“Wasatiyyah” adalah lambang kekuatan dan keagungan Umat Islam

1. Istillah wasatiyyah adalah antara istilah yang banyak digunakan oleh ramai umat Islam termasuk ulamak apabila ingin mengambarkan sifat asasi agama Islam. Malangnya, istilah yang ringkas dan tetapi mempunyai maksud yang mendalam ini seringkali disalahertikan. Ulamak dari dahulu hingga sekarang banyak membahaskan tentang apakah yg dimaksudkan dengan istilah wasatiyyah tersebut secara tepat. Istilah ini juga banyak dijadikan sebagai hujah untuk menidakkan atau mengiyakan sesuatu tindakan.

2. Lebih memburukkan lagi, wujudnya golongan musuh Islam yang melihat istilah ini sebagai suatu “alat” untuk menghancurkan kefahaman dan kekuatan umat Islam.  Mereka mempergunakan istilah tersebut dengan tujuan merosakkan kefahaman umat Islam  dari dalam. Lalu, umat Islam yang wasatiyyah di sisi mereka adalah umat Islam yang yang tidak kenal jihad, tidak memperjuangkan hudud, menggalakkan kebebasan ijtihad tanpa kelayakan sepatutnya, memperjuangkan kebebasan agama tanpa mengikut kefahaman syarak yang sebenar, berlemah lembut dengan orang kafir sehingga walaupun Islam dihina dan undang-undang Islam ditolak, mereka masih berdiam diri dengan alasan sudah semestinya mereka menolak hukum-hakam islam kerana mereka belum lagi beriman dan lain-lain lagi. Hujah mereka adalah wasatiyyah yang dimaksudkan adalah bermaksud pertengahan, bersederhana dan sebagainya. Lantaran itu, tindakan berjihad secara peperangan dan seumpamanya, hukuman mati dalam hudud, tegas dengan orang kafir sepertimana dinyatakan al-Qur’an, terutamanya apabila Islam dihina dan hukum-hakamnya dipermainkan, telah terkeluar daripada ruang lingkup wasatiyyah kerana ia bukanlah bersederhana dan pertengahan antara kelembutan dan kekerasan dan tidak bersifat ta’ayush silmi (keharmonian hidup bersama).

3. Tulisan ringkas ini akan cuba menghuraikan kefahaman terhadap istilah wasatiyyah berdasarkan kepada tafsiran ayat 143 surah Al-Baqarah kerana ayat tersebut menjadi sandaran ulamak dalam menasabkan istilah wasatiyyah pada umat Islam. Di samping itu, beberapa ayat dan hadis-hadis yang berkaitan juga akan turut diulas.

4. Di dalam Al- Quran surah Al-Baqarah ayat 143 Allah SWT berfirman:

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ
Dan demikianlah, Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat wasatiyyah, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

Ayat ini adalah ayat yang dijadikan asas di dalam menerangkan konsep wasatiyyah. Secara jelasnya, ayat ini menisbahkan kepada umat Islam sebagai umat “wasatan”. Jadi persoalan yang timbul apakah yang dimaksudkan dengan umat Islam sebagai umat wasatiyyah?

5. Ulamak tafsir seperti Ibnu Kathir, Al-Tabari, al-Qurtubi dan al-Fakhrurazi (lihat Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Tabari, Tafsir al-Qurtubi dan al-Tafsir al-Kabir), telah menafsirkan wasatiyyah didalam ruang lingkup 3 tafsiran utama iaitu terbaik, adil dan pertengahan.

6. Mentafsirkan bahawa antara maksud wasatiyyah sebagai terbaik adalah antara tafsiran yang diketengahkan oleh Ibnu Kathir, Imam al Baghawi dan juga Imam Fakhruddin Ar Razi. Mereka telah menafsirkan umat wasatiyyah dengan maksud umat yang terbaik di antara umat-umat yang lain berdasarkan hujah berikut:

i)        Ulamak telah menafsirkan perkataan  ( (وكذلك di awal ayat tersebut disandarkan kepada ayat 103 surah Al-Baqarah (ولقد اصطفيناه في الدنيا). Jadi apabila disambung kedua ayat tersebut ianya akan berbunyi “seperti mana kami telah memilih dan memuliakan Nabi Ibrahim di dunia begitu jugalah kami telah menjadikan umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat terbaik”.

ii)       Selari dengan firman Allah SWT apabila menceritakan tentang perihal umat Nabi Muhammad SAW:
(كنتم خير أمة أخرجت للناس:  آل عمران ( 110
Sesungguh kamu adalah sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan dikalangan manusia.

Jadi menafsirkan wasatiyyah sebagai terbaik adalah selari dengan gambaran Allah SWT terhadap umat Nabi Muhammad SAW di ayat yang lain.

iii)     Didalam surah Al-Waqiah, Allah SWT menyebut:
قال أوسطهم ألم أقل لكم لولا تسبحون (القلم: 28)

Maka telah berkata orang yang wasatiyyah bukankah aku telah berkata kepada engkau mengapa engkau tidak bertasbih? ( ketika di dunia).

Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubir, Rabi’ bin Anas, Muhammad bin Kaab dan Qatadah berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan “wasata” di dalam ayat tersebut adalah orang yang terbaik di kalangan mereka (Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Qurthubi). Maka penggunaan wasata didalam ayat ini dan ayat Al Baqarah 143 adalah dengan maksud terbaik.

iv)     Sebuah hadis Rasulullah SAW (riwayat Ahmad):
عن أبي سعيد قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” يدعى نوح يوم القيامة فيقال له : هل بلغت ؟ فيقول : نعم . فيدعى قومه فيقال لهم : هل بلغكم ؟ فيقولون : ما أتانا من نذير وما أتانا من أحد ، فيقال لنوح : من يشهد لك ؟ فيقول : محمد وأمته ” قال : فذلك قوله : ( وكذلك جعلناكم أمة وسطا

Daripada Abi Said telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda : Pada hari kiamat kelak, Allah SWT akan memanggil Nabi Nuh alaihissalam kemudian bertanya : Adakah engkau sudah menyampaikan (risalah pada kaum engkau)? Kemudian dia berkata : Ya. Kemudian Allah memanggil kaumnya dan bertanya : Adakah kau telah terima (risalah dari Nabi Nuh)? Kaumnya menjawab : Tidak datang kepada kami sebarang rasul. Kemudian Allah berkata pada nabi Nuh : Jadi siapa yang akan jadi saksi engkau? Maka Nabi Nuh menjawab : Muhammad dan umatnya. Kamudian Rasulullah berkata: Atas sebab itulah Allah berfirman dalam Quran : Begitulah kami jadikan engkau umat wasatiyyah.

Berdasarkan hadis diatas, jelas bahawa tafsiran umat wasatiyyah adalah dengan maksud umat yang terbaik sehingga melayakkan umat ini menjadi saksi keatas umat-umat yang terdahulu seperti disebut dalam hadis.

7. Begitu juga terdapat sebahagian ulamak yang menafsirkan wasatiyyah ini sebagai adil, mereka bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

عن أبي سعيد الخدري قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يدعى نوح يوم القيامة فيقول لبيك وسعديك يا رب فيقول هل بلغت فيقول نعم فيقال لأمته هل بلغكم فيقولون ما أتانا من نذير فيقول من يشهد لك فيقول محمد وأمته فتشهدون أنه قد بلغ {ويكون الرسول عليكم شهيدا} فذلك قوله جل ذكره : {وكذلك جعلناكم أمة وسطا لتكونوا شهداء على الناس ويكون الرسول عليكم شهيدا} والوسط العدل.
Daripada Abi Said telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda : Pada hari kiamat kelak, Allah SWT akan memanggil Nabi Nuh alaihissalam dan Nuh akan menyahut panggilan tersebut. Allah kemudian bertanya kepada Nuh : Adakah engkau sudah menyampaikan (risalah pada kaum engkau)? Kemudian dia berkata : Ya. Kemudian Allah memanggil kaumnya dan bertanya : Adakah kamu telah menerima (risalah dari Nabi Nuh)? Kaumnya menjawab : Tidak datang kepada kami sebarang Rasu (Pemberi Peringatan)l. Kemudian Allah berkata pada Nabi Nuh : Jadi siapa yang akan jadi saksi engkau? Maka Nabi Nuh menjawab : Muhammad dan umatnya. Kemudian Rasulullah berkata: “Maka kamu akan menjadi saksi bahawa beliau telah menyampaikan. [Dan Rarul akan menjadi saksi ke atas kamu semua]. Atas sebab itulah Allah berfirman dalam Quran : Begitulah kami jadikan engkau umat wasatiyyah, agar kamu semua menjadi saksi ke atas semua manusia dan Rasul akan menjadi saksi ke atas kamu. Dan al-wasat itu adalah adil”.
.
‘Allal al-Fasi menyatakan (Maqasaid al-Shari’ah al-Islamiyyah wa makarimuha): “Keadilan bermakna Ilmu dan Istiqamah di dalam Syahadah (persaksian). Ini diperjelaskan lagi dengan firman Allah (أوسطه قال), maksudnya “yang paling berilmu dan adil di kalangan mereka”. Maksudnya Allah SWT menjadikan umat Muhammad yang sebenar sebagai umat yang beristiqamah, mengenali Tuhannya, Taat di dalam tatacara kehidupannya, melayakkan mereka untuk menjadi saksi ke atas manusia dan hujjah ke atas mereka semua, iaitulah dengan umat Muhammad meletakkan dan melaksanakan SyariatNya, dan umat Islam ini telah menunjukkan contoh tauladan yang baik, dan wujudnya jemaah Muslimah yang melaksanakan suruhan-suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya, dan ini akan membawa mereka (umat Islam) ke mercu tertinngi ilmu pengetahuan, kemodenan dan kemakmuran, seperti mana Rasulullah SAW, dengan segala tindakan dan cara kehidupannya menjadi contoh kepada kita dan menjadi hujah ke atas kita, kerana kita sebenarnya berupaya untuk mengikut Baginda dan menurut segala jejak Baginda, lalu kita memberi kepada manusia kehidupan fitrahnya sepertimana yang dikehendaki oleh Allah”

Jelas sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh ‘Ilal al-Fasi, al-wasatiyyah yang sebenar adalah bermaksud keadilan, yang akan tercapai dengan mengikut syariat Islam, melakukan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Itulah hakikat al-wasatiyyah yang sebenarnya, iaitulah keadilan yang berteraskan kepada pengamalan Syariat yang berpandukan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sebenarnya.

Namun begitu adil yang dimaksudkan tidak lari jauh dari kefahaman ulamak yang berpegang tafsiran wasatiyyah itu sebagai pertengahan. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Fakrurrazi dalam al-Tafsir Al-Kabir:

إنما سمي العدل وسطا لأنه لا يميل إلى أحد الخصمين ، والعدل هو المعتدل الذي لا يميل إلى أحد الطرفين
Dinamakan wasatiyyah itu sebagai adil kerana ianya tidak cenderung antara dua perkara (pertengahan), adil itu adalah orang yang bersikap tidak cenderung kepada salah satu sudut.

8. Ulamak yang menafsirkan wasatiyyah itu sebagai pertengahan adalah dalam konteks keagamaan iaitu umat Islam ini bersikap pertengahan diantara sikap Kristian dan juga Yahudi seperti yang disebut oleh Imam Al-Tabari:

وأرى أن الله تعالى ذكره إنما وصفهم بأنهم “وسط ” ، لتوسطهم في الدين ، فلا هم أهل غلو فيه ، غلو النصارى الذين غلوا بالترهب ، وقيلهم فيعيسى ما قالوا فيه – ولا هم أهل تقصير فيه ، تقصير اليهود الذين بدلوا كتاب الله ، وقتلوا أنبياءهم ، وكذبوا على ربهم ، وكفروا به ؛ ولكنهم أهل توسط واعتدال فيه
Pada pandangan aku, Allah swt menggelarkan umat Islam sebagai pertengahan kerana sikap pertengahan mereka dalam keagamaan. Umat Islam tidak berlebih seperti mana berlebihnya golongan kristian dalam memuji Nabi Isa dan menuduh Nabi Isa mengatakan sesuatu perkara yang baginda tidak menyatakan. Umat Islam juga tidak bersikap mengurangkan seperti mana sikap golongan yahudi yang telah menukar kitab Allah, membunuh rasul-rasul, menipu dan mengkafirkan diri mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan Umat Islam adalah wasatiyyah ( pertengah antara kedua golongan tersebut).

Perkara ini juga disebut oleh Imam Qurtubi dalam tafsirnya.

Jadi tindakan sesetengah golongan membawa kefahaman pertengahan secara terus kedalam konteks jihad atau hudud pada sudut keganasan dalam tindakan tersebut adalah salah dan terpesong dari kefahaman ulamak yang menafsirkan wasatiyyah sebagai pertengahan. Kerana bagi ulamak konteks pertengahan yang dimaksudkan adalah dalam konteks keagamaan iaitu pertengahan antara yahudi dan kristian.

9. Berdasarkan pandangan dan perbincangan ulamak seperti yang disebut diatas, bolehlah kita simpulkan bahawa pentafsiran sebenar kepada al-wasatiyyah bukannya semata-mata “pertengahan”, tetapi ia membawa maksud yang terbaik dan paling adil. Bahkan apabila kita mentafsirkan al-wasatiyyah itu sebagai pertengahan sekalipun, ianya membawa maksud yang terbaik, ialatulah pertengahan di antara dua pandangan yang menyeleweng (Yahudi dan Nasrani).   Jadi, ketiga-tiga makna wasatiyyah ini adalah berkait dan saling melengkap antara satu sama lain. Pertengahan itu adalah sebahagian daripada ciri adil dan keadilan itu adalah sebahagian ciri yang melayakkan umat ini menjadi umat yang terbaik.

10. Inilah kesepaduan yang dibawa oleh Rasullulah SAW. Bersifat wasatiy dan meletakkan sesuatu pada tempat dan masanya, demi mencapai keadilan dan menuju kepada pengamalan Islam yang terbaik. Ibn Abbas (rh) menyatakan (Ibn Rajb: Jami’ Ulum wa al-Hikam):

“والله ما مات رسول الله – صلى الله عليه وسلم – حتّى ترك السبيل نهجاً واضحا ، وأحل الحلال وحرم الحرام ، ونكح وطلق ، وحارب وسالم….”

Demi Allah, tidaklah Rasulullah SAW meninggal dunia melainkan beliau telah meninggalkan jalan (Islam) ini sebagai suatu jalan yang jelas, Baginda telah menetapkan (hukum) yang halal sebagai halal dan yang haram sebagai haram, Baginda juga telah berkahwin dan bertalak, Baginda juga telah berperang dan berdamai….”

Lihat bagaimana Ibn Abbas meletakkan sifat wasatiy Rasulullah SAW. Beliau berperang apabila itulah solusi yang terbaik dan berdamai apabila itulah solusi yang baik. Bersifat wasatiy dan tahu bilakah kekuatan dan kekerasan perlu digunakan, juga tahu bilakah pendamaian dan berinteraksi itu perlu berlaku.

11. Maka sepatutnya kefahaman umat Islam yang benar terhadap wasatiyyah akan melahirkan perasaan superioriti dan keunggulan umat Islam ke atas umat yang lain. Mafhum Wasatiyyah ini seharusnya melahirkan umat yang mempunyai identiti sendiri, teguh di dalam melaksanakan tanggungjawab khairiyyatul Ummah (Ummah yang terbaik), tidak lemah dan bersifat lembik di dalam menyatakan kebenaran dengan hujah “pertengahan”. Hanya Islam sahaja yang dilihat layak memegang tampuk kepimpinan dunia dan menjadi solusi terhadap segala kemelut yang sedang berlaku. Wasatiyyah itu pada hakikatnya adalah satu lambang kekuatan dan keagungan umat, bukannya lambang kelemahan dan kelesuan umat. Ia sepatutnya melahirkan ummat wasatan yang mulia, berani dalam menuntut haknya dan dan keadilan yang sepatutnya, dan dalam masa yang sama bersifat rahmah dan mengasihani orang lain. Ia bukan bermakna wasatiyyah yang melahirkan umat yang lemah dan lembik, yang tidak berani menyatakan kebenaran dan tidak berani bersifat tegas dan teguh bila suasana memerlukan. Ini bukanlah mafhum wasatiyyah yang bermaksud yang terbaik, keadilan dan pertengahan seperti yang dimaksudnya ayat al-Qur’an surah Al-Baqarah ayat 143 yang amat hebat ini.

Wallahu A’lam

dr aznan_2
 
 
Prof Madya Dr Aznan Hassan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *