Orang yang berjiwa kalah akan terus wujud

Kewujudan kelompok yang berjiwa kalah dalam sesebuah peperangan atau pertempuran bukanlah suatu perkara yang asing. Jiwa yang berundur sebelum semboyan peperangan dibunyikan, jiwa yang lari ketika berhadapan dengan musuh.

Kelompok ini pasti ada dan akan terus wujud, cuma yang berbeza  adalah pentas dan pelakonnya. Salah satu kisah kelompok mereka jiwa yang kalah dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 249 ketika pertempuran antara Talut dan Jalut:

فلَمَّا جَاوَزَهُ ۥ هُوَ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ قَالُواْ لَا طَاقَةَ لَنَا ٱلۡيَوۡمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ

Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang                 meminum (sepuas-puasnya): Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya (Al-Baqarah : 249)

Kisah yang sama juga terjadi kepada Bani Israel apabila diminta oleh Nabi Musa untuk membantunya membuka kota Baitul Maqdis yang Allah SWT telah janjikan kemenagan untuk mereka. Janji Allah SWT tidak akan mampu mengubah sifat kekalahan yang ada dalam jiwa ini:

قَالُواْ يَـٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيہَا قَوۡمً۬ا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَا حَتَّىٰ يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِنَّا دَٲخِلُونَ

Mereka menjawab: Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu). (Al Maidah : 22)

Kisah-kisah ini menceritakan bagaimana kelompok ini apabila berhadapan dengan musuh terus berasa kagum dengan kehebatan yang ada pada musuh. Lalu perasaan itu membawa kepada perasaan lemah semangat, hilang keyakinan diri yang akhirnya diungkapkan dengan kata-kata : kita tidak akan mampu menang!

Perhatikanlah mana-mana kisah samada dalam sejarah umat ataupun umat Islam yang ada pada hari ini seperti konflik di Palestin atau di mana-mana sahaja maka kita akan jumpa kelompok ini. Inilah yang sentiasa diingatkan oleh Syed Qutb dalam Fi Zilal Quran khususnya di dalam muqaddimah Surah Al-Anfal. Tidak terkecuali umat Islam di Malaysia, kelompok ini pasti ada dan akan terus wujud.

Kenapa kelompok ini digelar sebagai orang yang berjiwa kalah? Mereka ini kalah kerana disisi mereka ada kebenaran namun mereka tidak pernah yakin dengan apa yang ada pada mereka. Disisi mereka ada Al-Quran iaitu suatu manhaj yang sempurna tapi masih lagi meraba-raba mencari manhaj yang ada pada musuh.

Mereka berpakaian seorang muslim, berkopiah, bernama Islam namun apabila berbicara terkumat kamit memuji dan mengagungkan musuh. Mereka menelaah puluhan kitab fikrah Islam, menghadiri atau menyampaikan ratusan ceramah dan pengisian namun apabila datang suatu permasalahan terus dicari musuh untuk menjadi rujukan dan teman perbincangan.

Kemulian ada di hadapan mereka namun mereka masih selesa duduk dalam lembah kehinaan.Tiada istilah yang lebih tepat untuk mengambarkan mereka ini melainkan seorang yang berjiwa kalah.

Mereka yang berjiwa kalah ini pada hakikatnya langsung tidak layak untuk membawa sebarang fikrah kerana memang tidak akan mampu untuk intima’ kepada fikrah tersebut. Fikrah yang dicanang-canangkan oleh mereka hanyalah bertujuan sekadar menjadi pakaian untuk menutup kekalahan yang ada dalam jiwa mereka.

Ingatlah! Seorang mukmin adalah seorang yang berasa izzah dengan kemulian yang dia ada:

قَالَ ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَـٰقُواْ ٱللَّهِ ڪَم مِّن فِئَةٍ۬ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةً۬ ڪَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah :249)

Perkara inilah yang ditarbiyyah oleh Allah SWT dalam jiwa generasi awal Sahabat RA juga dalam diri Rasulullah SAW seawal dalam peperangan Badar. Jiwa yang berani apabila berhadapan dengan musuh serta yakin dengan kemulian kebenaran yang dia pegang:

وَإِذۡ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحۡدَى ٱلطَّآٮِٕفَتَيۡنِ أَنَّہَا لَكُمۡ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيۡرَ ذَاتِ ٱلشَّوۡڪَةِ تَكُونُ لَكُمۡ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلۡحَقَّ بِكَلِمَـٰتِهِۦ وَيَقۡطَعَ دَابِرَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ

 Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya;(Al-Anfal : 7)

Seorang mukmin itu adalah orang yang akan terus berpegang kepada kebenaran walaupun ketika itu seluruh manusia menentangnya.

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ‌ۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَـٰنً۬ا وَتَسۡلِيمً۬ا

Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.    (Al-Ahzab :22)

 

Seorang mukmin itu adalah orang yang sedar bahawa sejak dia manjadi seorang muslim maka kemenangan itu sudah berada di dalam gengamannya:

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ

Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Al-Mukminun :1)

Jiwa kalah bukanlah jiwa seorang mukmin!

 

firdaus

Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *