Tauhid merupakan seagung-agung kemerdekaan

Ustaz-Kamarudin-Awang-Mat-NYDP-ISMA-Kuala-Terengganu1

BANGI, 31 Ogos- Mentauhidkan diri pada Allah SWT merupakan  kemerdekaan yang paling agung iaitu pembebasan diri daripada menghambakan kepada makhluk yang lemah menuju kepada yang Maha Sempurna.

Ahli Tertinggi Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Kamaruddin Awang Mat menyebut sedemikian dalam mengulas akan erti kemerdekaan yang sebenar disisi Islam.

“Kemerdekaan dalam Islam mempunyai makna yang lebih komprehensif daripada sekadar kebebasan yang disangka pada pandangan manusia biasa”

“Islam melihat kebebasan diri dan jiwa adalah hakikat kebebasan, maka aatas dasar itu tauhidlah seagung-agung kemerdekaan” tegas beliau.

Beliau yang juga pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menambah tanpa dinafikan akan pentingnya kemerdekaan berbentuk negara dari kuasa penjajah namun ia hanyalah satu juzuk daripada erti kebebasan di sisi Islam.

“Oleh itu disamping kita mensyukuri nikmat kemerdekaan negara kita sewajarnya muhasabah untuk melihat sejauh mana hakikat kehidupan kita bebas daripada unsur-unsur kesyirikan dan penyelewengan dari sudut aqidah khususnya”

“Seandainya ada unsur-unsur berikut yang rosak dalam jiwa kita maka pada hakikatnya kita belum merdeka”

Tambah beliau lagi istilah kebebasan atau kemerdekaan tidak sepatutnya disalah ertikan sehingga dilaungkan suara kebebasan seperti fahaman liberal, kebebasan agama, kebebasan LGBT atau kebebasan mempamir tubuh badan.

“Perkara-perkara tersebut pada hakikatnya menjadikan kita dijajah dengan menjadi hamba kepada hawa nafsu”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *