Emosi seorang ibu adalah anugerah Allah SWT

umu nidhal

Ummu Nidhal juga terkenal dengan Khansa’ Palestin.Beliau telah pun mendapat apa yang dia cita-citakan di sisi Allah pada 17 Mac 2013.Kata-kata perangsang beliau buat anak-anaknya masih di sebut-sebut oleh para ibu hari ini.Kata-kata perangsang itu berbunyi

“Ibu mahu kamu berperang melawan zionis dengan senjata bukan dengan batu’’

Semangat tinggi dan berjiwa besar sering kali didendangkan dalam membersarkan anak-anak.Keberkatan ucapannya yang bertunjangkan keimanan itu menjadi azimat. Akhirnya kalimah azimat ini membuahkan hasil yang mulia di sisi Allah.Sebuah kematian mulia yang telah menggegarkan bumi Palestin khususnya dan dunia amnya.

Percayalah! Emosi seorang ayah tak sehebat emosi seorang ibu.Amatilah  kata-kata ini ibu para syuhada ini!

“Kematian adalah satu perkara yang menyedihkan tetapi jangan bimbang kerana bertemu  dengan Allah adalah satu kegembiraan yang tidak dapat di gambarkan” (mengatasi perasaan sedih )

 Keras dan deras kalimah yang diungkapkan oleh Ummu Nidhal .Pastinya inilah yang membangkitkan semangat perjuangan pemuda-pemudi Palestin beberapa  dekad hingga ke hari ini dan kita yakin perjuangan para mujahid dan mujahidah di bumi palestin akan  berjaya membebaskan bumi wakaf umat Islam.Amiin Ya Rabb. Allah Akbar.

Suasana pilu dan hiba si ibu menatap wajah anak yang akan  menemui janji Allah .Dengan penuh emosi beliau berkata:

“Ibu tidak dapat membendung air mata, tetapi jangan percaya dengan  air mata ibu ini nak… Ini adalah air mata bangga menjelang hari pertemuanmu dengan bidadari.Pergilah menemui Rabb-Mu dan berjihadlah. Tetaplah hatimu thabatlah, kekallah seperti itu sampai engkau bertemu Allah Taala..”

Sekali lagi di pertegaskan emosi seorang bapa tidak sehebat emosi seorang ibu.

Firman Allah dalam surah ali ‘imran ayat 169 yang maksudnya.

‘Dan janganlah sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Mereka juga tetap ‘ hidup’ dihati kita dengan menjadi inspirasi dan pembakar semangat buat kita demi meneruskan perjuangan ini

Ayat inilah yang menjadi motivasi para ibu dalam memperhebatkan  anak-anak untuk melalui perjalan hidup mulia .

Para ibu yang hebat emosinya akan tetap menjadikan bacaan sejarah para mujahidah di zaman Rasulullah S.A.W sebagai agenda mingguan bersama anak-anak. Anak-anak akan berzikir dengan kehebatan para mujahidah Khaulah,Khansa’,Nusaibah  dan Ummu Saad .

Benarlah Rasulullah sebagai qudwah hasanah buat para ibu.Dari cerita Anas r.a ‘’Aku tidak pernah melihat orang yang lebih penyayang terhadap anak-anak selain dari Rasulullah S.A.W.Anaknya Ibrahim dijaga oleh seorang ‘amah di kawasan pergunungan sekitar Madinah.Baginda selalu ke sana,dan kami pergi bersama baginda,kemudian baginda masuk ke rumah itu,mendukung serta mencium anaknya,kemudian pulang’’

Disini nampak jelas kasih sayang sebagai qudwah dari Rasulullah S.A.W terhadap kanak-kanak seawal usia.Rasulullah S.A.W adalah qudwah para ibu sebagai seorang murabbi agong,berusaha menanam sifat mahmudah dan membangunkan potensi anak-anak yang pastinya membesar dalam suasana harmoni .Kasih sayang ibu akan menghasilkan kesetiaan  dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi dari anak-anak atas apa jua yang di ajarkan.Sehingga kepada perkara yang akan mengorbankan jiwa dan harta.

Kemewahan emosi yang Allah anugerahkan pada para ibu adalah punca utama kebahagiaan anak-anak di dunia ini.Ini suatu yang telah hilang dari jiwa kebanyakkan wanita barat yang dikuasai oleh sifat materialistik dan suka mengejar kerjaya sendiri sehingga kehilangan kehangatan perasaan bersama anak-anak dan keluarga.Suasana ini juga mula menular ke dalam masyarakat kita hari ini.

Awas para ibu di Malaysia! Anda juga sedang berhadapan dengan fitnah materialisti dan suka mengejar kerjaya.Kehangatan berkeluarga  anda mulai berkurangan, Sekarang kita sering kita dengar perbualan dari isteri yang baru berhadapan dengan sedikit saja kesusuahan dalam rumah tangga dan  ibu muda yang kurang sabar dengan karenah anak-anak , mereka  mula berfikir untuk menamatkan perkahwinan yang baru di bina.Seolah-olah fitnah yang menjadi agenda barat untuk meruntuhkan institusi keluarga Islam hampir –hampir berjaya.

Sedar dan bangkitlah  para ibu dari kelalaian.Kembalilah menggembirakan hati suami.Pelbagaikan cara  dalam membantu suami untuk mentaati Allah.Emosi yang Allah anugerahkan khusus bagi wanita mampu melakukan tugas yang berat ini.Percayalah.

Sifat kewanitaan kita perlu di muhasabahkan.Emosi keibuan perlu dipertingkatkan ,jika tidak! Anda akan kehilangan syurga kecil iaitu kebahagiaan dalam berkeluarga.Emosi keibuanlah yang mampu menjaga keluarga yang terdiri dari anak-anak kecil yang saban hari menangis merengek,mampu menanggung derita kesakitan dan kesempitan dalam melayari bahtera rumahtangga.

Sesungguhnya kebahagiaan individu dan masyarakat secara keseluruhannya bermula di rumah.Kekuatan  emosi anugerah Allah kepada manusia bergelar  ibu tunggak dalam membina keluarga bahagia ,ianya  juga sebagai sumber inspirasi,kebaikan dan kreativiti.

Ustazah Hayati Mohd Zari
Ahli Majlis Ulama ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *