Setiap umat Islam wajib beriman terhadap hukuman Hudud- Timb Mufti Perak

Timbalan Mufti Perak Sahibus Fadilah Ustaz Hj.Zamri Hashim hari ini berkata adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap umat Islam beriman terhadap hukuman Hudud.

“Sepatutnya langsung tiada isu kepada umat Islam untuk menolak hukum-hakam yang yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya termasuk salah satu daripadanya iaitu hukum hudud.”

Beliau yang juga ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah  umat Islam yang menolak pelaksanaan hukuman hudud.

Ustaz Hj.Zamri Hashim turut berkata hukuman hudud yang juga salah satu daripada undang-undang jenayah adalah sebahagian peraturan penghambaan kepada Allah SWT diwajibkan keatas umat Islam mentaatinya dan bukannya pilihan.

Beliau menambah bahawa beriman kepada hudud bukan sekadar pada kepercayaan tetapi turut berusaha keras kearah melaksanakan hukuman tersebut dengan kerjasama dari semua pihak.

“Bagi saya, umat Islam bukan sekadar dituntut untuk hanya mengimani wujud dan wajibnya peraturan-peraturan ini dilaksanakan ; bahkan wajib memperjuangkan perlaksanaannya sebagai satu terjemahan kepatuhan kita kepada titah perintah Allah bagi maksud  menyempurnakan matlamat Islam itu sendiri iaitu “memenangkan” Islam atas agama-agama yang lain.

Dalam konteks Negara Malaysia , umat Islam merentas semua kumpulan perlu serius memperjuangkannya sebagaimana seriusnya sebahagian orang bukan Islam melakukan penentangan secara terang-terangan”

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa isu hudud ini adalah satu ujian daripada Allah SWT terhadap umat Islam di Malaysia untuk melihat sejauh mana benarnya janji seseorang itu pada Allah SWT juga bagaimana keikhlasan mereka yang mengaku sebagai pejuang Islam di negara ini.

Isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan kembali menjadi perbincangan hangat akhir-akhir ini apabila Kerajaan PAS Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu, bercadang membawa usul berhubung perkara itu di Dewan Rakyat Jun ini.

Hasrat PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen ditentang keras sekutunya, DAP, atas alasan pelaksanaan hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pakatan PAS-DAP-PKR.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *