‘Pejuang Islam’ yang tidak malu kepada Allah SWT

sister in islam_2Umat Islam pada hari ini diserang dari pelbagai sudut, samada dengan musuh yang secara jelas memusuhi Islam atau sebahagian golongan yang mengaku sebagai  pejuang Islam pada hari ini tetapi hakikatnya mereka cuba merosakkan Islam dari dalam dengan pelbagai wasilah.

Antara wacana yang mereka seru adalah mengangkat demokrasi keseluruhannya sehingga seolah-olah ianya adalah sebahagian daripada sistem politik Islam, mengagungkan liberal serta falsafah barat sehingga seolah-olah ianya adalah sebahagian daripada fikrah Islam, memperlekeh perkara-perkara yang sangat asas di dalam fiqh, hinggakan mengangkat tokoh-tokoh barat sehingga seolah-olah merekalah ulama Islam dan pelbagai perkara lagi.

Segala tindakan mereka ini adakalanya menyebabkan saya terfikir sifat apakah yang menolak mereka untuk bertindak sedemikian? Tidakkah mereka rasa bersalah apabila memperlekehkan agama yang mereka sendiri anuti? Tidakkah mereka berasa malu untuk menghancurkan Islam menggunakan hujah nas-nas syarak itu sendiri?

Saya amat yakin mereka bukanlah bertindak atas kejahilan.  Mereka tahu akan kebenaran juga mereka tahu apa yang mereka perjuangkan itu adalah kebatilan namun ada suatu sifat yang akhirnya menolak mereka untuk terus perjuangankan seruan fasad tersebut tanpa rasa bersalah. Tindakan mereka ini tidak ubah seperti perangai Bani Israel yang Allah SWT sifatkan di dalam Al-Quran:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِى ٱلۡكِتَـٰبِ‌ۙ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, (Al-Baqarah : 159)

Mereka menyembunyikan kebenaran! Bukanlah mereka jahil akan kebenaran.

Persoalan ini akhirnya terjawab apabila saya membaca sebuah kitab karangan Syiekh Muhammad Tatay yang merupakan seorang ulama terkenal di Perancis. Kitab Iydhah al-Ma’ani al-Khafiyyah fi al-Arba’in al-Nawawiyyah adalah tulisan beliau mensyarahkan 40 Hadis Imam Nawawi. Di dalam Hadis ke 20 yang menyebut:

عن أبي مسعود عقبة بن عمرو الأنصاري البدري رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلي الله علية وسلم : ( إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى : إذا لم تستح فاصنع ما شئت

Daripada Abi Mas’ud Uqbah bin Amru Al-Ansori Al-Badri RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:  Antara ungkapan yang telah dikenal orang-orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah:  Jika engkau tidak malu perbuatlah apa yang engkau suka . (Riwayat Bukhari)

Syiekh Muhammad Tatay pada awalnya menyebut maksud malu yang dimaksudkan disini bukan sekadar malu kepada makhluk, tetapi ianya lebih syumul meliputi malu kepada Allah SWT. Kemudian beliau menjelaskan bagaimana penyakit ini melanda sesetengah kelompok orang Islam yang mengaku kononnya mereka adalah da’ie (menyeru manusia kepada Allah SWT):

Sebahagian manusia hari ini ada yang kononya mengaku sebagai da’ie namun tindakan mereka jelas menunjukkan mereka ingin menghancurkan Islam. Hakikatnya mereka ini adalah manusia yang tidak ada walaupun secebis perasaan malu kepada Allah SWT. Mereka tidak berasa bersalah mempermainkan hukum Allah berdasarkan hawa nafsu mereka, bahkan mereka mempergunakan dalil-dalil Islam itu sendiri untuk menentang Allah dan RasulNya. Tanpa perasaan malu juga mereka tunduk dan patuh kepada yahudi dalam semua sudut termasuk dalam mengkhianati Al-Quds. Mereka menyeru kearah pendamaian dengan menggunakan hujah beberapa ayat Al-Quran namun dalam masa yang sama membutakan mata terhadap ayat-ayat yang menyeru kearah jihad serta kemulian menjadi seorang muslim.

Jelas di dalam kata-kata tersebut, antara sifat utama yang menjadikan mereka seperti yang kita lihat pada hari ini adalah mereka langsung tidak pernah merasa malu kepada Allah SWT. Mereka tidak merasa malu untuk bersifat talam dua muka, mereka tidak berasa bersalah apabila memperlekeh dan mempergunakan kalam-kalam Allah SWT demi memenuhi kehendak hawa nafsu mereka.

Mereka menyebut bahawa mereka adalah pejuang Islam, namun tanpa segan silu berpakaian seperti orang yang tidak beragama. Mereka menyebut bahawa mereka adalah penegak kebenaran, namun perkara asas dalam Islam seperti solat, keharaman arak diabaikan seolah-olah Allah SWT tidak pernah menurunkan wahyu berkenaan hal tersebut. Mereka hanya mengambil bahagian daripada syarak ini apa yang selari dengan kehendak hawa nafsu mereka dan menolak sebahagian yang lain.

Sebab itulah Allah SWT menyebut golongan sebegini tiada apa yang layak baginya selain dilaknat.

أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَـٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٍ۬‌ۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٲلِكَ مِنڪُمۡ إِلَّا خِزۡىٌ۬ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِ‌ۗ

Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat (al-Baqarah:85)

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يَلۡعَنُہُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُہُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ

mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. (Al-Baqarah : 159)

Atas sifat ini mereka bukan hanya dilaknat oleh Allah SWT, bahkan dilaknat oleh seluruh makhluk yang ada di bumi juga di langit, di dunia juga di akhirat!

Adalah amat penting untuk kita memahami sifat mereka ini, supaya dengan itu kita boleh mengambil pengajaran serta memastikan diri kita ini tidak terjatuh ke dalam lembah fitnah tersebut. Fitnah besar ini bermula hanya dengan sifat tidak merasa malu pada Allah SWT lalu ianya membawa kepada menjadikan hawa nafsu sebagai qiblat dalam memahami nas-nas Al-Quran dan As Sunnah.

Orang yang malu kepada Allah SWT tidak akan sewenang-wenangnya mentakwilkan ayat Al-Quran dan As Sunnah berdasarkan akal mereka semata-mata tanpa berpandukan kepada disiplin ilmu yang telah digariskan oleh salafussoleh. Orang yang malu kepada Allah SWT tidak akan bermudah-mudah dalam mengeluarkan suatu pandangan atau pendapat dalam perihal yang berkaitan dengan syarak tanpa mereka merujuk terdahulu kalam-kalam ulama silam.

Namun jika anda tidak malu maka buatlah apa yang anda suka!

 

firdaus
 
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

One thought on “‘Pejuang Islam’ yang tidak malu kepada Allah SWT

  • November 8, 2014 at 4:25 pm
    Permalink

    Satu penjelasan yang amat jelas. Tq ustaz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *