Tanggungjawab Malaysia sebagai Negara Islam

Flag of Malaysia

Ramai antara kita khususnya pemimpin negara bersetuju bahawa Negara Malaysia ini adalah sebuah Negara Islam. Namun tidak ramai dikalangan kita yang sedar apakah tanggungjawab sebuah Negara Islam. Adakah cukup sebuah Negara Islam sekadar menjaga hak kebajikan atau makan minum rakyat? Atau hakikatnya tanggungjawabnya adalah lebih dari itu?

Hendaklah kita ingat, meletakkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam bukanlah sekadar satu kemulian, tetapi ianya merupakan satu tanggungjawab dan bebanan yang perlu dilunaskan. Ada sesetengah pihak memberi kefahaman yang salah pada masyarakat dengan menyatakan Negara Islam cukup sekadar memberi khidmat, keadilan atau sekadar untuk kebaikan pada rakyat, sedangkan kita sendiri tahu Islam itu sendiri lebih luas dari sekadar apa yang mereka maksudkan, Islam itu adalah agama dunia dan akhirat.

Untuk menjawab persoalan ini, saya akan kemukakan beberapa pandangan ulama-ulama silam sebagai panduan untuk kita memahami tanggungjawab ini. Diakhirnya saya akan menyimpulkan apakah tugasan-tugasan yang perlu ditunaikan oleh Negara Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.

1. Imam-AlJuwaini meneyebut dalam kitab Qhiyasul Umam :

Pemimpin ialah sebuah kepimpinan yang menyeluruh dan umum. Kepimpinan itu berkait dengan perkara khusus dan umum meliputi kepentingan agama dan dunia. Kepentingan itu meliputi menjaga kedaulatan negara, memerintah orang yang diperintah, mendirikan dakwah dengan hujah dan juga pedang, menahan kelompok yang sesat dan kelompok yang zalim, menarik hak daripada golongan yang menentang dan memberi hak kepada golongan yang dizalimi.[1]

 2. Setelah itu Imam-AlJuwaini menyimpulkan tetang tugasan utama pemimpin:

Peranan dan tanggungjawab utama pemimpin adalah memastikan tertegaknya asas-asas Islam samada secara sukarela atau paksa, dan itulah sendiri tujuan agama Islam, tetapi apabila tertegaknya agama memerlukan kepada kekuatan dunia, maka tindakan mengambil dunia untuk memastikan agama tertegak adalah dibolehkan dan diraikan.[2]

 3. Imam AlJuwaini juga menerangkan tentang tugasan utama pemerintah berkaitan menjaga agama :

Kemudian apabila kita berbicara soal perkara asas-asas dalam agama, ianya terbahagi pada dua iaitu (1)menjaga agama dengan seluas-luasnya keatas umat Islam dan menjaga umat Islam dari segala syubhat yang menyesatkan.(2) mengajak kelompok kafir dan kelompok penentang untuk mengikut kebenaran Islam.

Jadi bagi memastikan agama ini terus suci daripada golongan yang menyesatkan serta golongan bidah dan hawa nafsu, maka menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memantau perkara ini atau melantik orang disekelilingnya untuk memantau perkara ini dengan pemantauan yang ketat .[3]

4. Kemudian Imam Al Mawardi juga menyebut dalam kitab Ahkam Sultaniah :

Kepimpinan itu adalah satu tugasan yang berkait menggantikan tugasan nabi iaitulah dalam menjaga agama dan mengurus tadbir dunia.[4]

5. Disebut dalam kitab muid alniam wa mubid alniqam oleh Imam Tajuddin Al Subki :

 maka diantara tugasan seorang pemerintah adalah mengurus tadbir tentera, dan melakukan kefarduan jihad dengan tujuan untuk mengangkat kelimah Allah, sesungguhnya Allah tidak menjadikan seorang pemimpin keatas orang muslimin untuk menjadi pemimpin yang hanya makan, minum dan berehat. Tetapi Allah jadikan seorang pemimpin itu supaya dia membantu agama Allah dan mengangkat namaNya[5]

6. Sahabat nabi SAW, Suhail bin Abdullah menafsirkan tentang ayat 41 surah al hajj

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُور

Sesungguhnya tugasan amar makruf nahi mungkar wajib keatas sultan dan ulama. Maka sepatutnya rakyat tidak perlu menyuruh pemerintah melakukan tugasan tersebut, kerana perkara tersebut sepatutnya sudah lazim keatas mereka dan telah jelas kewajipan itu. Dan rakyat tidak sepatutnya menyeru ulama kerana itu adalah tugasan asasi mereka dan sepatutnya mereka sudah tahu.[6]

Kesimpulan

1. Berdasarkan pandangan ulama, tugasan utama sebuah Negara Islam seperti Malaysia adalah seperti berikut :

  1. Menjaga agama dengan seluas-luasnya
  2. Memastikan kefahaman umat Islam menurut kefahaman sepatutnya.
  3. Memastikan bahawa tiada syubhat dan salah faham terhadap Islam yang sebenar
  4. Menghalang segala bentuk usaha menyebarkan salah faham atau kefahaman yang bertentangan dengan syarak
  5. Melaksanakan dakwah, menyeru dan mengajak orang kafir ke arah kebenaran Islam yang sebenar
  6. Penggunaan kepimpinan, kuasa dan autoriti dalam melaksanakan perkara tersebut, bukan hanya sekadar hujah dan penerangan
  7. Melakukan tanggungjawab tersebut dengan sendiri atau melantik pembantu-pembantu (utk melaksanakan segala tugas-tugas tersebut)

2. Menjadi tanggungjawab pemerintah dan semua warganegara Malaysia memastikan segala tanggungjawab sebagai sebuah Negara Islam terlaksana di tanah air tercinta ini.

3. Oleh kerana itu juga, segala isu yang berlaku atau tindakan yang ingin dibuat oleh pemimpin mestilah dilihat daripada perspektif ini iaitu perspektif syarak dan neraca timbangan Islam. Kerana inilah yang dimaksudkan Malaysia adalah sebuah Negara Islam.

 

 firdaus
 
Ust Muhammad Firdaus Zalani
Pegawai MUIS
 

 

[1] AlQhiyasul Umam, Darul Dakwah  m/s 15

[2] Qhiyasul Umam, Darul Dakwah m/s 135

[3] Qhiyasul Umam, Darul Dakwah m/s 135-136

[4] Ahkam Sultaniyah, Darul Qutaibah 1989 m/s 3

[5] Muiid Alniam wa mubid alniqam, Maktabah alkhatiji Kaherah 1993 m/s 16-17

[6] Tafsir Al-Munir, Darul Fikr 2003 Jilid 9 m/s 254

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *