Fatwa Haram Syarie terlibat dalam pilihanraya Mesir
KAHERAH, 19 Mei- Rabitah Ulama Ahli Sunnah, antara badan ulama yang terbesar di dunia telah mengeluarkan fatwa adalah haram secara syarie bagi rakyat Mesir terlibat dalam pilihanraya presiden yang dijangka pada 26 – 27 Mei ini.
“Menjadi kewajipan secara syarie kepada rakyat Mesir untuk menolak serta memboikot pilihanraya ini kerana pilihanraya ini berdiri atas kudeta maka haram sepenuhnya terlibat dalam pilihanraya ini”
Fatwa pengharaman tersebut yang dikeluarkan bertarikh 11 Mei itu meliputi semua sudut di dalam pilihanraya samada mengundi, menjadi calon, menjadi hakim (pemantau), atau apa sahaja tugas yang bertujuan membantu pilihanraya tersebut.
Antara hujah yang dijadikan dalil pengharaman untuk terlibat dalam pilihanraya tersebut adalah pemimpin kudeta Al Sisi merupakan seorang yang zalim (disebabkan tindakan membunuh, kudeta dll) dan dalam Islam adalah haram melantik seorang yang sudah jelas kezalimannya berdasarkan ayat 124 Surah Al-Baqarah.
“Turut menjadi kewajipan pada rakyat Mesir untuk bertahan dalam meneruskan penentangan mereka terhadap mereka yang melakukan kudeta supaya dapat dikembalikan kebebasan dan dihormati perlembagaan” katanya di akhir fatwa tersebut.
Rabitah Ulama Ahli Sunnah adalah satu badan ulama antarabangsa yang terkenal dalam ketegasan terutama berkaitan isu sunni-syiah dan isu-isu yang berlaku di negara arab, mereka juga dikenali atas fatwa yang dikeluarkan dua bulan yang lepas menyebut mengenai haram bekerja atau terlibat dalam institusi polis Mesir. Antara ulama besar yang ada dalam Rabitah Ulama Ahli Sunnah ialah Syeikh Muhammad Hasan Al-Dadu, Dr Abd Munim Al Tamimi dan lain-lain.
Untuk rekod berkenaan pilihanraya presiden Mesir, Al-Sisi yang berumur 59 tahun merupakan calon popular dalam pilihan raya presiden menentang Hamdeen Sobahi yang dijadualkan pada 26-27 Mei ini.
Semasa pemerintahan Morsi, Al-Sisi dilantik menjadi Menteri Pertahanan dan pada Julai tahun lalu, Al-Sisi bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penggulingan Presiden Morsi.