IS: Kewujudan sebagai usaha untuk merosakkan kalam Jihad

ISIS

Kenyataan bahawa gerakan Islamic State (IS) yang sedang hangat diperkatakan pada hari ini mendapat dana daripada Amerika Syarikat adalah suatu perkara yang sudah daimaklumi oleh hampir seluruh umat Islam di dunia. Pelbagai teori atau fakta telah dibentangkan menunjukkan bagaimana absahnya akan kenyataan tersebut bahkan Amerika Syarikat sendiri tidak pernah ambil kisah ‘rahsia’ dana ini dibentangkan kepada umum.

Namun yang menjadi suatu tanda tanya lebih utama yang sepatutnya kita fikir adalah: adakah kita faham apakah tujuan atau strategi daripada kewujudan gerakan ekstrimis sebegini? Apa yang musuh mahukan apabila mereka sanggup melabur berjuta-juta USD demi kewujudan gerakan ini? Adakah ianya sekadar bagi memastikan keberadaan musuh-musuh Islam di Timur Tengah? Atau sekadar demi kepentingan minyak sahaja?

Selok belok permainan ini perlu kita faham dengan betul, supaya akhirnya kita tidak terjerat dengan strategi ini. Gagal dalam memahami perkara ini boleh menyebabkan adakalanya kita menentang gerakan ektremis ini dengan pelbagai seruan tetapi dalam keadaan tidak sedar kita terpengaruh ke arah cara fikir yang musuh mahukan daripada kewujudan gerakan ini.

Ini terjadi kerana kita hanya tahu bawa gerakan tersebut dijana oleh musuh namun kita tidak mampu memahami apakah strategi disebalik pelaburan tersebut, atau boleh disebut bahawa kita gagal melihatnya dalam kerangka yang menyeluruh. Bagi saya inilah antara pemasalahan umat pada hari ini, kita selalu melihat setiap persitiwa yang berlaku di sekeliling kita secara terpecah-pecah hingga tidak mampu mengaitkan antara satu sama lain.

Pertembungan ideologi

Perkara pertama yang paling asas serta perlu kita tanam dalam cara fikir pada hari ini adalah apa sahaja yang sedang terjadi pada dunia hari ini adalah sebuah pertembungan ideologi. Bukan setakat pada hari ini, bahkan sejak daripada dahulu hinggalah terjadinya kiamat kelak. Samada ianya adalah bertembungan mereka yang bertuhankan hawa nafsu menentang golongan al-haq atau pertembungan yang berlaku sesama mereka yang bertuhankan hawa nafsu.

Kefahaman inilah yang Allah SWT didik dan semai dalam jiwa sahabat ra didalam banyak ayat Al-Quran juga Hadis. Supaya akhirnya ketika mana sahabat ra mengangkat senjata demi jihad peperangan kelak, mereka faham hakikat pertembungan ini dengan penuh kejelasan.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. (Al-Baqarah:120)

Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya (At Tawbah:32)

Dan katakanlah: Telah datang al-Haq (Islam) dan hilang lenyaplah perkara al-Batil (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap (Al-Isra’:81)

Penentangan musuh-musuh tersebut bukanlah atas dasar harta, kuasa dll semata-mata. Ianya lebih besar daripada itu iaitu memenangkan ideologi bertuhankan hawa nafsu mereka. Sebab itulah mereka sanggup mengorbankan harta, kuasa, masa, tenaga dan lain-lain demi pertembungan ini. Kerana mereka sedar ideologi jauh lebih besar nilainya berbanding perkara-perkara tersebut.

Yang musuh mahukan bukanlah kamu menyerahkan harta kamu tetapi mereka mahukan supaya kamu tinggalkan ideologi kamu.  Mereka sanggup lakukan apa sahaja asalkan demi memenangkan ideologi mereka.

Runtuhnya umat Islam pada hari ini antara sebabnya adalah apabila kita gagal memahami sifir pertembungan ini. Lalu kekaburan itu melahirkan sifat naif dalam memahami apa yang sedang berlaku disekeliling kita. Sebahagiannya hanya menyangka ianya adalah sekadar sebuah pertembungan demi memberi kebajikan pada rakyat serta sebahgian lain hanyalah sekadar perebutan sesuatu kepentingan seperti minyak dan tidak lebih daripada itu. Kenaifan itu juga kemudiannya memandu kita kearah gagal dalam menghasilkan sebuah solusi yang tepat.

Lebih menyedihkan lagi, kelak mereka yang bersikap naif ini hanya akan menjadi bidak di atas papan catur kepada musuh tanpa mereka sedari.

Tiada beza antara Liberalis dan Ekstrimis

Apabila kita faham sifir pertembungan ini maka kita akan faham bahawa musuh tidak akan membuat sesuatu tanpa sebarang tujuan. Ketika mana mereka melabur samada duit, tenaga, keringat atau apa sahaja  sudah tentu pelaburan tersebut mempunyai tujuan yang sama iaitu memadamkan cahaya al-Haq. Mereka sangat jelas dengan matlamat ini.

Maka pelaburan yang mereka lakukan terhadap golongan ekstrimis ataupon golongan liberal dalam Islam kesemuanya bertujuan untuk merosakkan Islam itu sendiri. Yang berbeza hanyala pada cara bergerak atau wacana yang digunakan kedua pihak tersebut. Ekstrimis akan terus menyeru kearah kekerasan dan melampau dalam agama sedangkan Liberal akan menyeru kearah meringan-ringan hingalah umat mengabaikan Islam itu secara keseluruhan.

Kedua-dua gerakan ini akan menyebabkan umat Islam jauh daripada kefahaman Islam yang benar, yang wasatiyyah.

Syiekh Ali Qarah Daghi adalah antara ulama kontemporari yang menyedari permainan strategi ini oleh musuh terhadap umat Islam:

“Umat Islam Sunni pada hari ini diserang dengan menggunakan slogan Islam itu sendiri, slogan mengkafirkan orang lain melalui golongan ekstrimis serta fahaman sesat melalui golongan liberal seperti yang kita saksikan di kebanyakkan Negara Islam” (http://iumsonline.org/ar/Default.asp?ContentID=8344&menuID=6)

alfateh

Jihad lambang kemulian

Dalam Islam, jihad adalah antara instrumen yang tersangat penting. Ianya menjadi suatu lambang kemulian dan keizzahan umat Islam, ianya juga boleh dikatakan sebagai nadi kepada umat itu sendiri. Umat Islam menjadi mulia salagi mana berpegang kepada jihad begitu juga akan menjadi hina bilamana meninggalkan jihad ini. Berkata Saidina Abu Bakar ketika mana dilantik menjadi khalifah yang pertama:

Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).

Jihad adalah suatu instrument yang sangat suci dan jauh daripada sebarang kerendahan. Suci kerana ia membebaskan manusia daripada penyembahan hawa nafsu menuju kepada keluasan Tuhan yang memiliki seluruh alam semesta ini. Sejarah Islam menjadi saksi bagaimana apabila umat berpegang kepadanya dengan teguh ianya melayakkan umat untuk memerintah dunia ini selama ribuan tahun.

Musuh menyedari hal ini lalu mereka mewujudkan kelompok ekstrimis untuk merosakkan istilah ini. Islamic State (IS) diwujudkan supaya umat Islam khususnya dunia amnya keliru akan kefahaman yang sebenar terhadap jihad. Jihad digambarkan sebagai suatu perkara yang kejam, penuh dengan pertumpahan darah hinggakan seolah-olah seorang mujahid ini adalah manusia yang sudah hilang akal serta tiada perikemanusian.

Bila sahaja disebut jihad maka akan terbayanglah gerakan ekstrimis ini. Bila sahaja diperkatakan berkenaan daulah Islamiyyah terus dibayangi kegelapan Islamic State (IS). Bila sahaja diseru istilah khalifah terus dihantui gambaran khalifah yang telah membunuh kejam ribuan orang yang tidak berdosa. Inilah yang musuh mahukan, merosakkan istilah-istilah jihad yang ada dalam jiwa umat, memastikan seekor singa untuk terus menjadi kijang yang pengecut.

Kesimpulan

baghdadi

Tanpa kita sedari, kewujudan IS ini mempengaruhi cara fikir sebahagian masyarakat secara tidak langsung. Baru-baru ini, seorang rakan saya berpeluang menghadiri suatu forum berkenaan menolak kefahaman IS ini. Beliau menceritakan pada saya bagaimana kesan kewujudan IS ini berjaya mempengaruhi sebahagian umat Islam di Malaysia yang hadir dalam forum tersebut.

Mereka menjadi fobia atau takut untuk menyebut istilah-istilah jihad, Negara Islam dll kerana takut digelar sebagai golongan ekstrimis. Istilah-istilah ini dilihat seolah-olah bertentangan dengan rahmatan lil alamin yang selalu mereka serukan pada masyarakat. Lalu jihad ini seolah-olah telah tidak relevan lagi untuk disebut dan dibincangkan pada hari ini, bagi mereka yang perlu pada hari ini adalah dialog serta perbincangan sahaja.

Mereka juga menyeru masyarakat supaya menolak ulama yang banyak menyebut berkenaan jihad yang pada hakikatnya ulama-ulama tersebut menyebut dalam konteks yang benar. Ulama seperti Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Syed Qutb dan lain-lain dituduh sebagai golongan agamawan yang menyeru ke arah ekstrimis dan perlu diharamkan. Kitab Fi Zilal Quran karangan Syed Qutb dituduh menjadi penyebab kepada kewujudan fahaman ekstrimis ini.

Bahkan kesan tersebut dilihat sampai ke peringkat golongan yang memperjuangkan isu Palestin, Iraq, Syria serta dunia Islam lain juga turut dilihat oleh mereka sebagai menyeru kearah keganasan dan perlu disekat. Pejuang Palestin seperti HAMAS diletakkan sebaris dengan gerakan IS. Inilah antara kesan cara fikir yang melanda umat akibat kewujudan gerakan ektrimis ini, mereka menentang IS tetapi terperangkap dengan permainan musuh Islam.

Strategi ini perlu dilihat dengan teliti oleh umat Islam agar kita tidak jatuh kedalam fitnah ini. Imam As Syahid Hasan Al-Banna mengingatkan kita tentang hakikat jihad yang perlu kita fahami dan berpegang padanya:

Jihad yang saya maksudkan di sini ialah: satu kewajiban yang berterusan hingga ke hari qiamat…..Da’wah tidak akan hidup tanpa jihad. Sejauhmana ketinggian dan ruang lingkup da’wah pada jalan allah , begitulah juga ketinggian dan keluasan ruang lingkup jihad pada jalan Allah (Rukun Jihad, Risalah Ta’lim)

Islam adalah Islam dan juga jihad adalah jihad. Tiada istilah Islam Liberal atau Islam Ekstrimis, yang ada hanyalah Islam yang diturnkan kepada Rasulullah SAW melalui petunjuk Al-Quran dan As Sunnah. Yang ada hanyalah samada kita berada atas Islam yang benar atau berada dalam kesesatan yang gelap.

Musuh mahukan agar apabila kita menolak fahaman liberal kita akan terjatuh ke lembah kesesatan ektrimis serta apabila kita menentang fahaman ekstrimis kita akan tergelincir ke lembah kesesatan liberal.

Moga Allah memelihara kita semua daripada dua fahaman yang memesongkan ini.

 

firdaus
 
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *