MAS : arak dan pakaian jolok mata tidak jamin keuntungan malah undang bala
IPOH, 26 Ogos- Perkhidmatan arak juga cara pemakaian yang menjolok mata di dalam sesebuah syarikat seperti Malaysia Airlines (MAS) tidak akan jamin keuntungan malah akan mengundang bala daripada Allah swt.
Timbalan Mufti Perak, Sohibul Fadilah Ust Zamri Hashim berkata demikian ketika menyeru supaya berlaku perubahan ke arah mengikut syarak dalam syarikat MAS.
“Sudah sampai masanya syarikat penerbangan MAS melakukan penyelarasan operasinya mengikut syarak ”
“Arak yang dihidangkan mahupun tawaran pembelian arak di atas pesawat telah mendedahkan seisi pesawat kepada murka Allah swt” katanya dengan tegas.
Beliau yang juga Ahli Tertinggi Majlis Ulama ISMA berhujahkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang menyebut apabila seseorang itu beriman kepada Allah maka hendaklah dia tidak duduk bersama hidangan yang ada padanya minuman arak.
“MAS sebagai syarikat milik kerajaan Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan sepatutnya berperanan besar memperkenalkan kepada dunia akan identiti keislaman negara ini kerana industri penerbangan merupakan pintu utama kemasukan orang luar ke negara ini”
Katanya lagi kita tidak sepatutnya terikut dengan rentak atau piawaian budaya antarabangsa yang cuba dipaksakan ke atas negara umat Islam.
“Islam sebagai cara hidup yang syumul tidak pernah memisahkan sektor penerbangan komersil daripada panduan syarak”
Sejak insiden MH17 telah timbul kembali seruan dikalangan rakyat Malaysia juga pimpinan masyarakat supaya syarikat penerbangan negara khususnya MAS melakukan perubahan ke arah lebih patuh syariah khususnya dalam isu arak dan cara berpakaian anak kapal.
“Kita perlu ingat, bukanlah arak dan penampilan menjolok mata anak kapal yang membawa keuntungan tetapi sebaliknya akhlak islami dan patuh syariahlah yang akan menarik barakah perniagaan daripada Allah Yang Maha Memberi Rezeki”