Kenyataan Rasmi Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkenaan isu Gaza, Palestin

palestin_5

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥ‌ۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَـٰنً۬ا وَتَسۡلِيمً۬ا (٢٢) مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٌ۬ صَدَقُواْ مَا عَـٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِ‌ۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُ ۥ وَمِنۡہُم مَّن يَنتَظِرُ‌ۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلاً۬

Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.   

(Al-Ahzab :22-23)

Majlis Ulama ISMA (MUIS) menginsafi bahawa sehingga catatan ini ditulis serangan zalim dan ganas tentera kerajaan haram Israel keatas bumi Gaza masih lagi berterusan tanpa ada noktah penghujungnya. Namun begitu semangat juang dan istiqamah umat Islam di Gaza tidak pernah goyah dan luntur. Bagi mereka biar mati mulia dengan mempertahankan bumi barakah umat ini daripada mengiktiraf kewujudan kerajaan Haram Israel.

Mereka amat yakin dengan janji Allah:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا (٢) وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُ‌ۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُ

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)

(Al-Tolaq : 2-3)

Mereka telah disekat daripada berhubung dengan dunia luar sejak tahun 2006 lagi. Segala kezaliman dan kekejaman dilakukan oleh Israel untuk memaksa mereka tunduk dan mengiktiraf kerajaan haram tersebut namun hingga ke hari ini mereka gagal berbuat demikian. Inilah satu model perjuangan dan kekuatan Islam yang wajar kita contohi iaitu walaupun mereka ditekan, dizalimi, dinafikan segala hak malah dibunuh namun untuk menggadaikan prinsip tidak sama sekali.

Apa yang lebih menariknya ialah bumi Gaza bukan sekadar telah melahirkan puluhan ribu syuhada’ bahkan ia telah berjaya secara konsisten melahirkan pewaris bagi pejuang yang gugur. Ini amat membingungkan pihak musuh. Bahkan mereka berjaya membina kekuatan ketenteraan yang berjaya menggerunkan Yahudi dan kuncu-kuncunya walaupun mereka dalam serba kekurangan. Lihat sahaja senjata peluncur roket yang dimiliki oleh Briged Izzuddin Qassam yang merupakan sayap ketenteraan HAMAS semakin hari semakin bertambah kekuatan dan jauh jarak pelancarannya. Kini peluncur roket para pejuang Palestin boleh menggegar penempatan haram Yahudi di mana sahaja di bumi Palestin.

Serangan Israel yang sedang berlaku sekarang telah dibalas dengan hebatnya oleh para mujahidin di Palestin. Bahkan bandar-bandar utama Negara haram Israel seperti Tel Aviv, Haifa, Jerusalem dan lain-lain telah digegarkan dengan peluncur roket alqassam. Komando Amfibia dikalangan tentera briged Alqassam juga telah berjaya memasuki bandar pelabuhan Haifa diutara Palestin yang amat mengejutkan mereka.

Kini para mujahidin bukan sekadarnya berjaya mempertahankan bumi Gaza bahkan cuba mengalihkan peperangan ke dalam kawasan penjajahan haram Yahudi. Ini adalah satu kemenangan besar bagi mereka dan ia amat menakutkan orang-orang Israel yang sememangnya pengecut dan penakut.

تَرۡمِيهِم بِحِجَارَةٍ۬ مِّن سِجِّيلٍ۬ (٤) فَجَعَلَهُمۡ كَعَصۡفٍ۬ مَّأۡڪُولِۭ (٥

Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; (4) Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. (5)

(Al-Fil : 4-5)

Oleh itu Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyeru umat Islam di Malaysia khususnya dan diseluruh dunia amnya untuk:-

  1. Umat Islam di Malaysia hedaklah terus mendoakan bagi saudara kita di Gaza dan Palestin sehingga mereka beroleh kemenangan, penuhi malam-malam 10 akhir Ramadan ini dengan qunut nazilah supaya Allah SWT memberi kekuatan pada umat Islam dan menhancurkan segala perancangan musuh.
  2. Umat Islam di Malaysia perlu tingkatkan keprihatinan dengan menjadikan isu ini sebagai isu utama kita bersama, penuhi perbincangan mengenai isu ini di setiap ruang-ruang yang ada, di setiap ucapan, ceramah dan perbualan yang berlaku, moga dengan itu umat Islam di Malaysia akan cakna perihal yang berlaku kepada saudara-saudara kita di seluruh dinia.
  3. Umat Islam di Malaysia perlu menggerakkan segala usaha dan kerahan dalam memberi sumbangan dalam apa jua bentuk samada kewangan, media massa, perubatan dan seumpamanya kepada rakyat Palestin.
  4. Umat Islam di Malaysia hendaklah sedar bahawa strategi musuh-musuh untuk menghancurkan Islam tidaklah terhad setakat di Gaza atau Palestin bahkan ianya meliputi seluruh dunia termasuk di tanah air kita Malaysia. Pertembungan hak dan batil adalah janji Allah SWT.
  5. Umat Islam di Malaysia hendaklah menjadikan Hamas dan pejuang Palestin sebagai qudwah dari segi kegigihan dan kesungguhan mereka dalam memelihara negara mereka daripada anasir-anasir luar yang cuba mengancam serta menghancurkan negara mereka.
  6. Umat Islam di Malaysia hendaklah menjadi agen penyatuan umat untuk membina semula kekuatan dan menolak segala perkara yang boleh membawa kepada perpecahan dan pertelingakahan. Hanya dengan kesatuan dan perpaduanlah, keizzahan serta keagungan Islam itu akan kembali yang akan membawa kepada pembebasan Palestin.

Kepada kepimpinan umat Islam di seluruh dunia kami menyeru supaya:-

  1. Segera menunjukkan sikap berani dengan mengutuk tindakan Israel menyerang dan mengepung bumi Gaza.
  2. Segera memberikan segala bentuk bantuan dan pertolongan kepada saudara kita di sana khususnya perubatan dan makanan.
  3. Menggerakkan OIC dan segala agensi lain untuk menggesa PBB mengutuk serangan ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Israel.

Berkenaan isu untuk jihad secara fizikal ke Palestin, Majlis Ulama ISMA (MUIS) berpendirian:

  1. Sesungguhnya jihad itu luas dalam pelbagai bentuk dan suasana. Dalam konteks kita di Malaysia, antara Jihad terhadap Palestin yang terutama (awla) bagi waktu sekarang dan keadaan sekarang adalah dengan jihad ekonomi seperti dengan kewangan, bantuan untuk saudara kita disana serta kempen untuk memboikot segala produk berkaitan Israel. Adapun jihad fizikal mungkin adalah kurang bersesuaian untuk waktu ini.
  2. Juga dalam konteks kita di Malaysia, antara jihad yang terutama ialah mempertahankan negara kita daripada segala ancaman ideologi dan kefahaman menyeleweng yang terus mengancam kemulian Islam di dalam negara kita, juga mempertahankan kedudukan Islam daripada diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya. Ini adalah antara jihad kita yang terutama, yang sepatutnya kita berganding bahu mempertahan serta memperjuangkannya.

Semoga Allah merahmati roh para syuhada’ yang telah gugur dan memberikan kelepasan serta kemenangan kepada para pejuang di bumi Gaza dan Palestin seluruhnya.

مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ۬

Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

(Al-Baqarah : 214)

وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

(Al-Saff : 13)

 

PROF MADYA DR AZNAN HASAN                                                                      
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)  
 
 
UST SHAHRUZZAMAN  BISTAMAM
Ahli Tertinggi MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *