KolumnisUtama

Kedaulatan Syariat tujuan utama politik Islam

masjid_sultan_suleiman

Mereka yang membuat seruan bahawa tujuan politik Islam sekadar pada nilai keadilan serta kebajikan atau sebuah pemerintahan Islam tidak ada sebarang bentuk yang tertentu sebenarnya sedang cuba untuk merosakkan kefahaman umat akan politik Islam yang sebenar.Tujuan utama di dalam politik Islam bukanlah sekadar keadilan, ianya lebih daripada itu.

Keadilan itu sesuai untuk kita katakan sekadar salah satu daripada ciri-ciri politik Islam, namun ada perkara yang lebih tinggi dan lebih agung yang menjadi tujuan utama di dalam politik Islam. Atas tujuan inilah kita diciptakan, atas tujuan ini rasul-rasul diutuskan pada setiap umat, iaitulah untuk menegakkan as-siyadah li syara’ (kedaulatan syariat).

Kalaulah Islam melihat tujuan utama negara sekadar kehebatan pembinaan, maka sudah tentu tidak akan diutuskan Nabi Hud as kepada kaum ‘Aad kerana mereka sudah mampu mencapai tahap pembinaan sebuah negara yang cukup hebat. Kalaulah Islam sekadar melihat peranan pemerintah sekadar kebahagian dan memenuhi kehendak rakyat maka sudah tentu tidak akan diutuskan Nabi Syuaib as kepada kaum Madyan kerana mereka sudah bahagia dengan budaya jual beli mereka.

Setiap umat itu sudah bahagia dan merasakan sudah berlakunya adil antara mereka lalu mengapa diutuskan rasul oleh Allah SWT? Inilah perkara yang dijelaskan oleh Allah SWT didalam Al-Quran berkenaan kedaulatan syariat:

وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمۡ هُودً۬ا‌ۚ قَالَ يَـٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَڪُم مِّنۡ إِلَـٰهٍ غَيۡرُهُ ۥۤ‌ۖ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا مُفۡتَرُونَ

Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka Nabi Hud, dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah) (Surah Hudd:50)

Bahkan arahan untuk mendaulatkan Islam itu didahulukan sebelum berbicara mengenai hal-hal lain seperti keadilan dan kebajikan kerana itulah tujuan utama dalam politik Islam iaitu kedaulatan syariat.

وَإِلَىٰ مَدۡيَنَ أَخَاهُمۡ شُعَيۡبً۬ا‌ۚ قَالَ يَـٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَڪُم مِّنۡ إِلَـٰهٍ غَيۡرُهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَنقُصُواْ ٱلۡمِڪۡيَالَ وَٱلۡمِيزَانَ‌ۚ

Dan kepada penduduk “Madyan” Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. (Surah Hudd:84)

 Setiap rasul itu diutuskan dengan tujuan yang sama serta seruan yang satu:

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِى ڪُلِّ أُمَّةٍ۬ رَّسُولاً أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَ‌ۖ

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (Surah An-Nahl: 36)

Inilah juga perkara yang difahami oleh ulama silam terdahulu terhadap peranan dan kedudukan politik Islam lalu al-Mawardi simpulkan tugasan utama pemimpin sebuah Negara Islam sebagai:

حراسة الدين وسياسة الدنيا به

Memelihara agama (Islam) dan menguruskan dunia dengannya

 Imam Tajuddin Al-Subki juga menyebut:

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan seorang pemimpin keatas orang muslimin untuk menjadi pemimpin yang hanya makan, minum dan berehat. Tetapi Allah jadikan seorang pemimpin itu supaya dia membantu agama Allah dan mengangkat namaNya”

Kedaulatan syariat inilah yang menjadi titik utama perbezaan antara politik Islam dan juga politik-politik yang lain. Politik Islam tidak pernah memisahkan kefahaman agama daripada cara berpolitik juga di dalam sistem kenegaraan. Islam itu syumul yang menjadi sebuah cara hidup yang sempurna.

Kesyumulan Islam pada politik bukan sekadar pada maksud umat Islam diseru untuk terlibat dalam politik tetapi ianya juga bermaksud tujuan seorang muslim dalam politik adalah selari dengan tujuan hidup seorang muslim itu sendiri iaitu mengEsakan Allah SWT. Apa yang diimani di dalam kefahaman aqidah akan diterjemahkan ke dalam cara berpolitik juga apa yang haram akan tetap menjadi haram, tiada istilah halal atas kepentingan politik.

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّڪَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (Surah al-Hajj : 41)

Ketika mana seorang muslim wajib melakukan amar makruf nahi mungkar secara setiap peribadi begitu juga dia wajib melakukan perkara tersebut apabila dia memeliki sebuah tampuk pemerintahan. Inilah yang dimaksudkan kesyumulan Islam dalam politik.

Kefahaman ini perlu kembali diperbetulkan, ketidakjelasan kita akan perkara ini akan menyebabkan kita mudah terpesong serta rosak neraca timbangan kita. Keadilan yang diseru sepatutnya hendaklah keadilan berdasarkan kacamata Islam bukan kaca mata nafsu atau barat, maslahat (kebajikan) yang diseru adalah maslahat atas kayu ukur Islam bukan sudut pandang barat yang berasaskan hawa nafsu. Inilah yang dimaksudkan dengan as-siyadatul syara’.

Kedaulatan Syariat ini sepatutnya dijadikan sebagai titik tengah di dalam cara fikir umat Islam berpolitik. Atas kejelasan inilah akan lahir budaya politik meletakkan maslahat umat mengjangkaui kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. Apa yang dilihat baik untuk umat Islam akan diangkat serta didahulukan dan sebarang perkara yang dilihat merugikan umat akan ditolak.

Juga hendaklah kita yakin dengan keimanan mendalam, sesungguhnya hakikat kebajikan yang diseru, keadilan sebenar yang dilaung hanya akan tercapai apabila berlakunya as-siyadah li syara’.

—————————————-
Daftar sekarang! Simposium Pemikiran Politik Islam: Gagasan Pemikiran Politik Islam Berdasarkan Siyasah Syar’iyyah Dalam Realiti Malaysia. 
daftar online: http://bit.ly/sppimuis
maklumat lanjut: http://muis.org.my/simposiumpolitikislam/
 
 firdaus
 
Ust Muhd Firdaus Zalani
Pegawai MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *