Kebebasan Berlandaskan Syarak Bagi Seorang Muslim
Antara perkara asas yang diletakkan oleh Islam : Sesungguhnya sesuatu perkara yang telah diciptakan oleh Allah SWT adalah halal dan harus (pada asalnya), ianya tidak haram melainkan ada sebarang nas yang jelas dari Syara menyebut akan pengharamannya. Maka semua perkara adalah harus melainkan adanya dalil yang mengubah hukum perkara tersebut.
Kebanyakkan ulama berhujahkan bahawa “asal sesuatu perkara adalah harus” berdasarkan beberapa dalil dari ayat Al-Quran :
Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al Baqarah : 29)
Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. (Sura Al Jathiyah: 13)
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? (Surah Luqman: 20)
Tidak mungkin pada fikiran logik akal bahawa Allah SWT menciptakan sesuatu perkara lalu Allah menyempurnakan serta memelihara perkara tersebut, kemudian Allah SWT haramkannya dari manusia untuk menikmati perkara tersebut.
Jadi sudah tentu pengharaman sebahagian perkara yang terlalu kecil dari seluruh ciptaan Allah adalah atas hikmah tertentu iaitu atas menjaga kemaslahatan dan mafsadah pada diri manusia.
Maka jika kita memahami perkara ini, kita akan sedar bahawa ruang pengharaman di dalam syariat itu adalah sangat sempit dan kecil ruangnya, adapun ruang perkara yang halal itu teramatlah luas iaitu selagi mana tiada sebarang dalil yang mengharamkan perkara tersebut.
Itulah yang termaktub dalam Hadis Rasulullah SAW :
“Apa yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam kitabNya maka perkara tersebut adalah halal dan apa yang diharamkan maka ianya adalah haram. Namun pada perkara yang disenyapkan (tidak dinyatakan hukumnya) maka perkara tersebut diampunkan (harus untuk dibuat). Pohonlah keampunan dari Allah SWT dan Dia tidak akan melupai sebarang perkara”
Daripada Salman Al Farisi RA : Telah ditanya Rasulullah SAW mengenai hukum majerin, keju dan bulu lalu baginda bersabda: Perkara yang halal adalah apa yang Allah SWT halalkan di dalam kitabNya dan perkara yang haram adalah apa yang Allah SWT haramkan di dalam kitabNya, adapun perkara yang disenyapkan maka ianya adalah keampunan (harus) bagimu.
Dan ingin aku peringatkan disini, asal sesuatu perkara harus itu meliputi banyak perkara termasuk perbuatan dan segala tindak tanduk kita selagi mana ianya bukanlah ibadat. Perbuatan selain ibadat ini disebut di dalam syarak sebagai “adat”, maka asal bagi segala perbuatan iaitu adat adalah harus selagi mana tiada sebarang dalil mengharamkannya.
Adapun berkait dengan perkara ibadah, kita hanya akan berpegang berdasarkan petunjuk wahyu iaitu apa yang syarak telah syariatkan pada kita. Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda mengenai golongan yang menokok tambah dalam perkara ibadat :
“Sesiapa yang membuat sesuatu perkara yang tidak bersumber dari sumber yang sebenar (wahyu) maka perkara tersebut adalah tertolak”
Sesungguhnya dua hakikat yang menjadi pegangan asas dalam Islam ialah :
- Kita tidak sembah melainkan pada Allah SWT.
- Kita tidak menyembah (beribadat pada) Allah melainkan berdasarkan panduan syarak. Sesiapa yang menambah-nambah tanpa ada sumber dari wahyu, maka perkara tersebut adalah tertolak. Kerana syarak sahaja yang berhak menentukan bagaimana cara (ibadah) kita mendekat diri kepada Nya.
Adapun dalam perkara adat, manusia yang menciptanya. Syarak hanya hadir melarang atau mengharuskan atau tidak berkata mengenainya (tanda ianya harus) berdasarkan nilaian maslahat dan mafsadah sesuatu perbuatan tersebut.
Telah berkata imam Ibnu Taimiyyah :
Segala tindak tanduk manusia merangkumi perbuatan dan percakapan terbahagi pada dua perkara : Ibadat yang dengannya diurus agamanya dan adat yang menjadi keperluan dalam kehidupan di dunia. Maka apabila kita membaca perkara asas dalam syarak, kita akan mendapati bahawa dalam perkara ibadat hanya syarak yang berkuasa dalam menentukannya. Tetapi dalam perkara adat, pada asalnya segala perbuatan tersebut adalah harus melainkan adanya dalil yang mengharamkannya.
Atas dasar itulah sebahagian besar ulama hadis menyatakan : Asal dalam urusan ibadat adalah tawqif (bersumber pada wahyu) bermaksud kita hanya disuruh melakukan apa yang syarak arahkan. Kalaulah kita melakukan sesuatu perkara yang syarak tidak arahkan maka kita akan tergolong dalam kelompok seperti dalam firman Allah SWT :
Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? (Surah Al-Syura: 21)
Adapun asal dalam urusan adat adalah dimaafkan (harus), tidak diharamkan melainkan apa yang Allah SWT haramkan. Kalaulah kita mengharamkannya sedangkan syarak memaafkannya (harus) maka kita akan tergolong dalam kelompok seperti dalam firman Allah SWT:
Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram dan sebahagian lagi halal? (Surah Yunus: 59)
Kaedah ini tersangat besar nilaiannya dan kesannya pada kehidupan seorang muslim. Ianya boleh kita simpulkan : Semua perbuatan adat (makan, minum, jual beli dll) adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia, lalu syarak hadir memberi panduan bagaimana melakukan perkara tersebut dalam bentuk yang terbaik (adab makan, adab minum, adab bercakap dll), sebahagiannya juga telah diharamkan atau dimakruhkan syarak atas menjaga maslahat dan menolak fasad, juga diwajibkan pada adat yang manusia tidak boleh hidup tanpanya.
Inilah ruang kebebasan yang dianjurkan oleh Islam, hiduplah dengan bentuk atau cara yang engkau suka selagi mana perkara tersebut tidak melanggar batas syarak.
Kebebasan yang diberi adalah atas penilaian masalahat dan mafsadah! bukannya kesesatan hawa nafsu.
Atas kefahaman inilah lahir satu lagi kaedah syarak yang agung iaitu: “Tidak disyariatkan sesuatu ibadat melainkan apa yang Allah SWT telah syariatkan serta tidak diharamkan sesuatu adat melainkan apa yang Allah SWT telah haramkan”
Ini merupakan terjemahan kepada artikel asal oleh Dr Yusuf Al Qardawi dalam bahasa arab dari laman web beliau qaradawi.net
Diterjemah dan disunting oleh
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)