BeritaUtama

Zaid Ibrahim antara tiga kemungkinan: jahil, liberal dan menolak kebenaran

BANGI, 15 Mei – Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Dr Isa Hamzah menyifatkan Zaid Ibrahim berada di antara tiga kemungkinan, sama ada beliau muslim tetapi jahil, muslim yang berkefahaman barat dan muslim yang tahu kebenaran tetapi menolaknya.

“Jika Zaid seorang yang jahil, maka dia perlu belajar mendalami ilmu agama, jika dia seorang liberal yang berkefahaman barat, itu bukanlah satu perkara yang pelik,” kata beliau kepada ISMAweb.

Dr Isa yang juga merupakan pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengulas kenyataan Zaid Irahim baru-baru ini yang mengatakan beliau (Zaid) seorang muslim yang baik dan menolak hudud.

“Seorang muslim yang berfikiran barat akan melihat agama ini pada perspektif barat iaitu ianya hanyalah amalan peribadi, sedangkan Islam tidak sama dengan kefahaman tersebut, Islam merupakan sistem kehidupan,” tambah Dr Isa lagi.

Ujarnya, Zaid Ibrahim juga berkemungkinan seorang yang telah tahu akan kebenaran sebenar mengenai hukuman hudud namun menolaknya atas keegoannya.

“Boleh jadi pada hakikatnya dia sudah tahu tapi menafikan perkara tersebut. Adalah tidak patut bagi seorang muslim  yang mengucap dua kalimah syahadah menolak hukuman hudud yang jelas disebut dalam Al-Quran. Menolak hudud bermaksud menolak ayat hukum yang jelas dalam Quran,” jelas beliau lagi.

Beliau menolak pandangan Zaid itu dengan memetik ayat 85 dari Surah Al-Nisa’ yang menyebut bahawa tidak beriman seseorang itu sehinggalah menjadikan undang-undang Allah sebagai rujukan dalam pertelingkahan yang berlaku.

Isu hudud menjadi isu hangat setelah Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Ahmad Yakob memaklumkan bahawa kerajaan PAS Kelantan akan membentangkan usul Rang Undang-undang hudud di sidang parlimen akan datang, namun Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kenyataan terbaru mengatakan pihak PAS akan menangguhkan pembentangan itu atas alasan tertentu.

Leave a Reply