Hukuman Jenayah Hudud Untuk Keharmonian Hidup Bermasyarakat- Siri 3
Hubungan antara hukuman jenayah hudud dalam Islam dengan maqasid syariah.
Sebelum kita melihat hubungan antara hukuman jenayah hudud dalam Islam dengan maqasid syariah, kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan maqasid syariah. Berbagai takrifan maqasid syariah telah diberikan oleh para ulama. Antaranya adalah seperti berikut:
1) Maqasid syariah ialah kebaikan yang kembali kepada hamba di dunia atau akhirat samada dengan cara mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kemudaratan (keburukan). (Dr Yusuf al-A’lim 1997)
2) Maqasid syariah ialah matlamat yang ditentukan oleh Islam untuk dilaksanakan bagi memberi kebaikan kepada hambanya. (al-Raisuni 1997)
Bagi memastikan maqasid syariah terlaksana, para ulama telah mengenal pasti bahawa ia perlu kepada pemeliharaan ad-Dharuriyyat al-Khamsah dalam kehidupan manusia. Yang dimaksudkan dengan ad-Dharuriyyat al-Khamsah ialah memelihara lima perkara asas dalam kehidupan. Lima perkara asas tersebut ialah memelihara agama, memelihara nyawa dan kehidupan, memelihara akal, memelihara maruah dan keturunan serta memelihara harta. Berdasar kepada pemerhatian, apabila kelima-lima perkara asas ini terpelihara, maka terpeliharalah hidup manusia.
Apabila kita melihat kepada kesemua hukuman-hukuman hudud yang telah dibincangkan sebelum ini seperti hukuman zina, hukuman qazaf, hukuman mencuri, hukuman hirabah, hukuman minum arak dan hukuman murtad, kesemuanya berkisar kepada pemeliharaan ad-Dharuriyyat al-Khamsah atau menjaga lima perkara asas dalam kehidupan manusia. Walaupun hukuman hudud agak keras di sisi pandangan sebahagian manusia, namun apabila dilihat di sudut maqasid syariah, ia sebenarnya adalah untuk memelihara dan menjaga kehidupan manusia itu sendiri. Sebagai contoh, hukuman zina dan qazaf adalah untuk memelihara maruah seorang manusia, hukuman mencuri dan hirabah adalah untuk memelihara nyawa dan harta, hukuman minum arak adalah untuk memelihara akal dan hukuman murtad adalah untuk memelihara agama. Maka jelaslah di sini bahawa perlaksanaan hukuman hudud sememangnya akan menjadikan kehidupan manusia akan terpelihara.
Penutup
Sesungguhnya Allah swt yang mencipta manusia dan Dia juga yang telah menurunkan peraturan-peraturan hidup untuk manusia ciptaannya. Adalah sesuatu yang amat logik lagi munasabah apabila peraturan hidup yang diturunkan oleh Allah swt menepati fitrah kejadian manusia ciptaannya dan sudah pasti peraturan-peraturan Allah ini dapat menjamin keharmonian hidup manusia ciptaannya. Kegagalan hukuman-hukuman ciptaan manusia sudah tidak dapat disangkal lagi dengan pertambahan kadar jenayah dari tahun ke tahun. Adakah kita masih belum cukup yakin dengan kegagalan hukuman ciptaan manusia sedangkan ia berlaku secara jelas di hadapan kita pada setiap hari. Sesungguhnya sejarah telah membuktikan apabila perlaksanaan hukuman Islam dilaksanakan dalam kehidupan seharian, maka kehidupan masyarakat tersebut berjalan dalam keadaan aman dan harmoni. Oleh itu penyelesaian kepada kegelisahan masyarakat kepada pertambahan jenayah pada akhir-akhir ini adalah dengan kembali kepada perlaksanaan hukuman Islam dalam kehidupan kita.
*siri 1 pengenalan undang jenayah Islam dan hukuman hudud sini
**siri 2 jenayah dan hukuman hudud sini
Ust Ahmad Zainal Abidin Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS) Rujukan Zuhayli, Wahbah. (1989) al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Damascus: Darul Fikri.A’udah, Abdul Qadir.(1985) At-Tayshri’e al-Jina’ie al-Islami. Beirut: Muassasah ar-Risalah.Awang, Afendi. (2011) Kaedah Pengajian Syariah. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.
Al-Alim, Yusuf Hamid. (1997) al-Maqsid al-Ammah Li al-Syariah al-Islamiyyah.Khartum: Dar al-Sudaniyyah.
Anwarullah. (1997) Criminal Law of Islam. Kuala Lumpur: A.S.Noordeen.
Abu Zahrah, Muhamad. (1980) al-‘Uqubah: al-Jarimah wa al-U’qubat fi al-Fiqh al-Islami. Kaherah: Dar al-Fikr al-A’rabi.
Ibrahim, Ahmad Mohamed. (2000). The Administration of Islamic Law. Kuala Lumpur: Insstitut Kefahaman Islam Malaysia.
Abd. Majid, Mahmood Zuhdi. (1992). Undang-undang Jenayah Islam: Konsep dan Asas-asas Perlaksanaannya. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
Al-San’ani, Muhamad Ibn Ismail. (1986). Subul al-Salam: Syarh Bulugh al-Maram min Jami’e Adillatihi al-Ahkam. Beirut: Dar al-Kitab al-A’rabi.
Ibrahim, Haji Sa’id. (1996) Qanun Jinayah Syar’iyah dan Sistem Kehakiman dalam Perundangan Islam Berdasarkan Quran dan Hadis. Kuala Lumpur: Darul Ma’rifah.