Isu pemakanan menuntut kepada Jihad Ekonomi

makan

1. Di dalam Islam isu pemakanan bukan sekadar mekanisme penerus kehidupan sahaja tetapi ia juga sebagai terjemahan kepada kualiti kepatuhan kita kepada Allah SWT. Sejauh mana kepatuhan kepada persempadanan halal haram , ia akan menunjukkan kualiti ubudiyyah kita kepada Allah SWT.

2. Kepatuhan kepada persempadanan halal haram adalah garis pembeza antara mereka yang mendokong system Allah dan orang yang mentaati syaitan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِى ٱلۡأَرۡضِ حَلَـٰلاً۬ طَيِّبً۬ا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَكُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ 

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.  (Surah Al Baqarah :168 )

3. Kepatuhan kepada persempadanan halal haram juga adalah garis pembeza antara mukmin dan kafir.

وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يَتَمَتَّعُونَ وَيَأۡكُلُونَ كَمَا تَأۡكُلُ ٱلۡأَنۡعَـٰمُ وَٱلنَّارُ مَثۡوً۬ى لَّهُمۡ

dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. (Surah Muhammad :12)

4. Sistem halal haram dalam isu pemakanan di dalam Islam secocok dengan naluri seluruh manusia kerana ia mengandungi nilai-nilai yang diterima sejagat iaitu “suci, bersih dan selamat” dan itulah salah satu bukti “rahmatan lil alamin”!

5. Dalam konteks Malaysia, isu yang sudah diketahui umum oleh semua rakyat Malaysia samada muslim dan non muslim iaitu orang Islam tidak boleh menjamah babi dan meminum arak adalah satu isu yang asas dan diketahui semua.

6. Namun apabila ada pihak yang sengaja tidak mengendahkan sensitivity umat Islam dalam isu ini seperti menyediakan arak dalam buffet iftar , bihun yang di kilang dalam keadaan sangat kotor dan menggunakan lambang yang mengelirukan umat Islam dan menternak ikan patin yang diberikan makan babi  samada disengajakan ataupun kerana ketamakan, sebenarnya ia membawa isyarat percubaan untuk meruntuhkan keharmonian hidup bernegara khususnya sensitivity umat Islam.

7. Menceroboh sensitiviti umat Islam dalam isu babi dan arak; Sedangkan ia adalah perkara asas hidup saling menghormati sesama penduduk yang berbilang agama di negara ini merupakan cabaran kepada umat Islam segenap peringkat dan menuntut kepada umat supaya bersungguh-sungguh mempertahankan kedudukan Islam di  negara ini.

Isu ini juga menuntut umat Islam untuk melancarkan jihad ekonomi dengan saling membantu umat Islam dalam sektor ekonomi dan wajib ag umat Islam menggunakan “kuasa membeli” mereka untuk memajukan ekonomi umat dan “mengajar” mereka yang tidak hormat kepada sensitiviti umat Islam sebagai penduduk majoriti negara ini.

 

ust zamri_2

 
Sahibus Fadilah Ustaz Hj.Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak
Ahli Tertinggi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *