Usaha men’sekular’kan Politik Islam secara halus
Apabila kita berkata mengenai siyasah sya’iyyah atau disebut sebagai politik Islam, suatu gambaran awal yang secara logik akan tergambar dalam akal kita adalah ianya suatu bentuk cara politik yang berpandukan kepada cara Islam atau berdasarkan cara fikir syarak. Bukan berdasarkan akal semata-mata atau tidak mempunyai sebarang neraca timbangan.
Neraca timbangan atau asas kepada politik Islam inilah yang disebut di dalam syarak sebagai tsawabit (perkara yang tidak berubah).Tidak dinafikan ruang ijtihad di dalam politik Islam itu tersangat luas, tetapi keluasan tersebut dipagari dengan asas –asas yang menjadi tunjang kepada politik Islam.
Syiekh Dr Yusuf Al-Qardawi menyebut mengenai perkara ini dan peranannya dalam buku beliau Al-Siyasah Al-Syariyyah:
“Tsawabit ini kebiasaannya sedikit pada sudut bilangan namun mempunyai peranan yang besar kerana hanya dengan perkara inilah maqasid politik Islam akan tercapai serta ianya menjadi ciri-ciri utama kepada politik Islam”[1]
Asas-asas ini menjadi suatu titik pemisah antara politik Islam dan politik barat. Contohnya seperti cara fikir politik Machiavelli meletakkan “matlamat manghalalkan cara” bermaksud seseorang itu boleh lakukan apa sahaja dengan tujuan untuk mendapat kuasa tetapi fahaman ini ditolak di dalam politik Islam yang berdiri atas kefahaman syarak. Setiap tindakan yang ingin dilakukan dalam politik Islam hendaklah dinilai dahulu pada kayu ukur halal haram.
Hilang asas-asas ini maka hilanglah perbezaan cara kita dan mereka berpolitik. Lalu slogan yang kita laungkan, visi yang kita bayangkan pada sebuah negara, pemimpin yang kita angkat, kesemuanya akan menggunakan neraca timbangan yang sama dengan mereka. Sekadar kebajikan rakyat.
Sedangkan Allah SWT sejak awal lagi mendidik para sahabat ra untuk merasai perasaan izzah sebagai seorang muslim walaupun ketika luka di dalam madan peperangan, apatah lagi dalam pemerintahan sebuah negara:
وَلَا تَهِنُواْ فِى ٱبۡتِغَآءِ ٱلۡقَوۡمِۖ إِن تَكُونُواْ تَأۡلَمُونَ فَإِنَّهُمۡ يَأۡلَمُونَ كَمَا تَأۡلَمُونَۖ وَتَرۡجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرۡجُونَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah An-Nisa: 104)
Seruan kononya politik Islam berdiri atas ijtihad semata-semata dan semua pihak bebas berijithad selagi mana dengan tujuan kepentingan rakyat adalah cubaan untuk mensekularkan Islam secara halus. Mereka ini seolah-olah cuba mnyebut bahawa Islam tidak meletakkan sebarang asas di dalam cara berpolitik. Tiada bezanya cara fikir golongan ini dengan cara fikir politik sekular barat cumanya mereka cuba mencantikkan dengan menggunakan istilah ijtihad berbanding akal. Hasil adalah sama iaitu dibuang peranan agama daripada politik.
Sebab itulah kebiasannya kita akan melihat kelompok ini apabila berucap akan memulakan dengan mukadimah bahawa politik Islam adalah ijtihad semata-mata yang kemudiannya dijadikan hujah untuk menolak pelaksanaan hudud, menolak kepimpinan khusus untuk muslimin, membolehkan mengambil bukan Islam yang jelas memusuhi Islam sebagai teman dan rakan kongsi dll. Hakikatnya kesemua perkara ini adalah asas yang sudah disebut secara jelas akan kedudukannya dalam politik Islam.
Qardawi sejak tahun 90-an lagi telah memperingatkan akan bahayanya kewujudan kelompok ini dalam dunia politik Islam:
“Antara seruan fitnah sangat bahaya(yang melanda umat Islam) yang diseru oleh kelompok Islam yang cenderung kepada secular dan barat pada hari ini adalah mereka menolak nas-nas syarak yang disebut secara jelas melalui Al-Quran dan As-Sunnah dengan menggunakan hujah maslahat”[2]
Beliau juga telah mengistilah kelompok ini sebagai kumpulan ta’thil (meniadakan/menolak sifat-sifat Allah) dalam bentuk yang baru. Bentuk yang dahulu sekadar pada aqidah tetapi sekarang hingga kepada perkara-perkara lain dalam agama termasuk politik Islam.
Syiekh Dr Ahmad Raisuni menyebut secara jelas akan hakikat kehendak kelompok ini:
“Tujuan sebenar mereka mempergunakan maqasid,ijtihad serta tajdid di sisi mereka hanyalah mahu menghapuskan syarak lalu menjadikan perkara yang halal tidak kekal halal dan yang haram tidak kekal haram”[3]
Sepatutnya umat Islam berpolitik dengan cara yang tersendiri, tujuan dan matlamat yang tersendiri serta dengan ciri-ciri yang tersendiri. Hanya dengan memenuhi perkara-perkara tersebut barulah layak untuk digelar sebagai siyasah syariyyah (politik Islam).
Syiekh Dr Abd Aziz Izzat Al-Khayyat menjelaskan dalam kitabnya Nizam Siyasi fi al-Islam secara terang akan peranan syarak di dalam politik Islam seperti pada istilah maslahat (kebajikan):
“Maslahat dalam Islam bermaksud mengumpulkan manfaat untuk manusia serta menolak mudharat pada mereka, dan cara untuk kita menentukan akan maslahat sesuatu perkara adalah melalui syarak bukannya menggunakan akal; kerana akal itu lemah serta banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan hanya dengan syarak sahaja kita dapat menentukan maslahat yang sebenar untuk ummah dan daulah”[4]
Tunjang dan asas-asas inilah yang perlu kita cari di dalam wahyu Al-Quran dan As-Sunnah, diselongkar di dalam sejarah khilafah Islamiyyah dan dibelek dalam helaian-helaian tulisan ulama silam berkenaan politik Islam. Mereka yang menyatakan tulisan ulama silam sudah tidak terpakai pada suasana hari ini sebenarnya cuba memadamkan asas-asas ini dalam cara umat Islam berpolitik.
Mereka sebenarnya cuba merosakkan Islam daripada dalam agama itu sendiri sedangkan mereka lupa yang menjaga kesucian agama ini ialah Rabbul ‘Alamin:
إِنَّ ٱللَّهَ سَيُبۡطِلُهُ ۥۤۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُصۡلِحُ عَمَلَ ٱلۡمُفۡسِدِينَ (٨١) وَيُحِقُّ ٱللَّهُ ٱلۡحَقَّ بِكَلِمَـٰتِهِۦ وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡمُجۡرِمُونَ
“Sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan. (81) Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa.” (Suruh Yunus:81-82)
[1] alSiyasah alSyariyyah fi dhu’ nusus alsyariah wa maqasiduha, Maktabah Wahbah m/s 225
[2] alSiyasah alSyariyyah fi dhu’ nusus alsyariah wa maqasiduha, Maktabah Wahbah m/s 171
[3] Muhadorot fi Maqasid alsyariah, Darul Salam m/s 116
[4] Alnizam alsiyasi fi al Islam, Darul Salam m/s 36

Daftar sekarang! Simposium Pemikiran Politik Islam: Gagasan Pemikiran Politik Islam Berdasarkan Siyasah Syar’iyyah Dalam Realiti Malaysia.
daftar online: http://bit.ly/sppimuis
maklumat lanjut: http://muis.org.my/simposiumpolitikislam/