Tuntutan Comango Menurut Perspektif Syarak (Siri 1)

Asas Kenegaraan

Sebelum kita masuk kepada perbincangan tuntutan Comango secara spesifik, adalah perlu untuk kita sama-sama perbetulkan atau menyatukan fahaman kita berkenaan dengan kedudukan Islam di Malaysia. Ini merupakan isu pokok dan asas sebelum kita berbicara tentang tuntutan-tuntutan Comango. Kegagalan dalam memahami asas kenegaraan ini adalah punca utama kepada perbalahan yang sedang berlaku dan yang akan berlaku di negara ini.

Kefahaman yang betul terhadap kedudukan Islam dalam negara ini akan membawa kita kepada kefahaman apakah antara tanggungjawab serta tugasan utama negara ini . Perkara itulah yang penulis akan terangkan setelah kita bersepakat akan asas kenegaraan kita.

Apabila kita ingin melihat asas kenegaraan sesebuah negara, maka rujukan utamanya adalah undang-undang tertinggi negara tersebut yang disebut sebagai perlembagaan. Di dalam konteks Malaysia, perlembagaan negara dipanggil Perlembagaan Persekutuan. Jika kita perhatikan di dalam Perlembagaan Persekutuan ada beberapa perkara yang secara jelas menerangkan kedudukan Islam di Malaysia, antaranya:

1. Islam adalah agama negara

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan : Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Perkara ini kemudiannya telah ditafsirkan oleh Hakim Mohd Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqulrahman [1] seperti berikut :

Islam bukan setaraf dengan ugama lain. Bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama-sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh, dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah ugama bagi persekutuan.

Perkara 3 (1) ini juga telah ditafsirkan oleh Hakim Tun Ahmad Fairuz dalam kes Lina Joy [2] :

“…kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’.”

Di dalam mengulas Perkara 3 (1) ini, Dr Abdul Aziz Bari turut berkata [3]:

“Pada hakikatnya kita boleh mengatakan bahawa negara ini telah disyahadahkan dengan kalimah Islam sebagaimana tertulis dalam Perkara 3 (1) iaitu Islam adalah agama Persekutuan Malaysia sekaligus telah membatalkan ciri-ciri sekularnya. Dan kemudian terpulang kepada kita untuk mengisi kerangka itu dengan apa yang dituntut oleh Islam. Mungkin dalam beberapa perkara syariat, negara kita mengabaikan Islam tetapi itu tidak bermakna anda boleh sewenang-wenangnya menuduh negara ini murtad dengan menjadi negara sekular”.

2. Tugasan utama Yang Di-Pertuan Agong (YDPA)

Disebut dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual Keempat tentang sumpah YDPA ketika dilantik memegang jawatan tersebut iaitulah jawatan yang tertinggi dalam hirarki negara Malaysia.

Kami ______________ ibni ___________ Yang diPertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan Wallahi, Wabillahi, Watallahi …

… Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Ugama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.

Jelas dalam sumpah pemimpin tertinggi negara bahawa menjaga kedaulatan Islam adalah antara tugasan utama YDPA dan itulah tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepadanya pada setiap masa.

3. Dana khusus untuk institusi Islam.

Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan: Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Perkara ini menjelaskan salah satu tanggungjawab pemerintah atau kerajaan negara ini adalah memberi peruntukan dana khusus bahkan menubuhkan institusi Islam sedangkan kerajaan tidak dipertanggungjawabkan bagi agama selain Islam.

4. Sekatan dakyah pada bukan Islam

Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan: Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Larangan penyebaran doktrin ini secara jelas khusus untuk orang Islam sahaja.

Kesimpulan:

Berdasarkan kepada ciri-ciri yang terdapat pada Malaysia, ia adalah pada hakikatnya suatu negara di mana Islam adalah sebagai agama negara.
Tidak dinafikan terdapat terlalu banyak kepincangan, tetapi kepincangan tersebut tidak mengeluarkan Malaysia daripada kategori negara Islam. Adalah menjadi tanggungjawab warganegara Malaysia untuk memperkemaskan pengamalan Islam sebagai agama negara.
Menetapkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam meletakkan suatu tanggungjawab kepada pemerintah Malaysia untuk menunaikan peranan sebagai negara Islam.
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Tulisan ringkas ini merupakan hasil daripada pembentangan oleh Prof Madya Dr Aznan ketika Muzakarah Ulama kali ke-2 yang membincangkan beberapa tuntutan Comango menurut perspektif syarak pada 11 Januari 2014 yang lalu.

Di bahagian kedua kita akan membincangkan tentang tanggungjawab sebuah negara Islam.

[1] Meor Atiqulrahman bin Ishak & Ors v Fatimah Sihi & Ors[2000] 1 MLJ 393

[2] Lina Joy lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain [2007] 3 CLJ 577

[3] Majalah Milenia bulan Disember 2010, m/s: 10

 

dr aznan_2
 
 
Prof Madya Dr Aznan Hassan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *