Kenyataan tahniah MUIS kepada Tuan Guru Haji Hadi

 

haji hadi

persatuan ulama

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas pelantikan beliau sebagai salah seorang daripada tiga Naib Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dalam suatu muktamar yang dianjurkan di Istanbul, Turki.

MUIS berdoa semoga perlantikan tersebut akan lebih membuka ruang untuk sumbangan yang lebih besar kepada perjuangan Islam di peringkat antarabangsa, dan lebih memberi ruang kepada kerjasama sesama gerakan Islam di Malaysia ke arah memartabatkan syariat Islam di Malaysia.

MUIS percaya kerjasama  dan persefahaman antara gerakan Islam di Malaysia adalah amat penting di dalam menghadapai pelbagai arus yang mengancam kedudukan Islam dan jatidiri umat Islam di Malaysia seperti arus liberalism, pluralisma, sekularisma dll. Ini ditambah lagi dengan pelbagai isu-isu besar lain yang menyentuh kesejahteraan umat secara umum, yang memerlukan panduan syariat di dalam menyelesaikannya.

Hanya panduan syariat yang jelas sahajalah yang dapat memastikan bahawa usaha memartabatkan Islam di Malaysia akan berada di atas landasan yang sebenar.

MUIS juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para ulama akan tanggungjawab mereka untuk memandu umat kearah jalan Islam yang sebenar. Kegagalan para ulama untuk menyedari tanggungjawab mereka yang sebenar, kegagalan di dalam meletakkan awlawiyat yang sebenar atau kegagalan di dalam mengenali musuh umat yang sebenar akan menyebabkan kekeliruan kepada umat Islam di dalam memperjuangkan Islam yang sebenar.

MUIS juga ingin mengingatkan seluruh ulama bahawa sesungguhnya mereka adalah tempat rujukan, panduan dan qudwah kepada masyarakat. Maka letakkanlah kepentingan maslahat umat serta kebenaran itu di tempatnya yang tertinggi mengatasi segala perkara yang lain.

عن عبدالله بن عمرو بن العاص، قالَ:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُول: إِنَّ الله لايَقْبضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعاً يَنْتَزعُهُ مِنَ الْعِبَادِ،وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقِبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتّىَ إذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤوسَاً جُهَّالاً ،فَسُئِلُوا ،فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْم ،فَضَلُّوا وأَضَلُّوا

(متفق عليه)

Daripada Abdullah Bin ‘Amr Bin Al-‘Ash, katanya: Aku mendengar Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan menariknya daripada hamba-hambaNya, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ‘ulama (orang-orang ‘alim) sehingga apabila tidak ada lagi seorang ‘alim pun maka manusia akan mengangkat Juhalaa’ (orang-orang jahil) sebagai pemimpin mereka. Lalu (jika) mereka ditanya, maka merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, (akhirnya) mereka sesat dan menyesatkan orang lain.   (Muttafaq ‘Alaih)

Sesungguhnya kemunduran umat itu akan bermula dengan runtuhnya alim ulama.

Semoga Allah SWT sentiasa memandu para ulama umat ke arah memperjuangkan Islam dalam bentuk yang paling diredhaiNya.

 
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *