Kenyataan media Majlis Ulama ISMA (MUIS) berkenaan isu Kassim Ahmad

Pada 16 Febuari 2014 yang lepas, Kassim Ahmad telah menyampaikan satu ucapan menyentuh beberapa perkara berkenaan Islam yang secara jelas bertentangan dengan kefahaman dan pegangan asasi seorang muslim. Berikut adalah pendirian Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengenai isu ini:

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) berpendirian bahawa kefahaman yang dibawa Kassim Ahmad berkaitan dengan Islam adalah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar, bertentangan dengan pegangan umum Umat Islam, dan sesiapa yang berpegang dengan kefahaman ini boleh membawa kepada murtad (keluar dari Islam).

2. Di sini kami gariskan beberapa kefahaman Kassim Ahmad yang jelas terpesong daripada ajaran Islam:

i) Menafikan Hadis sebagai salah satu sumber pensyariatan.

Di dalam satu penulisan beliau bertarikh 17 Januari 2014 bertajuk “Dua Jenis Islam” [1] beliau ada menyebut:

“Kita harus membaca dan memahami Quran secara keseluruhan. Dalam kaedah tradisional, Hadis menjelaskan Quran. Nyata kaedah ini batal, kerana Quran itu daripada pengetahuan Tuhan, sedangkan Hadis itu daripada akal manusia.”

Di dalam kenyataan tersebut beliau menafikan hadis dalam dua perkara; Yang pertama beliau menafikan peranan Hadis sebagai menjelaskan Al-Quran sedangkan peranan tersebut sudah dimaklumi oleh para ulamak bahkan para sahabat Nabi SAW dan tidak pernah ada yang mengingkarinya.

Di dalam satu surat yang ditulis oleh saidina Umar Al-Khattab kepada salah seorang gabenor ada menyebut perkara ini secara jelas:

“Apabila engkau ada apa-apa kekeliruan maka lihatlah perkara tersebut didalam Al-Quran dan jika engkau tidak mendapati perkara tersebut didalam Al-Quran maka carilah jawapan tersebut di dalam Hadis Rasulullah SAW.”

Ibnu Masud juga ada menyebut :

“Jika ada seseorang datang meminta sesuatu hukum maka berhukumlah berdasarkan Al-Quran, namun jika hukuman tersebut tiada didalam Al-Quran, maka berhukumlah dengan hukuman yang dibuat oleh Rasulullah SAW.”

Bagaimana beliau boleh menyatakan bahawa menjadikan Hadith sebagai salah satu sumber utama adalah salah. Adakah pemahaman beliau lebih baik daripada para sahabat sendiri?

Yang kedua, beliau secara jelas menyebut bahawa Hadis itu lahir daripada akal manusia dan bukan wahyu sedangkan di dalam Al-Quran secara jelas menyebut :

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ (٣) إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡىٌ۬ يُوحَىٰ (٤)

Maksudnya: Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. (3) Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (Al-Nahl 3-4)

Nyatalah beliau pada hakikatnya gagal memahami, hatta kandungan maksud al-Quran itu sendiri.

Bahkan tidak pernah ada di kalangan sahabat Nabi SAW atau mana-mana ulama yang menafikan kedudukan Hadis itu sebagai wahyu dari segi intipatinya, dan dari segi lafaz hadis ianya lahir dari Rasulullah SAW.

Adapun kefahaman Kassim Ahmad dengan menafikan keseluruhan hadis sebagai wahyu sehingga hadis itu tidak layak untuk dijadikan hujah, fahaman ini secara langsung membawa kepada menafikan kemaksuman Nabi Muhammad SAW serta menolak kerasulan baginda dan bertentangan dengan banyak sekali dalil dalam Al-Quran seperti Surah a-Najm ayat 2, 3, 5, 11, 53; Surah al-Nahl ayat 3 4; Surah al-Qalam ayat 4 dan lain-lain lagi.

ii) Membawa kefahaman Zanadiqah dan Khawarij.

Zanadiqah dan Khawarij pernah membuat satu hadis palsu yang disebut oleh Ibnu Abd Barr di dalam kitabnya “Jami’ Bayan ilm”:

“Abdul Rahman bin Mahdi telah berkata: Zanadiqah dan Khawarij telah membuat satu hadis palsu iaitu: Apa yang engkau dengar tentang aku, maka lihatlah perkara tersebut di dalam Al-Quran, jika ianya selari dengan Al-Quran maka itu adalah kata-kata aku, dan jika berlawanan dengan Al-Quran maka ianya bukanlah kata-kata aku, bagaimana aku boleh bertentangan dengan Al-Quran sedangkan Quran yang memanduku.”

Antara kefahaman Zanadiqah dan Khawarij ialah menyeru agar menolak segala hadis yang dianggap (pada pandangan mereka) bertentangan dengan al-Quran, atau hadis yang membawa hukum-hakam baharu, yang tidak terdapat di dalam al-Quran.

Fahaman tersebut selari dengan kefahaman yang dibawa oleh Kassim Ahmad apabila beliau membuat seruan penilaian semula hadis dalam buku beliau “Dilema Umat Islam antara Hadis dan Quran” [2] :

“Membuat satu penilaian semula hadis-hadis dalam “Enam Kitab Sahih” supaya masyarakat kita boleh mengetahui hadis-hadis manakah yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran dan yang manakah yang tidak.”

Kefahaman menilai hadis mengikut Al-Quran, dan menganggap bahawa apa juga hadis yang seolah-olah bercanggah dengan al-Quran adalah ditolak bukanlah datang daripada kefahaman ulamak dan sahabat Nabi SAW, kerana kedudukan Sunnah di sisi Al-Quran adalah lebih besar daripada hanya setakat menerangkan apa yang ada di dalam Al-Quran. Sepertimana yang disebut para ulama antara peranan Sunnah antaranya ialah menyatakan hukum yang tidak disebut secara jelas di dalam al-Quran. Bahkan, apabila terdapat ’seolah-olah’ pertentangan, kadangkalanya ianya bukanlah suatu pertentangan sebenarnya. Ianya telah banyak dijelaskan oleh para ulama, umpamanya kitab Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith, karangan Ibn Qutaybah. Jadi seruan beliau yang menyatakan sesuatu hadis itu terbatal apabila berlawanan dengan Al-Quran (tanpa melihat dengan teliti) adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Sebenarnya, matlamat beliau membawa keraguan ini adalah agar umat Islam mempunyai keraguan dan menolak seluruh hadith sebagai sumber hukum, dengan alasan kononnya, terdapat percanggahan antara hadith dengan al-Quran.

iii) Menganggap ulamak Islam sebaris dengan kasta paderi.

Di dalam banyak penulisan Kassim Ahmad, beliau secara jelas memperlekehkan ulamak bahkan menganggap ulamak itu menjadi penghalang kepada hubungan terus antara manusia dan Allah.

Dalam tulisan “Masalah kelas ulama dalam masyarakat” [3] bertarikh 23 November 2005 beliau menyebut:

“Umat Islam tidak lagi bebas untuk berhubung terus dengan Tuhan. Kelas ulama ini menjadi perantara di antara mereka dengan Tuhan.”

Di akhir penulisan tersebut beliau menyatakan punca perkara ini terjadi adalah disebabkan umat Islam terpengaruh dengan Yahudi dan Kristian :

“Tidak syak lagi, ia datang dari pengaruh negatif agama-agama Yahudi dan Kristian.”

Di dalam tulisan “Memorandum kepada Presiden Umno”[4] beliau ada menyebut:

“Kegagalan umat Islam setelah Zaman Kebangkitannya pada peringkat awal ialah kerana Islam diambil-alih oleh suatu kasta paderi yang mendakwa merekalah penjaga dan pentafsir agama. Dari titik ini Islam bertukar dari sebuah agama yang dinamik dan progresif kepada sebuah agama yang beku dan kolot, terasing dari dunia moden.”

Sedangkan kita sebagai umat Islam tahu bahawa peranan ulama tidak sama dengan kasta paderi yang wujud seperti dalam agama lain. Kedudukan ulama dalam Islam adalah untuk memastikan agama Islam ini sentiasa terjaga daripada sebarang penyelewengan dan salah tafsiran, bukannya menjadi penghubung antara Allah dan manusia. Tidak ada seorang ulama Islam maupun Rasulullah s.a.w. sendiri diberi hak mengampun manusia sebagaimana yang terdapat dalam kasta paderi. Syeikh Muhammadd Qutb menerangkan perkara ini dalam buku beliau “Syubuhat hawla Islam”:

“Di dalam Islam tidak wujud rijal addin (kasta paderi) seperti yang wujud di negara Eropah: Di dalam Islam, agama ini adalah milik semua manusia bahkan tidak ada kemulian antara ulamak dan manusia lain melainkan pada takwa mereka di sisi Allah. Bahkan kita lihat sesuatu ibadah itu boleh sempurna tanpa perlu orang tengah (tidak seperti kefahaman Kristian, ibadah tidak sempurna tanpa paderi). Adapun dalam isu fiqh dan juga pensyariatan Islam sudah tentu perlu wujud manusia khusus yang pakar dalam bidang ini untuk berbicara mengenai hal ini. Namun hak ulamak ini tidaklah sampai ke tahap mereka berkuasa terhadap manusia iaitu menyuruh atau menyeksa sesuka hati, tetapi yang dimaksudkan hak ulama ini adalah di dalam ruang lingkup hudud syariat.”

iv) Kebebasan untuk murtad.

Di dalam tulisan beliau bertajuk “Mempertahankan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan” [5] bertarikh 9 Ogos 2006 beliau mempersoalkan kesalahan murtad itu sebagai satu yang tidak adil:

“Tetapi jika perbuatan murtad itu perbuatan keluar dari agama-agama selain Islam, apalagi untuk memeluk agama Islam, tentulah ia akan dialu-alukan oleh masyarakat Islam. Ini tidak saksama dan tidak logik.”

Dia juga menganggap Hadis Sahih mengenai hukuman murtad adalah hadis palsu:

“Mereka anggap ayat-ayat Quran ini telah diatasi, atau dengan kata-kata yang lebih lunak, dijelaskan, oleh hadis Nabi yang kononnya menghukum si murtad dengan hukuman bunuh! Sebenarnya, hadis palsu ini diseludup ke dalam hadis melalui kitab Taurat, kerana ia tersebut dalam kitab Taurat.”

Kemudian di dalam artikel bertajuk “Dua Jenis Islam” [6], dia menyatakan kebebasan untuk murtad adalah sebahagian dari seruan Islam:

“Ayat Quran 2: 256 mengisytiharkan kebebasan mutlak untuk memilih agama. Perhatikan ayat ini datang persis selepas Ayat Kursi, yang menegaskan sifat-sifat Tuhan yang utama, iaitu Yang Hidup Senantiasa, Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Mengetahui.”

Sedangkan murtad itu sendiri tidak ada perselisihan antara ulamak bahkan para sahabat sendiri akan pengharamannya di sisi Islam. Di dalam Al-Quran ada menyebut :

Maksudnya: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” (Al-Baqarah: 217)

3. Selain daripada beberapa perkara yang disebut, terdapat banyak lagi perkara asas dalam Islam telah diselewengkan oleh Kassim Ahmad seperti aurat wanita, isu syahadah kedua, isu kewujudan sebuah Negara Islam, mengistilahkan umat Islam sebagai mendewakan nabi dan lain-lain lagi fahaman yang menyesatkan. Kesemua isu-isu ini sebenarnya menyerlahkan lagi kedengkelan kefahaman beliau tentang ajaran Islam yang sebenar dan kejengkelan cara pemikiran beliau tentang methodologi perbahasan hukum-hukum Islam.

4. MUIS ingin menegaskan bahawa segala perkara dalam Islam yang dinafikan oleh Kassim Ahmad adalah berkaitan perkara ما هو معلوم من الدين بالضرورة, perkara-perkara tersebut tidak pernah dikhilafkan antara ulamak bahkan para sahabat. Maka tindakannya itu adalah satu jenayah kepada Islam serta penghinaan kepada umat Islam seluruh dunia dan sepanjang zaman.

5. Kassim Ahmad merupakan pengerusi kepada Persatuan Forum Iqra’ yang sebelum ini dinamakan sebagai Jemaah Al-Quran Malaysia (JAM). Persatuan ini mempunyai hubungan rapat dengan persatuan lain yang jelas membawa kefahaman Islam yang menyeleweng seperti Sisters in Islam (SIS) dan juga JUST, dalam bentuk mengadakan beberapa program bersama. Perkara ini menjelaskan lagi bahawa golongan yang ingin merosakkan Islam dari dalam berjalan secara terancang dan seiring antara satu sama lain.

6. Kefahaman sesat yang dibawa oleh Kassim Ahmad ini bukanlah suatu perkara yang baru, sejak tahun 80-an buku tulisan beliau bertajuk “Hadis: Satu Penilaian Semula” telah difatwakan haram oleh banyak majlis fatwa negeri bahkan juga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Beliau juga pernah diistiharkan sebagai murtad oleh Majlis Fatwa negeri Sabah atas kefahaman beliau yang menyeleweng dan terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

7. MUIS juga ingin menegaskan hakikat bahawa jika kita melihat dalam sejarah Islam, cubaan untuk merosakkan Islam dari dalam dengan menyentuh perkara fundamental pegangan umat Islam sudah berlaku sejak dari zaman sahabat Nabi SAW lagi, seperti ajaran Syiah, Zanadiqah, Khawarij dan banyak lagi. Jadi umat Islam perlu berwaspada dan sedar bahawa gerakan sebegini bukanlah perkara baru dalam dunia Islam, kelompok ini akan terus wujud dengan tujuan untuk mengelirukan umat Islam dari dalam.

8. MUIS juga mengambil kesempatan ini untuk memperingatkan seluruh umat Islam, Kassim Ahmad bukanlah satu-satu kelompok yang membawa ajaran yang terpesong dari fahaman Islam di Malaysia ini. Masih wujud lagi kelompok lain yang cuba merosakkan Islam dari dalam seperti yang memperjuangkan Islam Liberal, kesamarataan agama, ajaran Syiah, feminisme yang bertentangan dengan Islam dan banyak lagi yang menuntut kepada Umat Islam bersikap waspada dan berhati-hati.

9. MUIS juga mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang menolak fahaman Kassim Ahmad ini atas kepentingan tertentu namun dalam masa yang sama bersikap diam membisu terhadap banyak lagi gerakan lain yang membawa fahaman bertentangan dengan kefahaman asasi Islam yang sebenar. Kita sepatutnya tidak boleh bersikap memilih bulu dalam menilai dan meletakkan maslahat Umat Islam mengatasi kepentingan yang lain.

10. Di akhirnya, MUIS menyeru kepada Kassim Ahmad untuk segera kembali bertaubat dan menarik kembali kefahaman Islam yang telah beliau selewengkan, kepada masyarakat untuk menolak secara menyeluruh kefahaman sesat yang dibawa oleh beliau, kepada pihak berkuasa serta institusi agama untuk melakukan tindakan tegas terhadap beliau kerana beliau bukan sahaja mengancam Islam tetapi mengancam keharmonian negara Malaysia.

هو الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون

“Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.”

Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

[1] http://kassimahmad.blogspot.com/2014/01/dua-jenis-islam.html

[2] http://kassimahmad.blogspot.com/2007/03/dilema-umat-islam-antara-hadis-dan.html

[3] http://kassimahmad.blogspot.com/2005/11/masalah-kelas-ulama-dalam-masyarakat.html

[4] http://kassimahmad.blogspot.com/2005/07/memorandum-kepada-presiden-umno-dan.html

[5] http://kassimahmad.blogspot.com/2006/08/mempertahankan-kedudukan-agama-islam.html

[6] Rujuk nota kaki no 1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *