Syiekh Wagdy Ghoneim : 10 prinsip demokrasi berlawanan Islam

demokrasi islam

Barat yang tiada agama dan memerlukan kepada sebuah sistem yang adil mencipta sistem demokrasi, tetapi kita sebagai orang Islam dan diantara ciri-ciri Islam adalah agama yang Rabbani, dan datang dari sisi Allah, yang tidak ada kekurangan padanya.

Di sisi kita (Islam) ada Syura, juga terdapat surah Asy-Syura dalam Al-Quran malah dalam sirah kita dipenuhi dengan perkara berkaitan syura. Maka mengapakah kita masih memperkatakan tentang demokrasi?

Kita adalah Muslim dan kita mempunyai istilah-istilah kita sendiri dan ciri-ciri Islam kita, mengapakah mahu mengambil dan mengimport dari luar sedangkan cukuplah Allah bagi kita? Dengan ilmu pengetahuan pada diriku ini, sesungguhnya prinsip-prinsip demokrasi itu seluruhnya kufur dan bertentangan dengan Islam pada tsawabit syar’iyyah. Terdapat sepuluh asas dan prinsip yang seluruhnya bertentangan dengan syariat Allah SWT:

Prinsip pertama: Ketuanan Rakyat
Bermakna hakim tunduk di bawah pandangan rakyat.
Pada sisi Islam, sama sahaja kedudukan antara hakim dan yang dihakimi pada ketundukan mereka kepada ketuanan dan kekuasaan Allah. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-An’aam ayat 57:

إن الحكم إلا لله
“Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum”

Prinsip kedua: Kebebasan beragama dan iktikad
Bermakna siang Muslim, malam Kristian, esok Buddha, dan tiadanya murtad.
Pada sisi Islam, tiada paksaan dalam beragama tak bermakna bebasnya iktikad, bahkan Islam menyuruh dan mewajibkan beriman dengan Allah dan mengikut Rasul-Nya dan perlunya menjelaskan yang haq dan membezakannya dari yang batil.

Prinsip ketiga: Rujukan pada rakyat ketika konflik
Bermakna mengembalikan permasalahan perbezaan pendapat kepada rakyat dan mereka menghakimi semahu mereka.
Pada sisi Islam, rujukan kita pada Al-Quran dan As-Sunnah sepertimana firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa’ ayat 59:

 فإن تنـ’ـزعتم في شيء فردوه إلى الله والرّسول إن كنتم تؤمنون بالله واليوم الآخر

“Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (As-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.”

Prinsip keempat: Kebebasan bersuara dan pendedahan
Contohnya Denmark telah melukis nabi kita Rasulullah SAW dan menghina baginda.
Pada sisi Islam, kebebasan kita terikat dengan syariat Allah yang benar, maka terhinalah yang batil dan terangkatlah yang haq. Bahkan diiktibar kafir jika seseorang itu menghina sesuatu perkara dari syariat Allah.

Prinsip kelima: Pengasingan antara agama dan negara
Bermakna tiada urusan Allah dalam urusan kehidupan manusia. Ini adalah sekularisasi yang jelas dan murtad juga kafir secara terang-terangan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 85:

أفتؤمنون ببعض الكتـ’ـب وتكفرون ببعض فما جزآء من يفعل ذ’لك منكم إلا خزي في الحيـ’ـوة الدّنيا ويوم القيـ’ـمة يردّون إلى أشدّ العذاب
“Maka patutkah kamu (bani Israil) hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat.”

Pada sisi Islam, jelas pada firman Allah Taala dalam surah Al-An’aam ayat 162-163:

قل إنّ صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين لا شريك له وبذ’لك أمرت

“Katakanlah sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan.”

Prinsip keenam: Kebebasan individu

Bermakna kebebasan berzina, minum arak, bertelanjang dan sebagainya. Pada sisi Islam, kebebasan itu adalah bebasnya seorang hamba itu dari perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Allah dan bebasnya seseorang hamba itu daripada segalanya kecuali hanya pada Allah dan terikatnya dia pada syarak yang suci.

Prinsip ketujuh: Kebebasan membentuk parti dan perkumpulan politik
Bermakna kebebasan membentuk parti atau kumpulan komunis, sekular dan sebagainya. Pada sisi Islam, pembentukan parti dan kumpulan hanya untuk Islam sahaja dan pembinaannya dibina atas syarak dan berpegang padanya, membantunya dan mempertahankannya tanpa taasub kepada jemaah atau individu, bahkan mengikut yang haq dan menerimanya.

Prinsip kelapan: Majoriti mutlak dalam undang-undang
Bermakna jika majoriti mahukan penjualan arak, maka dibolehkan.
Pada sisi Islam, tiada syura terhadap apa yang disebut dalam nas Al-Quran dan As-Sunnah, kerana jika datangnya nas Al-Quran dan As-Sunnah maka terbatallah dan tertolaklah permintaan dan qias.

Prinsip kesembilan: Persamaan antara orang yang baik dan jahat
Bermakna kesamaan dalam bertanding bagi jawatan (antara Muslim & kafir), penyaksian dan sebagainya.
Pada sisi Islam, jelas firman Allah SWT:

أفنجعل المسلمين كالمجرمين مالكم كيف تحكمون

“Patutkah kami (berlaku tidak adil) dengan menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)?” [AL-Qalam: 35]

أفمن كان مؤمنا كمن كان فاسقا لا يستوون
“Maka adakah orang yang beriman sama seperti orang-orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).”  [As-Sajadah: 18]

Prinsip kesepuluh: Tuan yang sebenar kepada harta adalah rakyat
Bermakna harta itu dibahagi mengikut apa yang mereka (rakyat) mahukan. Sama sahaja pengiraan dan pembahagian antara halal dan haram.
Pada Islam, pengiraan dan pembahagian harta dan segala apa yang berkaitan dengannya terikat dengan hukum yang telah ditetapkan yang menjaga hak Allah dan hak manusia. Firman Allah:

وءاتوهم مّن مال الله الذى ءاتـ’ـكم
“Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu” [An-Nur:33]

ولا تؤتوا السفهآء أمو’لكم الّتي جعل الله لكم قيـ’ـما
“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu sebagai asas pembangunan kehidupan kamu” [An-Nisa’: 5]

Islam adalah agama Allah, kita dimuliakan Allah kerana Islam, dan kafir tidak memahami ini. Sesiapa yang beriman dengan demokrasi, maka dia telah mengalahkan dirinya sendiri ataupun pergi bersama ahli batil. Kami mengatakan yang tsawabit (perkara tetap & asas) dan kami tidak takut malah tidak malu dengan agama kami dan dari tindak balas mahupun respon barat pada hukum hakam Tuhan kami.

 

Diterjemah dan disunting oleh:
Ust Izzat Husman
Ahli Majlis Pelapis Ulama ISMA (MUIS Mesir)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *