanan asasi. Cara mengira fidyah sudah dipermudah dengan adanya  kiraan fidyah yang disediakan oleh di laman sesawang Lembaga Zakat Selangor[3]

[1] Al-mughni, Jilid 3, m/s 153, no 2086

[2] http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/hukum-gandaan-fidyah-dan-kifarah

[3] http://www.e-zakat.com.my/kalkulator-zakat/fidyah/s

Ust Muhammad Mustafa bin Kamarudin
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *