Kegagalan Sosialisme dan Kapitalisme petanda kebangkitan Islam

islamic-banking1

Istilah sosialisme adalah istilah yang tidak asing lagi dalam arena politik antarabangsa. Sosialisme muncul pada awal kurun 18, ketika tercetusnya Revolusi Perindustrian di Eropah. Idea ini berkembang pantas di serata dunia lantas membentuk sebuah blok sosialis yang luas dalam glob dunia ketika itu.

Sosialis tulen menolak konsep kasta yang ada dalam masyarakat kapitalis, di mana kerajaan mengawal semua cara penghasilan dan pengedaran produk dalam negara. Sosialis percaya, pengawalan ini penting untuk menyingkirkan persaingan yang wujud antara kasta-kasta sosial, supaya semua rakyat mampu bersaing dalam medan ekonomi yang sama, bukannya persaingan yang menyebabkan golongan kaya semakin kaya dan golongan miskin semakin miskin. Idea sosialisme berteraskan, sesiapa yang bekerja maka dia akan menikmati manfaat dan hasil yang sama, seperti pendapatan (gaji), rawatan kesihatan, dan keperluan-keperluan lain.

Sepertimana yang umum mengetahui, definisi sosialisme yang tepat sukar ditentukan kerana wujud pelbagai versi sosialisme sepanjang sejarah politik dunia. Namun, perkara yang dipersetujui oleh sosialis antarabangsa adalah kapitalisme menindas kasta yang lebih rendah dalam masyarakat. Sosialis percaya sifat kompetitif yang ada dalam kapitalisme menyebabkan golongan minoriti kaya memonopoli industri, berupaya meminimakan gaji dan peluang golongan pekerja. Matlamat utama sosialisme adalah untuk menghapuskan perbezaan kasta-kasta ini dengan mengubah kawalan industri supaya berada di bawah tanggungan negara, daripada berada bawah tanggungan individu atau beberapa kelompok. Ini akan menghasilkan masyarakat yang harmoni, bebas daripada penindasan dan ketidakstabilan kewangan.

SOSIALISME DAN KEKALAHANNYA

Daripada idea dan konsep yang dapat dilihat daripada sosialisme, ternyata sosialisme cuba hadir sebagai penyelamat di tengah-tengah monopoli dan eksploitasi ekonomi dunia oleh sistem kapitalisme. Masyarakat dunia yang majoritinya golongan pekerja amat terseksa dengan bebanan kerja yang bertimbun banyak, dengan pendapatan yang tidak sepadan. Sedangkan golongan kaya pula berterusan memanipulasi tenaga golongan pekerja untuk menambahkan kekayaan mereka. Semua ini adalah implikasi daripada najis kapitalisme yang menguasai dunia ketika itu.

Soviet Union, Hungary dan Jerman antara negara yang mengaplikasikan fikrah Komunisme (versi ekstrem sosialisme), lalu membentuk sebuah blok sosialis dalalm peta politik antarabangsa. Pada awal kemunculannya, sosialisme berjaya menghapuskan eksploitasi dan monopoli yang berlaku, serta memberikan peluang yang samarata bagi semua peringkat rakyat untuk persaingan ekonomi. Inilah yang diimpikan oleh pengasas-pengasas sosiaslime, antaranya Francois Noel Babeuf.

Namun setelah satu tempoh masa, sosialime mula menunjukkan kelemahan dan kepincangan. Golongan pekerja tertindas, kerana diperlakukan seperti hamba abdi kerajaan laksana lembu dicucuk hidung . Tiada harta milik individu atau peribadi, kesemuanya milik kerajaan. Individu tidak diberikan hak untuk memiliki harta, makanan dan tempat tinggal berdasarkan kerja masing-masing kerana ini boleh mengakibatkan berlakunya “ketidakdilan sosial” dalam masyarakat.

Sosialisme juga merupakan antitesis pada kebebasan dan keadilan. Natijah akhir sosialisme sentiasa sama, iaitu penindasan. Ini dapat dilihat melalui pemaksaan kerajaan atas individu untuk menerima undang-undang yang telah ditetapkan. Mana-mana rakyat yang mempunyai harta lebih daipada jiran lain, maka dia akan diburu oleh kerajaan. Jika terdapat seorang rakyat yang tidak bersetuju dengan polisi kerajaan, maka dia akan digelar “musuh politik” kerajaan, lalu dipenjarakan atau dibunuh seperti yang dipraktikkan di Soviet Union. Sosialisme adalah rasis dan tidak pernah adil, dan merupakan sebuah sistem ekonomi dan sosial yang memecahkan dan bertentangan dengan naluri manusia.

Bukan itu sahaja, blok sosialis yang muncul menyebabkan berlakunya perang yang maha dahsyat dengan negara-negara blok kapitalis. Perang Dunia Pertama dan Kedua yang menyebabkan lebih kurang 100 juta nyawa terkorban, beberapa negara berpecah (Korea, Jerman dan lain-lain) dan kehancuran Hiroshima dan Nagasaki dengan serangan bom atom, yang implikasinya kekal sehingga sekarang, secara fizikal dan mental. Satu musibah besar pada ketamadunan manusia, yang pertama kali menyaksikan korban yang sebegini besar kerana pertembungan ideologi yang berlaku!

Benar seperti apa yang diungkapkan oleh Asy Syahid Sayyid Qutb, bahawa Marxisme tiada lain hanyalah merupakan sebuah tanda kemusnahan dan bukanlah pembawa arus perubahan. Ia (Marxisme) menandakan puncak materalialisme dalam gambaran kehidupan sepanjang peradaban manusia.

SIFIR KEBANGKITAN

Maka, apakah lagi sistem ekonomi yang sesuai untuk dipraktikkan, setelah dunia menyaksikan kegagalan kedua-dua sistem kapitalisme dan sosialisme?

Di sinilah, ungkapan Al-Islam huwal Hal (Islam adalah Penyelesaian) perlu diketengahkan. Islam yang bersumberkan wahyu yang suci daripada sebarang kesalahan patut menjadi rujukan dunia semula, setelah dunia meninggalkan sistem Islam yang sempurna untuk beberapa tempoh masa. Dunia memerlulan sebuah sistem seimbang, yang meraikan hak individu dalam masa yang sama mampu menghalang monopoli dan eksploitasi (secara ringkasnya). Dan terbukti, sistem Islamlah merupakan satu-satunya sistem yang mempunyai kedua-dua unsur ini.

Sayyid Qutb telah melakarkan gambaran ini dalam kitab Fi Zilal Al Quran, dalam tafsir Surah Al-Hasyr yang bermaksud, “Maka Sistem Islam mengiktiraf pemilikan individu, namun ia (Islam) bukanlah Kapitalisme, sebagaimana Kapitalisme bukan juga terbit daripadanya (Islam). Sistem kapitalis tidak akan tertegak tanpa monopoli dan riba (sedangkan Islam sendiri sudah melarang dengan larangan yang amat keras terhadap ekonomi monopoli dan riba). Sesungguhnya Islam itu merupakan sistem tersendiri dari Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Ia (Islam) tumbuh sendiri, bergerak sendiri dan kekal sehingga Hari iamat dengan sendiri!”

Dunia akan menyaksikan perubahan yang amat signifikan dengan tertegaknya sistem Islam di atas muka bumi, seperti yang pernah disaksikan oleh sejarah peradaban manusia!

 

Amar-Ismat

Ust Amar Ismat
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *