Soal JawabWanita & Kekeluargaan

Suami yang melakukan maksiat

nikah
Β 
Soalan: 3. Assalamualaikum ustaz, saya menghadapi masalah di mana suami tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan erti kata sebenarnya. Tidak dinafikan beliau seorang yang baik, namun beliau mempunyai kesukaran untuk menunaikan solat. Ditambah pula beliau adalah seorang freelance di mana pendapatan tidak menentu. Kadangkala 3 hingga 4 bulan tiada sumber pendapatan. Gaji yang saya perolehi setiap bulan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Pinjaman kereta, rumah dan pinjaman peribadinya pun saya terpaksa membayarnya kerana beliau tidak berpendapatan tetap. Puas saya menasihati terutamanya berkenaan solat dan mencari pekerjaan tetap, namun sia-sia. Saya berasa amat sedih dan tertekan mengenangkan suami seakan melepas semua beban ke bahu saya. Ditempat kerja dan dirumah saya terpaksa bekerja lantaran suamitidak mahu membantu. Beliau hanya duduk dirumah tanpa bebuat apa-apa cukup masa dia akan menjemput saya dari pulang bekerja dan anak di sekolah.itu sahaj. saya berasa amat tertekan dengan sikapnya dan pernah terdetik dihati saya untuk berpisah sahaja, namun mengenangkan anak-anak kami yang masih kecil dan beristighfar, niat itu saya matikan.Seusai solat saya sering memohon pada Allah agar dilembutkan hatisuami saya untuk kembali taat kepadaNya.Saya amat berharap ustaz dapat memberi nasihat dan panduan bagi menghadapi masalah ini.Terima kasih-Alpha Β 

 

Pertamanya tahniah atas kesungguhan puan dalam menasihati suami puan untuk kembali mentaati agama walaupon ditentang oleh suami puan. Kesungguhan puan itu melambangkan puan sangat jelas akan kewajipan isteri menegur suami apabila melihatnya melakukan sesuatu maksiat yang bagi saya kebanyakkan masyarakat Malaysia tidak ketahui akan kewajipan tersebut.

Dalam Islam, Isteri wajib menegur dan menasihati suami jika suami enggan melaksanakan tanggungjawabnya. Rasulullah bersabda “barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka cegahlah dengan lidah namun jika tidak mampu, cegahlah ia dengan hati.Itu adalah selemah-lemah iman.”

Hadis tersebut menunjukkan tentang kewajipan seorang muslim mencegah kemaksiatan yang berlaku sesama muslim.Jika yang melakukan maksiat itu adalah suami, maka ia adalah lebih utama untuk dicegah dan dinasihati oleh isteri.

Apatah lagi jika mungkar itu adalah besar seperti suami enggan menunaikan solat, kerana solat adalah tiang agama. Malah memberi nafkah juga adalah satu kewajipan yang tidak boleh Β dipandang ringan. Ditakuti andai isteri membiarkan saja maksiat yang dilakukan oleh suami, ia akan mengundang bala/murka Allah pada keluarga tersebut malah kepada masyarakat amnya.

Isteri perlu berusaha untuk membantu suami berubah. Langkah yang boleh dilakukan adalah Β dengan menegur dan menasihati suami dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Sebagai isteri, pastinya sangat mengenali suami, kelebihan dan kekurangannya, cara menegur yang berkesan dan sebagainya. Gunalah apa saja cara yang boleh membantu suami untuk berubah.

Namun, jika tidak mampu, puan pintalah bantuan dari pihak ketiga, sama ada dari kalangan ahli keluarga, rakan yang dipercayai ataupun pakar-pakar kaunseling rumahtangga.

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik” (Surah An Nisa’ :35)

Perceraian adalah langkah paling akhir yang boleh dilakukan andai kesemua usaha tidak mampu melahirkan perubahan pada diri si suami atas maslahat pihak puan sendiri dan anak-anak.

Pengorbanan yang puan lakukan, pasti akan diganjari jika ia disertai dengan niat yang ikhlas. Kuatkanlah hubungan dengan Allah, banyakkan solat dan berdoa. Di dalam Al-Quran ada menyebut:,

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah : 153)

Akhir sekali, tawakal dengan menyerahkan segalanya pada Allah, moga Allah melembutkan hati si suami dan memberi petunjuk kepadanya.

Wallahu a’lam

suhaili
Β 
Β 
Ustazah Suhaili binti Noredan
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *