Golongan yang menjuzukkan Al-Quran

quran puti
Allah SWT menyuruh kita untuk berlaku adil, seperti dalam surah Al-Maidah ayat 8 ;

“Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah” 

Seperti juga dalam surah An-Nahl ayat 90 ;

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”

Untuk ayat dalam surah Al-Maidah, ramai orang menaqalkan ayat tersebut tanpa melihat struktur ayat dengan kefahaman yang lebih jauh.

Allah menyebut keadilan itu lebih dekat dengan ketaqwaan, ia bermakna yang dijadikan hadaf dan kayu ukur sebenar adalah ‘taqwa’ kepada Allah, dan keadilan itu adalah salah satu kayu ukur untuk ke arah itu. Ia bukanlah neraca terutama di sisi Allah, bahkan neraca utama adalah mencapai ke arah taqwa yang disebutkan bahawa keadilan (yang dimaksudkan Allah) itu lebih hampir kepada taqwa.

Taqwa dan takut kepada Allah serta ubudiyyah kepada-Nya merupakan maqasid asasi yang tunggal, serta merupakan ibu segala maqasid dalam penurunan syariat ini yang tidak sekali-kali boleh terlepas pandang.

Untuk ayat yang kedua, ada beberapa perkara yang boleh kita rungkaikan.

1. Secara kebiasaannya orang akan menaqalkan ayat ini dan membawanya sebagai dalil untuk berlaku adil.

2. Dalam memahami Al-Quran melalui kefahaman Usul Fiqh, mustahil Allah menyuruh suatu perkara yang bertentangan. Misalnya mustahil Allah suruh berlaku adil dalam masa yang sama menyuruh untuk berlaku zalim. Itu adalah satu kemustahilan.

Daripada kefahaman ini, apabila Allah menyuruh sejumlah perkara, ia bermakna tiada apa-apa yang bertentangan dengan jumlah suruhan yang disebutkan.

Kita boleh keluarkan tuntutan dalam ayat itu,

  1. Adil,
  2. Ihsan,
  3. Memberikan sedekah kepada kaum kerabat,
  4. Melarang sebarang bentuk kemungkaran.

Jadi kesemua empat perkara ini tiada yang bertentangan, ia hanya berlainan konteks suruhan pada tempat yang berbeza.

Mustahil, untuk berlaku adil, lalu kita mengabaikan konsep amar makruf nahi mungkar. Ia mesti dilakukan dalam landasan yang sama rata kewajipannya dan sama tarafnya.

Adapun hanya memetik sebahagian suruhan dalam masa yang sama mengabaikan suruhan-suruhan yang lain, itu semua adalah bentuk-bentuk manipulasi terhadap ayat-ayat suci Al-Quran dan menggunakan kalam Allah atas kepentingan pihak-pihak tertentu.

Biarpun ia berbunyi peti undi, tahaluf siasi, menjaga hati orang yang tak sepatutnya dijaga, mencari sahabat yang memusuhi Allah dan Rasul, serta apa jenis strategi, kesemua suruhan dan larangan Allah mesti dilihat secara keseluruhan, kerana Islam tidak mengenal penjuzukkan dan pengasingan.

Al-Quran juga menempelak Yahudi dan Nasrani kerana ambil sebahagian agama dan tinggalkan yang lain. Siapa yang berakhlak macam itu patut ditujukan padanya ayat yang sama. Allah sebut siapa yang begitu perangainya akan dipalit kehinaan di dalam kehidupan dunia, dan pada hari Akhirat nanti akan diazab dengan dahsyat.

Biasanya pendokong liberalisme dan sekularisme yang suka petik-petik ayat macam itu hingga menghalalkan murtad secara sukarela dan senyap-senyap, mendokong LGBT, dan menggalakkan pelantikan orang kafir sebagai pemimpin umat Islam.

Wallahua’lam.

 

ust syamil
 
 
Ust Ahmad Syamil Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *