Niat ketika takbir di dalam solat
Assalamualaikum ustaz.saya nak tanya pasal niat solat ni.saya dari kecil dah diajar niat solat ni semasa takbir.masa kita takbir tu kita sumbatkan sekali niat solat.bagi saya rasa macam beban kat situ.sekarang saya buat niat dulu lepas tu baru takbir.saya ada juga buka ceramah TG nik aziz dalam you tube.dia pun ada cakap macam tu.niat dulu baru takbir.harap ustaz boleh jelaskan-farid
Jawapan:
Menghadirkan niat ke dalam hati dalam urusan ibadah adalah syarat yang membezakan amalan tersebut dari adat ataupun kebiasaan. Ibadah adalah suatu yang dipersembahkan untuk menggarap redha Allah. Allah berfirman dalam Surah al-Baiyyinah, ayat 5; “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.”
Mestikah niat disekalikan dengan takbir?
Di negara kita Malaysia, antara pemandangan yang selalu kita perhatikan di masjid-masjid ialah kesukaran untuk niat solat, berkali-kali mengangkat takbir, tetapi “niat tak masuk” katanya.. mestikah niat disertakan ketika mengangkat takbir? Atau bolehkah sebenarnya kita berniat sebelum mengangkat takbir.
Sebelum dibincangkan permasalahan di atas, perlu dibezakan antara “niat” dan “menyusun ayat di dalam hati”. Ia adalah dua perkara yang berbeza, hakikat niat adalah lintasan hati, terdetik di hati itulah yang dinamakan niat.
Telah berlaku perbezaan di kalangan fuqaha dalam permasalahan ini, adakah wajib niat ketika mengangkat takbir atau niat terlebih dahulu kemudian mengangkat takbir.
Pendapat pertama : wajib niat ketika takbir, ia adalah pendapat Imam Syafie. [al-Majmuk 3/277].
ويجب أن تكون النية مقارنة للتكبير لانه أول فرض من فروض الصلاة فيجب أن تكون مقارنة له…
Kata Imam an-Nawawi: …dan wajib niat disertakan dengan takbir kerana ia adalah awal fardhu dari semua fardhu solat, maka wajib disertakan niat dengannya…
Pendapat kedua : boleh mendahulukan niat daripada takbir dalam tempoh yang pendek iaitu, niat dahulu kemudian mengangkat takbir, ia adalah pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali [lihat al-Mughni 1/339, Badaie’ Sanaie’ 1/129]
قَالَ أَصْحَابُنَا: يَجُوزُ تَقْدِيمُ النِّيَّةِ عَلَى التَّكْبِيرِ بِالزَّمَنِ الْيَسِيرِ،
Kata Ibnu Qudamah dalam al-Mughni- …Kata ulama dalam mazhab Hambali: Harus mendahulukan niat dari takbir dalam tempoh masa yang pendek,
فَإِنَّ تَقْدِيمَ النِّيَّةِ عَلَى التَّحْرِيمَةِ جَائِزٌ عِنْدَنَا إذَا لَمْ يُوجَد بَيْنَهُمَا عَمَلٌ يَقْطَعُ أَحَدَهُمَا عَنْ الْآخَرِ، وَالْقِرَانُ لَيْسَ بِشَرْطٍ،
Kata al-Kasani dalam Badaie’ Sanaie’: …Sesungguhnya mendahulukan niat harus sekiranya sekiranya tiada amal yang memutuskan antara niat dan takbir, menyertakan niat dengan takbir bukanlah syarat,
Pendapat ketiga : boleh mendahulukan niat daripada takbir, sekalipun dalam tempoh yang panjang. Ia adalah pendapat dalam mazhab maliki dan riwayat dalam mazhab Hanbali. [lihat Syarh Umdah Ibnu Taimiyyah m/s 587]
Kesimpulan ringkas
Bagi mereka yang tiada masalah “memasukkan niat dengan takbir” maka bolehlah jika ingin meneruskan kebiasaannya, tetapi bagi mereka yang terasa susah, sesungguhnya khilaf (bahkan ia adalah pendapat jumhur-majoriti ulama) yang berlaku ini memberi ruang untuknya keluar dari kesusahan untuk mengangkat takbir seterusnya tidak mengganggu jemaah yang lain.
Jika kita boleh menerima yang niat untuk berpuasa boleh dilakukan sebelum kita memulakan puasa, kenapa tidak pada solat? Demikian antara hujah sandaran majoriti ulama [lihat al-mughni 1/339]
Justeru, perlu ada penerangan kepada masyarakat kita tentang keluasan dan kemudahan fiqh Islam, jangan disulitkan masyarakat dengan perkara yang hakikatnya sangat mudah. Tidak perlulah “menangkap-nangkap” ketika mengangkat takbir. Wallahu’alam.
Ustazah Maryam Jameelah Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)