IlmiahPengenalan KitabUtama

Buku Islam dan Dasar Pemerintahan : Kefahaman menyeleweng Ali Abd Raziq

islam wausul hukm

Buku “Al Islam wa Usul Al Hukm” (Islam dan Dasar Pemerintahan) ditulis sejak Ali Abd Raziq balik dari sambung belajar di Oxford dan diterbitkan pada tahun 1925 iaitu setahun selepas kejatuhan khalifah pada tahun 1924. Bagi saya, tujuan penerbitan buku ini adalah supaya tidak ada usaha untuk membina kembali khalifah di kalangan Umat Islam kerana pada waktu itu suasana dunia Islam hangat dengan seruan di kalangan ramai ulama supaya pemimpin-pemimpin Negara Islam berkumpul dan memilih pemimpin di kalangan mereka untuk membina kembali sistem khalifah. Tidak dinafikan kemungkinan penulis menulis buku ini setelah terpengaruh dengan fahaman liberal dan sekular barat ketika belajar di Oxford.

Buku ini mendapat kecaman ramai Ulamak dan telah mengakibatkan Ali Abd Raziq dilucut jawatan  dari institusi Al-Azhar. Antara ulamak yang menyangkal  kefahaman yang dibawa oleh beliau ialah Syiekh Dr Abd Razak Sanhuri di dalam risalah PhD beliau yang berkait tentang Fiqh Khilafah pada tahun 1926. Beliau mengistilah fahaman Ali Abd Raziq adalah sebagai pandangan shaz iaitu tertolak, terpesong dan jauh dari kefahaman Islam. Bahagian tulisan berkenaan kefahaman Ali Abd Raziq oleh Syeikh Dr Abd Razak Sanhuri telah dibukukan semula oleh Dr Muhammad Imarah dengan tajuk “AlDin Wa AlDaulah”.Berikut adalah ringkasan kepada apa yg ditulis oleh Dr Syiekh Abd Razak Sanhuri berkenaan fahaman Ali Abd Raziq:

Kefahaman yang dibawa Ali Abd Raziq di dalam buku “Al Islam wa Usul Al Hukm” merangkumi dua perkara:

Pertama: Tidak ada hujah akan wajib wujud sistem khalifah samada hujah akal atau hujah syarak:

  1. Orang yang berhujah wajib wujud khalifah dengan dalil bahawa perkara tersebut merupakan ijmak (kepakatan Umat Nabi Muhammad SAW) adalah tertolak kerana apabila kita lihat dalam sejarah kecuali zaman khulafa ar rasyidin, semua khalifah Islam berdiri atas penguasaan keluarga (Umaiyyah, Abasiyyah, Uthmaniyyah). Jadi bagaimana kita boleh katakan ianya ijmak padahal ianya adalah pemerintahan sesetengah pihak dalam bentuk paksaan bahkan pertumpahan darah yang berlaku ketika perubatan kuasa menjadi dalil bahawa pemerintahan ini berdiri atas paksaan dan umat tidak redha akannya.
  2. Khawarij telah menolak pandangan tentang perlu wujudnya sistem khalifah dan khawarij adalah sebahagian daripada umat Islam sedangkan ijmak memerlukan kesepakatan semua umat Islam maka dengan itu pandangan wajib wujud sistem khalifah bukanlah ijmak dikalangan umat Islam.
  3. Hujah muktazilah menyatakan kewajipan wujud sistem khalifah dengan hujah akal turut ditolak kerana hujah akal tersebut membawa kepada perlu wujudnya sistem pemerintah namun sistem tersebut tidak dikhususkan pada sistem khalifah, boleh jadi apa-apa jenis pemerintahan dalam pelbagai bentuk, maka hujah ini ditolak.

Jawapan Dr Syiekh Abd Razak Sanhuri pada fahaman ini:

  1. Ali Abd Raziq telah mencampur adukkan tentang 2 perkara yang sepatutnya kita melihatnya secara terpisah bahkan umat Islam sentiasa melihatnya secara terpisah iaitu :
    1. Kepercayaan akan kewajipan wujudnya sistem khalifah.
    2. Isu pemilihan siapa yang layak menjadi khalifah.
  1. Sejak dari zaman pelantikan Abu Bakar menjadi khalifah ketika zaman sahabat hinggalah ke zaman sekarang umat Islam tidak pernah menafikan akan kewajipan wujudnya sistem khalifah kerana mereka semua percaya pelaksanaan Islam tidak akan sempurna melainkan apabila wujudnya sistem khalifah.
  2. Adapun tentang isu paksaan seperti yg disebut oleh Ali Abd Raziq, ianya berkait tentang isu pemilihan siapa yang layak menjadi khalifah. Jadi segala pertumpahan darah yang berlaku, perselihan antara umat adalah dalam kerangka siapa yg layak menjadi khalifah, bahkan ianya adalah perkara biasa jika kita lihat pada mana-mana pemerintahan, ianya tidak hanya berlaku dalam sejarah Islam dan ianya tidak hanya berlaku dalam sistem khalifah.
  3. Jadi adalah salah untuk kita katakan umat Islam tidak bersepakat (ijmak) dalam isu kewajipan wujudnya sistem khalifah dengan menggunakan hujah perselisihan yang berlaku dalam menentukan siapa yang layak menjadi khalifah. Perselisihan yang berlaku adalah dalam menentukan orang yang layak menjadi khalifah bukan perselihan pada perkara asas (kewajipan wujudnya sistem khalifah).
  4. Benar bahawa khawarij menolak akan kewajipan wujudnya sistem khalifah, jadi hujah untuk menolak salah faham ini adalah:
    1. Ijmak yang dimaksudkan adalah ijmak dikalangan mazhab ahli sunnah dan khawarij bukanlah dari kalangan mazhab ahli sunnah.
    2. Kalaulah kita katakan khawarij sebahagian dari ahli sunnah pun, ada sebahagian  ulamak menyatakan bukanlah syarat dalam ijmak perlunya persapakat semua tetapi cukup dengan persepakatan sebahagian besar dari kelompok umat Islam untuk perkara tersebut manjadi ijmak.
    3. Khawarij ini tidak wujud  kecuali diakhir pemerintahan saidina Ali selepas berlalunya wujud khalifah sebelum itu iaitulah Abu Bakar dan Umar. Maka persepakatan pada zaman Abu Bakar dan Umar itu adalah ijmak, dan didalam usul fiqh sesuatu perkara yang sudah diijmak tidak akan bertukar status “ijmak”nya walaupon orang selepas itu ada yang tidak bersetuju.

Kedua : Islam adalah suatu bentuk agama yang berkait ruhi sahaja dan ianya tidak ada kaitan dengan politik(pemerintahan).

  1. Hujah pertama ialah Rasulullah datang dengan membawa risalah agama Islam yang bersifat ruhi dan tidak diutuskan untuk membina sistem pemerintahan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah ketika di madinah adalah sekadar cara sistem semulajadi (tidak ada pejabat, senarai menteri, bangunan mahkamah, kem tentera dll) dan bukan sistem pemerintahan. Lemahnya sistem permerintahan nabi turut menjadi bukti bahawa nabi bukan diutuskan untuk membina system pemerintahan tetapi untuk menyampaikan Islam.
  2. Hujah kedua ialah jika dilihat dalam sejarah Islam, kesatuan arab yg dilakukan oleh Nabi SAW adalah bersifat penyatuan agama semata-mata sedangkan sistem pemerintahan dan pengurusan kekal  berdasarkan kepada sistem setiap qabilah. Penyatuan kabilah atas dasar agama kekal hinggalah kewafatan Rasulullah SAW.
  3. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, Abu Bakar cuba menukar penyatuan yang bersifat agama kepada penyatuan dalam bentuk politik (pemerintahan). Perkara tersebut mendapat tentangan ramai qabilah yang tidak bersetuju dgn tindakan tersebut. Maka dengan itu wujudlah peperangan yg di sebut disisi Abu Bakar sebagai perang menentang golongan murtad padahal ada sebahagian dari qabilah tersebut tidak murtad pun, tetapi mereka bertindak atas sebab tidak bersetuju dgn tindakan Abu Bakar memerintah.
  4. Punca kewujudan fahaman wajibnya sistem pemerintahan khalifah adalah dari tindakan sahabat seperti Abu Bakar yang menyebarkan fahaman tersebut untuk memaksa orang bawahan taat kepada mereka. Padahal dalam kefahaman Islam yg sebenar, umat Islam bebas memilih sistem pemerintahan mana yang mereka mahukan dan dalam bentuk yang mereka suka kerana Islam tidak menyentuk tentang isu politik (pemerintahan).

Jawapan Dr Syiekh Abd Razak Sanhuri pada fahaman ini:

  1. Punca kepada fahaman Ali Abd Raziq ini adalah disebabkan dia terpengaruh dengan fahaman yang dibawa oleh barat. Contohnya dia telah memahami konsep “pemerintahan” dan “agama” dalam kerangka barat, barat melihat pemerintah itu terdiri dari 3 perkara iaitu lageslatif, eksekutif dan kehakiman dan agama disisi barat adalah kepercayaan seseorang yang berhubung hubungan hamba dan tuhannya. Maka dengan sebab itu dia membuat kesimpulan Rasulullah tidak membina pemerintahan kerana pemerintahan yang Ali Abd Raziq nampak adalah dalam kerangka barat.
  2. Didalam Islam bahkan sejak diutuskan Rasulullah SAW, agama dan pemerintahan tidak dilihat secara terpisah kerana pada kebiasaannya sesuatu pemerintahan itu akan berdiri berdasarkan kefahaman agama orang yg memerintah.
  3. Tuduhan mengatakan sistem Rasulullah bersifat sistem semulajadi dan bukan sistem pemerintahan adalah tidak betul kerana pada waktu tersebut, cara system pemerintahan adalah seperti itu iaitu tiada pejabat, tiada menteri, mahkamah khusus, kem tentara dll. Sistem pemerintahan Rasulullah ketika itu bersesuaian dengan zaman baginda hidup. Jadi walaupon system pemerintahan tersebut tidaklah seperti sistem pemerintahan yg wujud pada banyak negara pada hari ini, ia tetaplah sebuah sistem pemerintahan kerana sistem tersebut dapat menyempurnakan tujuan sesuatu sistem pemerintahan iaitu mengurus masyarakat (rakyat). Didalam sistem tersebut juga adanya hukuman atas sesuatu kesalahan, cara pengurusan harta dan lain-lain yang menjadi bukti bahawa ianya adalah sistem pemerintahan.
  4. Penyatuan arab yang dilakukan oleh Rasulullah adalah atas dasar agama dan juga atas dasar politik. Perkara ini boleh kita lihat bilamana Rasulullah menjadikan madinah sebagai pusat pemerintahan dan menghantar beberapa duta negara seperti Muadz ke Yaman dll. Sistem pemerintahan yang dipimpin oleh Abu Bakar adalah kesinambungan kepada sistem pemerintahan yang telah dibina oleh Rasulullah SAW.
  5. Peperangan terhadap golongan murtad adalah satu peperangan yang sememangnya atas dasar kepentingan agama dan bukan kepentingan politik seperti didakwa Ali Abd Raziq. Golongan ini bertindak dengan tidak membayar zakat sedangkan zakat adalah salah satu dari rukun Islam.
  6. Ali Abd Raziq juga mempersoalkan tindakan sesetengah khalifah yang memerintah secara kejam dan memaksa serta jauh dari cara Islam. Kekejaman dan memaksa yang dilakukan oleh sesetengah khalifah tidak menafikan akan kewajipan wujudnya khalifah Islam ,tidak mempengaruhi Islam sedikit pon , dan Islam tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan atas tindakan tersebut. Mereka yang patut dipertanggungjawabkan adalah khalifah tersebut dan rakyat yang bersifat membisu atas tindakan kejam khalifah tersebut, bukanlah Islam.

Kesimpulan

  • Kefahaman yang dibawa oleh Ali Abd Raziq adalah satu kefahaman sekular iaitu memisahkan agama dari pemerintahan yang secara jelas selari dengan kefahaman yang dipegang oleh barat dan bertentang dengan kefahaman Islam.
  • Islam adalah satu cara hidup yang meliputi seluruh aspek kehidupan tanpa terkecuali, ianya bukan sekadar agama yang menitik beratkan soal ruhi dan hubungan hamba dan Tuhan. Ini disebut secara jelas oleh Imam As Syahid Hassan Al Banna :

Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi  semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan negara ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun kasih sayang dan keadilan. Ia adalah peradaban dan undang-undang ataupun keilmuan dan hukum-hukum. Ia juga adalah material dan harta benda ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Begitu juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.

  • Tindakan IKD (Institut Kajian Dasar) yang menterjemah dan menyebarkan buku ini dikalangan masyarakat Islam di Malaysia sejak tahun 2004 adalah satu tindakan yang salah di sisi Islam kerana mereka cuba merosakkan kefahaman Islam yang sebenar di kalangan masyarakat . Sepatutnya buku ini diharamkan atas tanggungjawab pemerintah dalam “menjaga agama” sesebuah Negara Islam dan penyebar fahaman ini sepatutnya dikenakan tindakan yang tegas.

Moga Allah memelihara kita semua dari segala kefahaman yang tidak bersumberkan dari kefahaman Al-Quran dan As Sunnah.

Wallahu a’lam

 

firdaus
 
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)
BA(Hons) Syariah Universiti Al-Azhar

One thought on “Buku Islam dan Dasar Pemerintahan : Kefahaman menyeleweng Ali Abd Raziq

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *