Fiqh SemasaSoal Jawab

Hukum menukar nama dan ber”bin”kan kepada Abdullah

 “Apakah hukum menukar nama dan berbinkan kepada Abdullah kepada mereka yang baru masuk Islam:”

Jawapan ringkas saya: Ada dua isu di sini:

  1.  Apakah hukum menukar nama kepada mereka yang baru masuk Islam.
  2.  Berbinkan Abdullah.


1) Hukum menukar nama apabila masuk Islam:

Bernamakan dengan nama yang baik-baik maknanya adalah tuntutan syarak. Rasulullah SAW suka kepada nama-nama yang bermaksud baik, dan tidak suka kepada nama-nama yang bermaksud tidak baik. Baginda bersabda (riwayat Muslim):

“إن أحب أسمائكم إلي الله عبد الرحمن وعبد الله”

Oleh kerana ini, memberikan nama yang baik maksudnya adalah disunatkan mengikut pandangan fuqahak. Para ulamak telah membahagikan pemberian nama ini kepada tiga:

  1. Nama yang dibenarkan: Nama yang mempunyai makna yang baik,atau paling kurang, tidak mempunyai makna yang buruk
  2. Nama yang makruh: Nama yang mempunyai makna yang tidak baik, atau membawa malu kepada pemunyanya dsb
  3. Nama yang haram: Nama yang membawa makna yang bertentangan dengan Islam seperti nama berhala, Abd al-Shams (hamba matahari), atau nama yang khusus kepada Allah swt seperti Rahman, Rahim, al-Khaliq dsb.


Perlu diingatkan bahawa nama-nama yang mempunyai makna yang baik ini tidak semestinya di dalam Bahasa arab. Jika sekiranya seseorang itu masuk Islam, dan beliau telah mempunyai nama yang baik (mengikut bahasa beliau), maka ini juga termasuk di dalam kategori mempunyai nama-nama yang baik dan dibenarkan. Tetapi jika nama-nama beliau mempunyai makna-makna yang tidak baik (dalam kategori nama yang makruh), maka disunatkan menukarkan namanya dengan nama yang mempunyai makna yang baik. Namun jika sekiranya, namanya mempunyai makna yang tidak baik, dan termasuk di dalam kategori haram, maka menukar namanya adalah diwajibkan.

Namun apakah hukumnya jika sekiranya nama beliau mempunyai makna yang baik (di dalam bahasa beliau), tetapi beliau masih mahu menukar nama tersebut? Hukumnya adalah harus. Ibn Rusd menyatakan (al-Bayan wa al-Tahsil: juz 14/ 379):

“أما تسميته باسم من أسماء الإسلام، فلا كراهة في ذلك

Namun jika sekiranya nama sebelum Islam beliau adalah nama yang popular sebagai suatu nama kafir (seperti nama paderi atau sebagainya), pada pandangan saya adalah lebih baik ditukar. Bahkan terdapat ulama yang mewajibkan untuk ditukar. Ibn al-Qayyim menyatakan (Ahkam ahl al-zimmah):

“ولا يجوز للمسلمين أن يتسمون بذلك، لما فيه من المشابهة فيما يختصون به”

Sheikh Abdullah bin Baz juga berpandangan bahawa adalah lebih baik untuk menukar nama kepada nama yang lain, jika sekiranya nama beliau adalah Antara nama-nama yang terkenal di kalangan orang Kristian. Ini adalah untuk mengelakkan agar orang menganggap bahawa beliau adalah seorang Kristian.

2) Hukum berbinkan Abdullah apabila masuk Islam

Pada hakikatnya, tiada sebarang kewajipan untuk membinkan beliau dengan “bin Abdullah”, bahkan tidak mengapa untuk mengekalkan nama keluarga beliau, kerana para sahabat juga tidak pernah menukar nama ayah mereka apabila memeluk Islam, bahkan Rasulullah SAW juga memanggil mereka dengan nama ayah mereka (Ibn al-Qayyim: Ahkam Ahl al-Zimmah).

Bahkan Imam Malik pernah menyatakan ketidaksenangan beliau apabila seorang lelaki yag telah masuk Islam dan kemudiannya menukar kepada “bin Abdullah”.

“سئل مالك عن رجل أسلم فتسمي باسم إسحاق, ة أبوه نصراني, فإذا قيل له من أنت؟ قال: أنا إسحاق بن عبد الله. قال: ترك ذلك أحب إلي”

“Imam Mali pernah ditanya berkenaan dengan seorang lelaki yang masuk Islam dan diberi nama Ishak. Dan ayah beliau adalah seorang yang beragama kristian. Apabila ditanya kepada beliau, “siapa kamu”, beliau akan menjawab: ‘Saya Ishak bin Abdullah”. Imam Malik berkata: “Kalau ditinggalkan (bin Abdullah), aku lebih suka”.

Pada pandangan saya, Imam Malik merasa tidak selesa kerana khuatir bahawa orang mungkin salah faham dan menganggap bahawa beliau adalah anak seseorang yang bernama Abdullah. Namun begiu, terdapat ulama yang membenarkan, dengan syarat tidak ada sebarang niat tidak baik atau penipuan dengan berbinkan Abdullah itu (al-Bayan al-al-Tahsil).


Pada pandangan saya, adalah tidak mengapa berbinkan Abdullah (tetapi itu tidak menjadi kewajipan), jika sekiranya matlamat “bin Abdullah” tersebut adalah untuk mengelakkan salah faham berkenaan dengan agama beliau (setelah beliau masuk Islam). Tetapi bukanlah menjadi kemestian untuk beliau berbinkan Abdullah. Bahkan pada pandangan peribadi saya, jika sekiranya mengekalkan nama tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah (daripada pelbagai aspek, seperti perundangan, social dan kemasyarakat, keraguan tentang keislamannya dsb), maka adalah lebih baik dikekalkan nama keluarganya, kerana nasab adalah suatu perkara yang amat penting di dalam Islam. 

Semoga jawapan ringkas ini membantu.

Wallahu A’lam.

 

dr aznan_2
 
 
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *