Bertolak ansur dengan mereka yang konsisten menentang Islam?

sentuhalquran

Sejarah alam ini telah menyaksikan pelbagai cerita yang terlakar daripada pusingan warna-warni kehidupan  terutamanya makhluk yang diberi nama manusia. Meskipun alam ini sentiasa berubah-ubah dari segi tamadun, kemajuan teknologi mahupun intelek, terdapat satu perkara yang pasti kekal dan tidak akan sesekali terhapus sehinggalah hari kiamat. Perkara yang dimaksudkan ialah pertembungan antara kebenaran (haq) dan kesesatan (batil).

Pertembungan ini akan kekal dan terus mewarnai perjalanan sejarah dunia ini meskipun pertembungan itu berubah dari segi corak, rentak, pendekatan, serta watak. Dalam tulisan ini anda mungkin tidak mendapati kisah-kisah pertembungan ini secara terperinci kerana fokus tulisan ini akan berkisar tentang beberapa hakikat pertembungan ini serta salah faham  pendekatan seseorang yang mengaku memegang panji kebenaran.

Pertembungan Dari Langit

Bilakah bermulanya sejarah pertembungan ini? Sejarahnya bermula sejak detik pertama penciptaan manusia oleh Allah SWT.

 قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghiaskan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka kesemuanya.

(Surah Al-Hijr:39)

Begitulah kisah pertembungan dari langit yang telah berkembang hingga ke bumi. Malah kisah pertembungan yang berlaku sekarang adalah kesinambungan dari janji seorang musuh Allah dan musuh agama ini yang akan ditepati sehinggalah ke hari kiamat.

Kisah Pertembungan Terhebat

Dalam banyak-banyak kisah pertembungan, antara kisah yang selalu diulang-ulang dan terkenal ialah kisah Nabi Musa dan Firaun. Malah dalam al-Quran kisah ini diulang sebanyak 10 kali dalam Al-Quran bersama dengan konteks tertentu dan pengajaran yang tertentu.

Perkara paling ajaib dalam kisah ini ialah bagaimana seorang manusia telah mengaku diri sebagai tuhan dan memaksa orang lain menyembahnya. Manusia yang dimaksudkan adalah Firaun yang kata-kata bongkaknya itu telah dirakamkan dalam al-Quran,

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَىٰ

Dia (Firaun) berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.

(Surah An-Naziat: 24)

Disebabkan kisah ini membawakan satu bentuk kesesatan yang amat dasyat, Allah telah menyediakan satu perlawanan yang setimpal di pihak kebenaran, lalu jadilah kisah kedua-dua pihak Nabi Musa dan Firaun yang sudah maklum dalam masyarakat ummat Islam. Oleh sebab itu terdapat banyak pengajaran dan dapatan yang boleh diperolehi dalam ini dan dianalisis menjadi kaedah-kaedah yang cuba disesuaikan dengan situasi zaman ini.

Akan tetapi, sesuatu kaedah analisis yang salah akan membawa kepada satu formula yang salah dan meghasilkan satu keyakinan yang berdiri atas dasar prinsip yang goyah. Lebih teruk situasinya jika analisis terhadap cerita ini sengaja diambil dari satu sudut sahaja untuk membenarkan beberapa langkah songsang yang diambil dalam berinteraksi dengan dunia kesesatan zaman moden ini.

Tafsiran dalam Konteks yang Sempit

Baru-baru ini kita sering terdengar satu prinsip ataupun kaedah berdakwah yang kelihatan asing dan memeningkan. Kaedah yang dimaksudkan ialah:

kita bersama dengan musuh dalam satu platform dan memperjuangkan perkara hak asasi manusia dalam kerangka yang boleh disepakati bersama, dalam masa yang sama kita cuba menyampaikan mesej Islam. Dikatakan dengan cara itu dakwah akan dapat dijalankan secara dekat, beransur-ansur dan berkesan’

Kaedah dan prinsip ini telah dimasyhurkan dengan memetik  sepotong ayat al-Quran mengenai peristiwa yang dicatatkan dalam kisah pertembungan terhebat antara haq dan batil, kisah Nabi Musa dan Firaun. Ayat tersebut ialah wahyu Allah kepada Nabi Musa ketika arahan dikeluarkan kepada baginda untuk menyampaikan dakwah kepada Firaun:

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

Dan ucapkanlah kepada mereka ucapan yang lemah lembut moga-moga mereka beringat ataupun takut.

(Surah Taha: 44)

Adakah ayat ini merupakah hujah yang tepat untuk membenarkan langkah sesetengah pihak yang bergabung dengan musuh untuk menyampaikan dakwah? Mari kita lihat beberapa titik penting untuk meneliti perkara ini.

Ayat ini adalah pada permulaan tugas dakwah Nabi Musa. Malah ketika wahyu ini diturunkan kepada Nabi Musa, baginda masih belum berjumpa lagi dengan Firaun sebagai seorang Nabi. Maka adalah masuk akal apabila pendekatan paling awal sekali dalam menyampaikan dakwah adalah dengan perkataan yang lembut dan menusuk jiwa.

Malah dalam permulaan zaman dakwah Nabi Muhammad di Mekah juga tiada suruhan untuk berperang mengangkat senjata. Syeikh Ali As-Sabuni dalam menafsirkan ayat 190 Surah Al-Baqarah telah menggariskan beberapa hikmah Allah menahan orang Islam berperang di Mekah. Antaranya ialah keadaan ummat Islam yang jumlahnya sedikit dan lemah yang mana jika diarahkan untuk berperang, nescaya agama ini akan terus terhapus bersama penganutnya yang sedikit ketika itu. Akhirnya percaturan Allah menginginkan Nabi dan umat islam berhijrah ke Madinah, membina kekuatan dan akhirnya difardukan ke atas mereka untuk berjihad melawan kekufuran.

Oleh itu, ayat ini langsung tidak boleh dipakai dalam situasi di Malaysia apabila kita berhadapan dengan manusia yang secara konsisten menentang Islam sejak beberapa tahun yang lalu melalui pertubuhan dan desakan seperti IFC, LGBT dan Seksualiti Merdeka dalam keadaan mereka memahami bahawa negara Malaysia ini adalah negara yang mana termaktub dalam perlembagaannya Islam sebagai agama persekutuan.

 Imam Al-Qurtubi menghuraikan ayat ini dengan mengatakan bahawa arahan untuk bercakap dengan perkataan yang lembut itu dikhususkan untuk berdakwah kepada orang yang mempunyai kuasa. Dalam ayat ini Firaun mampu melakukan apa sahaja ke atas Nabi Musa kerana kuasa yang dia ada. Maka Allah menyuruh supaya Nabi Musa mengucapkan perkataan yang lembut.

Dalam situasi Malaysia, situasi ini langsung tidak berlaku kerana orang yang mahu didakwah tidak ada apa-apa kuasa ke atas diri kita. Mereka hanya rakyat biasa yang cuba meraih sokongan orang ramai untuk menggugat negara ini menerima sistem bukan Islam dan budaya songsang.

 Jika betul-betul mahu mencontohi kisah epik perjalanan dakwah Nabi Musa ini, contohilah secara keseluruhan kerana dakwah Nabi Musa bukan hanya terhenti dengan percakapan yang lembut. Malah lebih daripada itu, baginda bertembung sendiri dengan ahli sihir Firaun, membentangkan mukjizat bagi melawan sihir mereka, dan akhirnya dikejar oleh Firaun sehinggalah diselamatkan oleh Allah dengan menyeberangi Laut Merah dengan selamat.

Imam Tohir Ibnu Asyur dalam tafsirnya At-Tahrir Wat-Tanwir ada menekankan pendekatan Nabi Musa ketika berdebat dengan Firaun dalam  ayat 28 Surah As-Shu’ara’ yang mengandungi kata-kata Nabi Musa yang bebaur ejekan kepada Firaun. Beliau menghuraikan bahawa memang Nabi Musa menggunakan kata-kata yang lembut pada permulaan dialog, namun apabila Firaun menunjukkan kesombongan dan memperlekehkan Nabi Musa dengan menyifatkannya sebagai gila, maka Nabi Musa membalas balik dengan mengatakan:

 قَالَ رَبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

 “Dialah Allah, Tuhan yang menguasai Timur dan Barat, (kamu akan dapat menerima Allah sebagai Tuhan)  jika kamu mampu menggunakan aqal kamu”.

Nabi Musa telah menunjukkan bahawa betapa kita perlu untuk berlawan dengan kesesatan jahiliyah batil ini dengan perkara yang setimpal dengannya atau lebih untuk mengalahkannya. Debat lawan dengan debat, hujah lawan dengan hujah, sihir berlawan dengan mukjizat.

Dalam situasi Malaysia, tak perlu untuk kita nyatakan berapa banyak cubaan untuk menggugat ketuanan Islam, malah kedaulatan negara ini. Bahkan cubaan-cubaan ini sudah sampai kepada desakan luar negara seperti yang kita lihat dalam isu COMANGO yang mana tuntutan hak asasi yang jelas menghalang pelaksanaan syara’ dan mengkucar-kacirkan norma-norma kesopanan yang diamalkan di negara ini.

Lalu, apakah sesuai untuk kita balas perbuatan mereka itu dengan langkah berkerjasama dan bertolak-ansur dengan mereka? Sudah tentu tidak. Pertembungan ini mesti dibalas dengan perkara yang setimpal atau lebih agar kemaslahatan umat Islam di bumi Malaysia terjaga.

Kesimpulan

Umat Islam perlu sedar bahawa mereka sentiasa berada dalam pertembungan dengan musuh yang membawa kesesatan, samada kesesatan itu berbentuk sistem, pemikiran, hiburan ataupun individu, semuanya perlua ditentang dengan penuh bijaksana dan setimpal.

Moga kita sebagai seorang Muslim dapat menjiwai apa yang dikatakan oleh As-Syahid Sayyid Qutb dalam menanamkan kefahaman asas seseorang. Kefahaman yang memandu seluruh kehidupan dalam dunia yang penuh dengan pertembungan antara haq dan batil ini. Kata-kata tersebut telah ditulis ketika menghuraikan Surah Al-Qalam, malah sering diulang-ulang dalam tulisannya yang lain. Kata Sayyid Qutb:

“Tidak mungkin Islam dan jahiliyah menemui titik pertemuan di pertengahan jalan. Bahkan kedua-dua ini tidak akan bertemu pada mana-mana jalan sekalipun. Begitulah keadaan Islam dalam berinteraksi dengan jahiliyah pada setiap masa dan tempat. Samada jahiliyah hari ini, atau jahiliyah esok, semuanya sama. Sesungguhnya jurang antara keduanya tidak akan ada jambatan mahupun hubungan. Sesungguhnya ia adalah satu pertembungan yang mutlak, mustahil untuk wujud persefahaman”.

Wallahua’lam.

 

 

 

Ustaz Muhammad bin M Hassan
Kuliah Usuluddin Tahun 2, 2014/2015
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *