IlmiahKenali UlamaUtama

Sumbangan Syeikh Muhd Qutb dalam perkembangan Pemikiran Islam

qutb

Baru-baru ini, dunia Islam dikejutkan dengan pemergian Syeikh Muhd Qutb pada umur 98 tahun. Beliau adalah salah seorang pemikir Islam yang telah memberi sumbangan besar di dalam perkembangan pemikiran Islam semasa.

Jika kita perhatikan dalam sejarah, golongan barat adalah salah satu golongan yang begitu tegar menentang umat Islam sejak gerakan pembaratan ini bermula pada awal kurun ke-19. Pada waktu itu, barat telah berjaya mengalahkan umat Islam dalam banyak siri peperangan berbentuk ketenteraan dan politik. Antara kesan besar yang kita nampak ketika itu adalah : Runtuhnya sistem khilafah Islam selepas perang dunia yang pertama, banyak negara Islam dijajah, berdirinya banyak negara berasaskan ideologi nasionalis dan fahaman negara bangsa di tanah arab juga berdirinya Negara haram Israel 1948 dan lain-lain.

Pada ketika itu juga, wujudnya gerakan pembaratan melalui falsafah dan pemikiran yang digerakkan oleh orang luar dan orang Islam sendiri. Gerakan ini bergerak dengan 2 cara:

1. Meyeru umat Islam supaya mengikut cara fikir barat secara terus dan tanpa berselindung, antaranya seperti : Taha Hussain, Salamah Musa dan lain-lain.

Mengenai bentuk serangan ini, Syeikh Muhd Qutb telah menolak habis-habisan ideologi pemikiran yang cuba dibawa oleh barat seperti falsafah Darwin di dalam kefahaman evolusi, falsafah Marx di dalam cara untuk membangunkan Negara, dan juga Freud yang menyebut mengenai sifat kemanusiaan.

2. Menyeru kepada mengikut cara fikir barat tetapi dalam bentuk terselindung dan halus seperti menggunakan dalil Al-Quran, istilah syarak yang dengan tujuan memenuhi kehendak hawa nafsu mereka. Antara tokoh didalam gerakan ini ialah Qasim Amin, Ali Abd Raziq, Saad Zaghlul dan lain-lain.

Akibat serangan ini, keperibadian umat Islam hampir keseluruhannya runtuh dari semua sudut iaitu pemikiran, sejarah, social, ekonomi dan politik.

Maka pada waktu itulah menculnya gerakan Ikhwan Muslimin yang dipelopori oleh Imam Hassan Al-Banna pada tahun 1928. Mereka telah berperanan dalam menjaga umat Islam dari terus dibaratkan dan mendidik sebahagian umat Islam untuk terus berpegang kepada Islam dalam semua sudut termasuk falsafah dan pemikiran Islam.

Persoalan disini : Apakah peranan Syeikh Muhd Qutb didalam pertembungan pemikiran yang berlaku sejak peperangan dunia ke-2 antara golongan barat dan islamis?

Boleh kita jawab secara ringkas : Peranan Syeikh Muhd Qutb didalam pertembungan ini adalah dalam 2 sudut :

1. Menolak kefahaman Barat yang secara jelas bertentangan dengan Islam.

2. Membawa kefahaman pemikiran Islam yang tulen didalam beberapa sudut.

Saya akan memberi penerangan secara ringkas akan kedua peranan tersebut supaya kita boleh faham sumbangan besar Syeikh Muhd Qutb didalam dunia pemikiran Islam.

Menolak kefahaman Barat yang secara jelas bertentangan dengan Islam

Tiga kefahaman barat yang secara jelas ditolak oleh Syeikh Muhd Qutb dan dikatakan bertentangan dengan kefahaman Islam yang tulen, iaitu : Falsafah Darwin, Falsafah Karl Marx dan Falsafah Freud.

1. Falsafah Darwin didalam penciptaan.

Di dalam falsafah Darwin, beliau menyatakan bahawa manusia ini lahir akibat evolusi yang berlaku, bukannya disebabkan adanya satu kuasa ketuhanan yang menyusun. Dengan ini, boleh kita katakan bahawa kefahaman Darwinisme adalah antara kefahaman yang cuba mengasingkan apa yang terjadi di dunia dari kuasa langit (ketuhanan).

Syeikh Muhd Qutb dan abang beliau (Sayyid Qutb) bertegas di dalam menolak kefahaman Darwin yang menyatakan bahawa kita bermula dari seekor monyet, bahkan Syeikh Muhd Qutb berkata kelompok yang berpegang dengan kefahaman Darwinisme ini akhirnya (pada hari ini) terpaksa menarik kembali falsafah evolusi Darwin atas penemuan-penemuan yang terjadi pada hari ini, mereka juga terpaksa mengakui bahawa manusia tidak boleh terjadi dengan sendirinya melainkan adanya satu kuasa dari luar yang menyusun perkara tersebut. Disebabkan mereka mengakui wujudnya satu kuasa luar yang menyusun maka secara tidak langsung ianya akan membawa kepada beriman pada Allah SWT dan tertolak kefahaman Darwin.

2. Falsafah Marx iaitu membawa kefahaman kesan perkembangan alat produktiviti terhadap pembangunan masyarakat.

Karl Marx menyatakan bahawa perkembangan alat produktiviti didalam perindustrian seperti daripada cangkul ke alat bajak dan seterusnya jentera yang menggunakan elektrik telah mempengaruhi perkembangan masyarakat dari hidup berterabur kepada masyarakat hamba dan seterusnya sistem feudal. Akhirnya dia simpulkan perkembangan alat produktivitilah menjadi punca kepada segala perkembangan samada agama, akhlak, budaya, kesenian dan lain-lain.

Syeikh Muhd Qutb telah menolak kefahaman ini dengan mengatakan di dalam kitabnya “Baina Tatawur wa Tsabat” bahawa sesungguhnya kehidupan manusia akan berjalan antara perkembangan (perkara yang sentiasa berubah) dan statik (perkara yang tidak berubah). Kemudian dia menjelaskan perkara yang statik dalam kehidupan manusia adalah syahwat manusia dan perkara yang berubah adalah cara manusia dalam memenuhi kehendak syahwatnya.

Syeikh Muhd Qutb juga turut menegaskan bahawa tidak semua perkara berkembang seperti yang disangka oleh Karl Marx, ada perkara yang statik seperti fitrah manusia dan ada yang berkembang iaitu bagaimana manusia memenuhi kehendak fitrah tersebut, inilah yang disedari oleh Islam dan apa yang syarak fahami didalam meletakkan sesuatu hukum pada manusia. Atas sebab itulah wujud di dalam Islam perkara yang tsabat dan wujud perkara lain yang Allah memberi ruang untuk melakukan ijtihad berdasarkan kesesuaian zaman dan tempat atas sebab Allah memahami sikap yang ada pada manusia.

3. Falsafah Freud

Sigmund Frued telah menyatakan ideologi bahawa kehendak untuk seks (hubungan berlawanan jantina) adalah kehendak yang paling penting didalam kehidupan manusia, bahkan dia menyatakan segala yang manusia lakukan adalah atas dasar kehendak untuk seks, bermula sejak di dalam hubungan anak lelaki dengan ibunya dan juga hubungan anak perempuan dengan ayahnya (mereka rapat atas antara satu sama lain atas tarikan berlainan jantina), dan itulah yang berlaku dalam semua sudut kehidupan manusia. Maka bagi Freud tindakan untuk menghalang kebebasan seks akan membawa kepada kemurungan (mudhorat) dan kerosakkan akal manusia.

Syeikh Muhd Qutb telah menolak falsafah ini didalam banyak buku yang beliau tulis, antara yang terkenal ialah “Insan baina AlMadiyah wa Al-Islam”. Syeikh Muhd Qutb menyatakan beliau akui bahawa tarikan berlainan jantina (seks) adalah antara tarikan yang ada didalam manusia, namun beliau tidak setuju dengan seruan Freud supaya berlakunya kebebasan seks untuk menyelesaikan kehendak tersebut. Syeikh Muhd Qutb juga menafikan (pada pandangan Freud)  bahawa tegahan seks secara bebas akan melahirkan kemurungan (mudhorat) tetapi beliau menyatakan bahawa tegahan tersebut akan melahirkan disiplin diri (maslahat).

Beliau juga telah membawa kisah Nabi Yusuf AS (kisah ketika dihasut untuk melakukan zina) seperti mana yang disebut di dalam Al-Quran menceritakan bagaimana tegahan seks bebas itu mampu mendisiplinkan diri manusia (dan bukan kemurungan). Begitu juga didalam mimpi manusia, tidak semua mimpi adalah kehendak seks kerana kehendak tersebut bukanlah satu-satunya kehendak manusia, ada sebahagiannya adalah mimpi berkaitan dirinya dan ada sesetengah mimpi berkait petunjuk dari Allah seperti berlaku didalam kisah Nabi Yusuf AS ketika dipenjara.

Membawa kefahaman pemikiran Islam yang tulen didalam beberapa sudut.

 Syeikh Muhd Qutb telah memberikan kefahaman sebenar dan asas terhadap beberapa sudut perkara di dalam Islam supaya dengan itu, istilah-istilah tersebut tidak digunakan oleh musuh Islam untuk merosakkan Islam dan dapat menjaga keaslian agama ini. Antaranya ialah :

1. Keunikkan dalam Islam.

Syeikh Muhd Qutb menyebut di dalam kitabnya : “Manhaj Al Fann fil Islam” telah mengajak umat Islam untuk melihat agama ini dari perspektif unik. Antara bukti yang beliau berikan adalah bagaimana Aqidah Islam itu bukan berbicara seperti perbicaraan ahli falsafah dan ianya juga bukanlah berkait apa yang tidak boleh dan apa yang boleh (hukum hakam), tetapi ianya adalah lebih luas dari itu iaitu memberi kefahaman akan gambaran sebab tujuan hidup seorang manusia itu yang akhirnya diterjemahkan kefahaman tersebut ke dalam semua sudut kehidupan.

2. Penafsiran Islam terhadap sejarah.

Di dalam buku “Hawla atTafsir Al Islami li Tarikh” Beliau menceritakan bagaimana penafsiran sesuatu perkara berasaskan pandangan manusia tidak akan terkecuali daripada berlakunya salah faham atas kelemahan dan kemampuan manusia yang terbatas. Namun di dalam penafsiran Islam, ianya bebas dari segala kelemahan tersebut kerana asas penafsiran umat Islam terhadap sejarah adalah berdasarkan kepada petunjuk ilahi, jauh dari hawa nafsu dan kecacatan manusia.

Syeikh Muhd Qutb juga telah menolak beberapa jenis tafsiran terhadap sejarah yang berasaskan hawa nafsu seperti tafsiran berasaskan materialistik (seperti Darwin, Karl Marx dan lain-lain) dan juga tafsiran berasaskan kefahaman liberal.

Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan lagi, Syeikh Muhd Qutb telah memberi sumbangan yang besar didalam dunia pemikiran Islam yang disimpulkan didalam tulisan ini kepada 2 perkara (walaupon boleh jadi lebih banyak sudut) : Sudut menolak beberapa kefahaman barat yang merosakkan Islam dan membina kefahaman Islam dalam beberapa sudut.

Dan bagi saya, menjadi satu tanggungjawab kepada ulama, institusi agama untuk mempelajari dan mengumpulkan tulisan-tulisan Syeikh Muhd Qutb. Maka dengan itu moga ianya boleh menjadi satu manfaat berguna pada genarasi umat Islam hari ini dan masa akan datang dalam menghadapi segala serangan musuh.

 

Ini merupakan terjemahan kepada artikel asal ditulis oleh Syeikh Dr. Ghazi Al-Taubah iaitu salah seorang ulamak dan khatib terkenal di Palestin. Tulisan ini diambil dari laman web:  www.aljazeera.net

 

Diterjemah dan disunting oleh:

firdaus
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
BA(Hons) Syariah Universiti Al-Azhar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *