KolumnisUtama

Rampasan kuasa bukan kefahaman asal Islam

 

tunjuk perasaan

Pendahuluan

Antara salah faham yang banyak tersebar  di dalam Fiqh dan juga kefahaman Islam sama ada dulu atau sekarang adalah mengenai pemerintah yang berdiri atas kekuatan dan paksaan iaitu penggulingan atau rampasan kuasa adalah diiktiraf oleh Islam. Bermaksud sesiapa yang menjadi pemerintah dengan cara kekerasan atau senjata maka dia adalah pemerintah yang sah di sisi syarak dan semua rakyat perlu mentaati pemerintah tersebut serta tidak boleh keluar dari ketaatan.

Perkara ini adalah satu isu yang perlu dijelaskan supaya kita dapat lihat dengan jelas dan mendapat kefahaman yang benar akan kedudukan pemimpin yang berdiri atas kekerasan dan penggulingan mengikut pandangan syarak.

Bukanlah daripada Islam

Pelantikan pemerintah melalui cara ini (kekerasan dan kekuatan) bukanlah daripada Islam, bahkan syarak tidak pernah menyebut mengenainya ataupon menyeru ke arah tersebut. Maka kita tidak akan jumpa pelantikan pemimpin dengan cara ini samada di dalam Al-Quran atau As Sunnah ataupun didalam amalan dikalangan sahabat Nabi SAW.

Adapun cara yang dianjurkan oleh Syarak samada dalam isu pengurusan negara atau pelantikan pemerintah disebut secara jelas iaitulah dengan dengan cara syura atau kita boleh boleh tafsirkan sebagai  qarar dan ikhtiyar (keputusan syura atau secara undi). Itulah perkara yang di seru oleh Allah SWT di dalam Al-Quran :

وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّہِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَہُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya; (Syura :38)

Jadi apa sahaja keputusan yang lahir daripada Syura dan institusi yang berada di sekelilingnya samada pelantikan atau pelucutan atau dibuang jawatan atau sebarang keputusan datang daripada ahli hil wal aqd (ahli syura), maka perkara tersebutlah yang sah disisi syarak dan dianjurkan oleh Islam. Perkara ini jugalah yang diajar oleh Al-Quran, As-Sunnah dan diamalkan oleh Khulafa’ Ar Rasyidin selepas itu.

Jika kita lihat dalam sejarah Islam, kefahaman inilah yang diamalkan oleh para Sahabat dalam pelantikan Saidina Abu Bakar Assidiq ra iaitu pemilihan kemudian baiah sebagai persetujuan melantik beliau sebagai pemerintah umat Islam. Sistem inilah yang berjalan selepas itu di dalam pemerintahan khulafa’ Ar Rasyidin dalam bentuk yang pelbagai mengikut kesesuaian zaman yang boleh diringkaskan sebagai : Qarar syura dan Iktiyar (keputusan syura atau pemilihan undi).

Oleh itu boleh kita simpulkan di awal ini: Sesungguhnya satu-satunya cara pelantikan, pelucutan atau pengurusan pemerintah yang dianjurkan oleh Islam (iaitulah thawabit-tetap) bahkan disebut oleh Syarak adalah : Syura dan Pemilihan (Undi). Dalam mas yang sama Islam memberi ruang cara mengaplikasikan secara mendalam dua fahaman tersebut untuk diijtihad atau dibincangkan(iaitulah mutaghayyirat-berubah ubah).

Antara Sejarah dan Fiqh

Antara perkara yang banyak diulang dan diingatkan oleh para fuqaha’ dan ulamak usul adalah sesungguhnya nas (wahyu) ini telah terhenti penurunannya namun peristiwa akan terus berkembang yang adakalanya persitwa tersebut menajadi permasalahan baru dalam situasi nas tidak memberi jawapan kepada masalah tersebut secara spesifik. Maka atas dasar itulah syarak memberi ruang ijtihad pada ruang yang dibolehkan supaya syarak akan terus bersesuaian untuk sepanjang zaman dalam kepelbagaian suasana.

Inilah yang terjadi di dalam sejarah Islam, pelantikan pemimpin (sebahagiannya) tidak berjalan secara lantikan syura atau ikhtiyar (pengundian) ataupun pemilihan oleh ahli hil wal aqd. Tetapi ianya berjalan dengan kekuatan dan kekerasan, pemerintahan berkeluarga dan adakalanya hingga pertumpahan darah sesama umat Islam.

Inilah sejarah umat Islam yang ulama Islam terdahulu perlu hadapi secara realitinya dan memerlukan kepada ijtihad ulama unuk menghukumkan pelantikan dengan cara ini dengan timbangan kesan baik dan kesan buruk daripada pelbagai perspektif. Atas dasar ini juga, kita melihat sebahagian besar ulama berijtihad mengizinkan pelantikan pemimpin dengan cara kekerasan berdasarkan timbangan mafsadah maslahah.

Namun perlu diingat, kesemua ulama yang mengizinkan perbuatan tersebut bukanlah secara menyeluruh atau secara umum tetapi mereka telah meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk mengizinkan perkara ini, bermaksud apabila syarat-syarat ini tidak dipenuhi maka pelantikan secara kekerasan tersebut adalah tidak sah disisi syarak.

Bahkan ulama juga telah menggariskan beberapa kefahaman asas terhadap perkara tersebut:

1. Asal tindakan pelantikan dengan cara kekerasan adalah tidak dibenarkan oleh Islam maka pelantikan dengan cara ini mestilah berlaku ketika dorurat, dalam kaedah fiqh disebut : ketika dorurat mengizinkan untuk dilakukan perkara yang dilarang. Juga perlu diingat, apa yang harus ketika dorurat adalah tidak harus jika berada pada waktu lain (selain dorurat)

2. Tidak dapat dinafikan, pelantikan secara kekerasan ini ada kalanya memberi kebaikan seperti dalam situasi pemimpin mati secara tiba-tiba dan berlaku perebutan takhta atau pemimpin ketika itu merupakan seorang kanak-kanak yang tidak mampu mengurus negara. Maka ketika itu boleh jadi pelantikan secara kekerasan memberi lebih banyak kebaikan.

3. Namun perlu diingat bahawa pelantikan dengan cara ini mempunyai risiko yang sangat besar seperti berlakunya peperangan saudara yang menghasilkan berlakunya perpecahan dalam negara.

4. Perlu disedar juga bahawa antara risiko pelantikan secara kekerasan ini ialah bukan setakat jatuhnya kerajaan yang memerintah tetapi akan turut jatuh seluruh sistem negara seperti sistem kehakiman, sistem polis dan tentera serta institusi-institusi yang mana bagi syarak kehancuran ini tidak akan pernah dapat diterima walaupon dengan sebarang alasan kerana besarnya mafsadah apabila runtuhnya institusi-institusi tersebut.

Atas dasar kefahaman diatas, maka ulama telah menggariskan beberapa syarat supaya pelantikan pemimpin secara kekerasan ini sah di sisi syarak, antaranya :

1. Pelantikan pemimpin dengan cara kekerasan mestilah berlaku terhadap pemimpin yang menaiki takhta dengan cara kekerasan juga bermaksud pemimpin yang dilantik dengan sokongan (baiah) atau undian yang sah oleh rakyat tidak boleh digulingkan dengan kekerasan sebelum habis tempoh pemerintahan.

2. Pemimpin yang akan dilantik dengan cara kekerasan tersebut mestilah seorang cukup sifat seorang pemimpin berdasarkan syarak, bermaksud jika pemimpin yang akan dilantik itu zalim atau fasiq maka pelantikan secara kekerasan adalah tidak sah. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah 124.

 وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٲهِـۧمَ رَبُّهُ ۥ بِكَلِمَـٰتٍ۬ فَأَتَمَّهُنَّ‌ۖ قَالَ إِنِّى جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامً۬ا‌ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِى‌ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.

Ibnu Khuwaizi Al Maliki di dalam tafsir ibnu Kathir menyatakan mengenai ayat ini : “Orang yang zalim tidak layak untuk menjadi khalifah atau hakim atau mufti atau saksi atau periwayat hadis”.

4. Situasi negara secara pasti akan berjalan dalam keadaan stabil selepas berlaku pelantikan secara kekerasan tanpa sebarang perpecahan atau pergaduhan selepas itu.

5. Tujuan pelantikan secara paksa itu adalah  dengan tujuan membawa keadilan dan berdirinya hukum syarak. Tanpa adanya dua tujuan tersebut, pelantikan secara kekerasan adalah ditegah syarak.

Pelantikan pemimpin secara kekerasan pada hari ini

Pada hari ini, banyak perkembangan dan pembangunan yang berlaku dalam semua sudut kehidupan termasuk sudut politik dan sistem pemerintahan.

Antara sudut perkembangan yang kita nampak adalah wujudnya perlembagaan yang menyusun segala sistem kenegaraan dan dapat menegah berlakunya salah guna kuasa dikalangan pemimpin negara. Di dalam isu pelantikan pula, boleh dikatakan hampir keseluruhan Negara pada hari ini adanya system pilihanraya atau menggundi dalam memilih pemimpin Negara. Perkara ini berjalan dengan adanya institusi khusus (bebas dari kerajaan) yang menguruskan perkara ini yang secara zahirnya dapat menghalang sebarang penipuan.

Jadi pada saya, atas kewujudan segala perkembangan ini sudah tidak ada sebarang keperluan kepada wujudnya pelantikan secara paksa atau dengan kekerasan selagi mana institusi yang menjalankan sistem pilihanraya masih lagi dipercayai atas keadilannya.

Saya juga berani berkata : Dari sudut syarak, sesungguhnya  pelantikan pemimpin dengan cara kekerasan (seolah-olah) telah tamat zamannya dan telah terbatal sepenuhnya (berbanding zaman terdahulu) kerana perbezaan suasana dahulu dan sekarang.

Kesimpulan

Pelantikan pemimpin secara kekerasan seperti yang disebut oleh kebanyakan ulama bukanlah datang dari kefahaman Islam yang asal tetapi ianya wujud di dalam fiqh akibat perkembangan sejarah dan realiti suasana yang dihadapi oleh ulama ketika itu yang menuntut kepada ijtihad. Ulama juga telah menggariskan beberapa syarat yang amat ketat untuk mengizinkan terjadinya pelantikan dengan cara ini berkait situasi, siapa pemimpin tersebut, kesan selepas itu dan lain-lain.

Keperluan akan wujudnya pelantikan dengan cara ini pada hari ini tersangat jauh berbanding zaman sejarah Islam terdahulu. Dengan segala perkembangan yang ada pada hari ini seperti sistem pilihanraya, boleh dikatakan cara pelantikan dengan kekerasan seolah-olah telah luput dan tidak diperlukan.

*ini merupakan terjemahan dan suntingan kepada artikel yang ditulis oleh Syiekh Dr Ahmad Raisuni di laman sesawang beliau:  www.raissouni.ma/ 

—————————————-
Daftar sekarang! Simposium Pemikiran Politik Islam: Gagasan Pemikiran Politik Islam Berdasarkan Siyasah Syar’iyyah Dalam Realiti Malaysia. 
daftar online: http://bit.ly/sppimuis
maklumat lanjut: http://muis.org.my/simposiumpolitikislam/

 

DIterjemah dan disunting oleh:

firdaus
 
 
Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai MUIS

2 thoughts on “Rampasan kuasa bukan kefahaman asal Islam

  • admin

    Benar, fiqh siyasi ini membicarakan perihal suasana bagi sebuah daulah islamiyyah. bagi negara kuffar perlu kepada perbincangan lain kerana kedudukan asalnya sendiri berbeza.

  • Saya ingin bertanya supaya tidak berlaku salah faham. Hal penggulingan/rampasan kuasa ini hanya berlaku pada negara yang sedia ada Islamnya. Begitukan?

    Bukan pada negara kuffar dimana kita perangi mereka setelah mengajak mereka kepada Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *