Tidak laksana Syariat Islam adalah maksiat seperti tidak Solat

hdudu

Melaksanakan Syariat Islam seperti Hudud dan Qisas sama tanggungjawab akan kewajipannya  dengan konteks Ibadat seperti mendirkan solat serta sama dalam konteks Ibadat (penyembahan) dengan agama Budha dalam amalan menyembah tokong pada mereka yang beragama Budha. Tiada beza akan tanggungjawab kewajipan kedua perkara tersebut.

Ini yang tidak difahami oleh orang kafir, dan kebanyakan orang Islam.

Ramai menganggap bahawa printah dalam Islam hanyalah solat, puasa, pergi Haji, bayar zakat sahaja. Mereka tidak faham bahawa sebagaimana perintah untuk solat, begitu jugalah perintah untuk mendirikan syariat Islam. Mereka berasa serba salah apabila meninggalkan solat namun tidak merasa serba salah apabila memperlekeh atau tidak berusaha melaksanakan syariat Islam.

Padahal konteks kefardhuan kedua perkara tersebut adalah sama, hanya bezanya ialah Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Satu perlu dilaksanakan dalam konteks individu, satu lagi dalam konteks Jamaah.

Fardhu Ain : merupakan suatu kewajipan yang menjadi taklif (tanggungjawab) yang mesti ditunaikan oleh setiap individu.

Fardhu Kifayah pula suatu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh kelompok tertentu dan mengangkat kewajipan tersebut bagi keseluruhan umat yang lain.

contoh bagi Fardhu Ain : solat, puasa, menunaikan zakat, pergi Haji

contoh bagi Fardhu Kifayah : mendirikan syariat Islam, mewujudkan negara Islam, mendirikan Khilafah Islam, menentang musuh Islam, menyebarkan agama Islam dan lain-lain lagi. kedua-duanya merupakan Fardhu di sisi umat Islam.

Maksud Fardhu ataupun Wajib ialah : Suatu perintah Jika dibuat mendapat pahala, dan jika ditinggalkan mendapat dosa. Maka perkara ini juga terjadi dalam kedua jenis fardhu tersebut, anda meninggalkan solat anda dapat dosa begitu juga anda meninggalkan pelaksanaan syariat anda juga mendapat dosa. Tiada beza.

Ada yang berkata Fardhu Kifayah ertinya ada sekumpulan telah melaksanakan maka telah terangkat kewajipan tersebut kepada baki umat Islam.

Sudi saya jelaskan bahawasanya : erti Kifayah yang dimaksudkan ialah perkara tersebut telah selesai dan sempurna. Selagi mana perkara tersebut belum selesai, semua umat Islam masih dituntut untuk mendirikannya dengan kemampuan masing-masing. Barang siapa yang tidak mengerjakannya berdasarkan kemampuan masing-masing, maka dosa akan sentiasa tergantung di tengkoknya walaupun dia solat, puasa, dan membayar zakat.

Islam agama yang tidak sama seperti kepercayaan-kepercayaan lain seperti Budha dan lain-lain, yang hanya mempunyai cara persembahan dan juga sikap baik yang perlu dilaksanakan. Undang-undang dalam kehidupan diletakkan oleh manusia itu sendiri berdasarkan kemampuannya berfikir.

Adapun Islam datang dengan syariat yang lengkap meliputi agama dan dunia iaitu ibadat, muamalat, jinayat, akidah, akhlak, siayasah, untuk memandu segala urusan kehidupan manusia keseluruhannya.

Sebab itu kenyataan saya di atas sebegitu rupa supaya orang Islam yang tidak mengerti dan orang Kafir tahu bahawasanya tiada perbezaan antara melaksanakan Solat dan mendirikan syariat Islam.

Ini juga yang dapat dilihat daripada konteks ayat al-Quran yang memberi arahan yang sama dalam Shigah ( cara perkataan ) yang sama.

Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran :

(يا أيها الذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون)

Ertinya : wahai orang beriman, sesuguhnya telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana yang telah diwajibkan kepada golongan yang sebelum kamu semoga kamu bertaqwa.

Ayat di atas menerangkan tentang perintah kewajipan berpuasa kepada umat Islam.

Dalam surah yang sama juga iaitu surah al-Baqarah Allah s.w.t berfirman :

(يا أيها الذين امنوا كتب عليكم القصاص في القتلى)

Ertinya : wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu mendirikan Qisas terhadap pembunuhan yang berlaku.

Ayat yang pertama dan kedua tadi telah menggunakan perintah wajib yang sama iaitu ((كتب dalam urusan Qisas kepada pembunuh seperti yang digunakan dalam hal puasa. Begitu jugalah terdapat dalam banyak ayat-ayat al-Quran perintah wajib yang menggunakan sighah yang sama dengan perkara yang melibatkan Fardhu Ain dan perkara yang melibatkan Fardhu Kifayah.

Kekeliruan inilah yang menyebabkan lahirnya kefahaman sekular dan diterima oleh kebanyakan orang yang jahil.

Seolah-olahnya Islam itu hanya terletak di dalam Masjid semata-mata. Dalam urusan pentadbiran negara serahlah kepada ahlinya.

Orang Islam perlu yakin dengan sebenar-benar keyakinan bahawa Allah s.w.t sahaja yang layak meletakkan undang-undang dan peraturan dalam kehidupan. Manusia sentiasa lemah dan akalnya cetek.

Oleh itu, segala peraturan dalam kehidupan ini mestilah berpandukan kepada agama Islam. Jikat tidak, sama sahaja jika mereka meniggalkan solat dengan mereka tidak melaksanakan undang-undang Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Baqarah :

أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض فما جزاء من يفعل ذلك منكم الا خزي في الحياة الدنيا ويوم القيامة يردون الى أشد العذاب))

ertinya : adakah kamu beriman dengan sebahagian kitab/kewajipan dan kufur dengan sebahagian yang lain? maka tidaklah sesiapa yang berbuat demikian daripada kalian kecuali mendapat kehinaan didunia dan di hari akhirat kelak akan di mendapat azab seksaan yang pedih.

Oleh yang demikian, saya menyeru dan mengajak seluruh umat Islam mengetahui perkara ini dengan jelas. Kerana sepertimana kita dituntut untuk solat, begitu jugalah kita dituntut untuk melaksanakan syariat Allah dan mendirikan agama Islam semula.

Juga perlu kita faham apabila dikatakan meninggalkan solat adalah maksiat, begitu jugalah apabila meninggalkan pelaksanaan syariat Islam juga adalah suatu maksiat.

Marilah kita berganding bahu untuk tujuan yang murni ini. Semoga Islam kembali tertegak di bumi Malaysia tercinta ini.

Wallahuallam.

 

ikram abu hasan

 
 
Ust Muhammad Ikram Abu Hassan
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *