Jawapan kepada tulisan Ustaz Anhar Opir

PRU13 telah mengundang pelbagai isu di Malaysia. Di antara isu yang hangat dibincangkan ialah isu yang berkaitan dengan agama khususnya berkaitan pengundian calon-calon bukan Islam. Berbagai-bagai tulisan dan pendapat telah tersebar dalam masyarakat yang menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam. Salah satu daripada tulisan tersebut telah membenarkan umat Islam untuk mengundi bukan Islam dalam PRU yang akan datang seperti tulisan Ustaz Anhar Opir dalam blognya (http://hjanhar.blogspot.com/2013/03/calon-muslim-vs-non-muslim.html).

Penulisan ini adalah sebagai jawapan kepada penulisan Ustaz Anhar Opir yang telah menggunakan beberapa ayat al-Quran yang pada hakikatnya telah difahami dengan kefahaman yang tidak tepat. Beliau di dalam penulisan tersebut menyatakan bahawa pemahaman beliau adalah lebih tepat menurut dilalat nasnya. Penulisan ini akan hanya memfokuskan penghujahan dengan ayat-ayat al-Quran dan menunjukkan bahawa pemahaman beliau tersebut adalah tidak tepat.

Penulisan beliau secara umumnya membuat kesimpulan:

“…tiada dalil qat’ie yang melarang untuk mengundi calon non muslim dalam PRU di Malaysia. Ia termasuk dalam siasah syar’iyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti”

Berdasarkan kepada ayat-ayat dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9, surah al-Mumtahanah ayat 1, dan surah al-Mujadalah ayat 22.

Penulisan di bawah menunjukkan bahawa kefahaman beliau terhadap ayat-ayat tersebut adalah salah dan kurang tepat. Berikut adalah hujah-hujah yang menjadi tumpuan dalam tulisan ini dan isu-isu lain yang ditimbulkan oleh beliau akan dijawab dalam siri penulisan yang lain. Diharapkan dengan jawapan ini dapat menghasilkan kefahaman yang betul terhadap nas-nas al-Quran dan memberi keyakinan kepada umat Islam di Malaysia untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon muslim berwibawa.

Hujah Pertama

Beliau telah berhujah dengan ayat (al-Mumtahanah: 8-9):

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Beliau mengatakan:

“Menerusi ayat ini, Allah Azza wa Jalla telah membahagikan non muslim kepada dua kumpulan; pertama adalah yang baik kepada orang-orang Islam, tidak memerangi dan mengusir muslimin dari kediaman mereka. Manakala kumpulan kedua adalah yang memusuhi, memerangi dan mengeluarkan orang-orang Islam dari rumah-rumah mereka. Kumpulan ini seperti Musyrikin Mekah yang telah menyakiti dan menghalau nabi SAW dan umat Islam. Inilah kumpulan yang kita tidak boleh berkawan dan mengundi mereka. Adapun kumpulan yang pertama, kita tidak dilarang untuk berkawan dan mengundi mereka berdasarkan dalalatu al-nas yang tidak perlukan sebarang ta’wil. Maka ayat ini telah mengikat (qayd) mutlaknya ayat-ayat yang digunakan oleh kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim.”

Daripada penulisan di atas dapat difahami bahawa beliau berpandangan larangan untuk berkawan dan mengundi non muslim di dalam ayat di atas adalah muqayyad (terikat) dengan syarat mereka adalah 1) kufur, 2) memusuhi dan 3) memerangi serta menghalau orang Islam daripada rumah dan negeri mereka. Kumpulan ini seperti kaum Musyrikin Mekah yang telah menyakiti dan menghalau Nabi SAW dan umat Islam dari Mekah. Inilah kumpulan yang kita tidak boleh berkawan dan mengundi mereka. Beliau mengatakan kumpulan pertama yang dinyatakan dalam ayat tersebut, tidak dilarang untuk orang Islam berkawan dan mengundi mereka berdasarkan dilalat al-nass yang tidak memerlukan sebarang ta’wil. Maka ayat ini telah mengikat (qayd) kemutlakan (itlaq) ayat-ayat yang digunakan untuk mengharamkan menyokong orang bukan Islam.

Difahami daripada kata-kata beliau seolah-olah larangan mengundi non muslim yang tidak memenuhi ciri di atas (kufur, memusuhi dan memerangi serta menghalau orang Islam daripada rumah dan negeri mereka) adalah dibenarkan berdasarkan ayat di atas.

Pada hakikatnya ayat ini langsung tidak membicarakan berkenaan dengan muwalah atau melantik non muslim sebagai pemimpin. Ia adalah ayat yang menceritakan tentang berbuat baik sahaja (al-mabarrah) dan bukannyaal-muwalah (antaranya bermaksud pelantikan sebagai ketua). Ini dibuktikan melalui beberapa penghujahan.

Ini dibuktikan dengan asbab nuzul ayat ini sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Tafsir Ibn Kathir:

قال الإمام أحمد: حدثنا عارم، حدثنا عبد الله بن المبارك، حدثنا مصعب بن ثابت، حدثنا عامر بن عبد الله بن الزبير، عن أبيه قال: قدمت قُتَيلة على ابنتها أسماء بنت أبي بكر بهدايا: صِنَاب وأقط (5) وسمن، وهي مشركة، فأبت أسماء أن تقبل هديتها تدخلها بيتها، فسألت عائشة النبي صلى الله عليه وسلم، فأنزل الله، عز وجل: {لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ} إلى آخر الآية، فأمرها أن تقبل هديتها، وأن تدخلها بيتها.

Hadis di atas menceritakan bagaimana Futaylah ibu kepada Asma’ binti Abu Bakar menziarahi Asma’ dan membawa beberapa hadiah. Asma’ tidak menerima hadiah tersebut dan tidak membenarkan ibunya masuk ke rumah. Maka Aisyah isteri Nabi SAW bertanya kepada Rasulullah mengenai hal tersebut dan baginda telah membacakan ayat 8 surah al-Mumtahanah dan menyuruh agar Asma’ menerima hadiah ibunya dan membenarkan ibunya masuk ke rumah.

Asbab nuzul ini menunjukkan bahawa isu dasar di dalam ayat ini ialah hubungan kasih sayang dan mawaddahantara seorang ibu dan anak, dan tidak ada kena mengena langsung dengan konsep al-muwalah di dalam Islam yang berkaitan dengan pelantikan seorang ketua. Maka dilalat al-nass kepada ayat ini, adalah keharusan berbuat baik, menghormati, melayani sebagai tetamu kepada seorang bukan muslim apabila mereka tidak memerangi orang Islam. Adapun menggunakan ayat ini untuk membenarkan pemilihan non muslim sebagai pemimpin adalah tidak tepat dan memerlukan hujah yang lain.

Pemahaman ini lebih jelas lagi jika dirujuk kepada Tafsir al-Kashshaf oleh al-Zamakhshari (7: 42), al-Razi dalam tafsirnya Mafatih al-Ghayb (15: 325), al-Nasafi dalam tafsirnya Madarik al-Tanzil wa Haqa’ia al-Ta’wil (3: 423), al-Naysaburi dalam tafsirnya (7: 157). Kesemua mufassir ini menggunakan petikan yang sama dalam mentafsirkan ayat 8 surah al-Mumtahanah, iaitu:

والمعنى: لا ينهاكم عن مبرّة هؤلاء، وإنما ينهاكم عن تولى هؤلاء.

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu berbuat baik kepada mereka, tetapi Allah melarang kamu melantik mereka (sebagai pemimpin).

Para mufassir di atas dengan jelas menunjukkan bahawa keharusan berbuat baik (al-mabarrah) tersebut hanya terpakai dalam urusan muamalat harian, dan bukannya dalam soal pelantikan kepimpinan (al-muwalah).

Dari manakah penulis (Ustaz Anhar) mendapat kefahaman bahawa ayat ini seolah-olah membenarkan kita untuk mengundi non Muslim di dalam pilihan raya? Apatah lagi apabila wujudnya seorang Muslim yang berwibawa dan soleh di tempat tersebut. Adakah kita boleh mengundi seorang non muslim di kala wujud seorang muslim yang soleh dan berwibawa?

 

Sehubungan dengan itu hujah yang mengatakan bahawa boleh memilih non muslim dalam keadaan ada muslim yang berwibawa berdasarkan dilalat al-nass ayat ini adalah menyimpang sama sekali daripada dilalat al-nass, inilah yang dapat kita fahami daripada tafsiran ulama muktabar (terutamanya al-Zamakhshari) terhadap ayat ini.

Bahkan seorang ulama usul yang terkenal, Imam al-Qarafi telah menjamakkan (reconcile) ayat muwalah danmabarrah dengan begitu cantik sekali, ketika mana beliau membincangkan ayat 1 surah al-Mumtahanah dan ayat 8 surah yang sama. Beliau berkata:

فلا بد من الجمع بين هذه النصوص، وأن الإحسان لأهل الذمة مطلوب، وأن التودد والموالاة منهي عنهما..  (الفروق: 3/14-15)

Maksudnya: Tidak dapat tidak kita mesti mengharmonikan antara kedua-dua ayat ini, iaitu perbuatan ihsan kepada ahli zimmah adalah satu perkara yang dituntut oleh agama. Manakala kita dilarang memberi kasih sayang (mawaddah) dan muwalah (pelantikan pemimpin) kepada mereka.

Hujah Kedua:

Selanjutnya Ustaz Anhar juga berhujah dengan ayat 1 surah al-Mumtahanah untuk membolehkan kita melantik pemimpin dari kalangan orang bukan Islam.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.

Dengan menggunakan ayat di atas, beliau berhujah:

“…bahawa larangan Allah Azza wa Jalla menjadikan non muslim sebagai kawan rapat dan penolong bukan hanya kerana tidak berimannya mereka, tetapi juga bergabung dengan illah (sebab) lain iaitu menghalau dan mengusir nabi SAW dan umat Islam daripada kediaman mereka tanpa hak. Oleh itu, jika seorang non muslim hanya sekadar tidak beriman tanpa illah (sebab) kedua iaitu menghalau, maka tiada larangan.”

Penghujahan ini adalah sama sekali bertentangan dengan kitab-kitab tafsir yang muktabar. Umpamanya Muhammad Amin al-Shanqiti dalam Adwa al-Bayan (8: 217) ketika mentafsirkan ayat ini mengatakan:

أَمَّا الْعَدُوُّ الْمُرَادُ هُنَا فَقَدْ عَمَّ وَخَصَّ فِي وَصْفِهِ فَوَصَفَهُ أَوَّلًا بِقَوْلِهِ: وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ، وَخَصَّ بِوَصْفِهِ يُخْرِجُونَ الرَّسُولَ، وَالْوَصْفُ بِالْكُفْرِ يَشْمَلُ الْجَمِيعَ، فَيَكُونُ ذِكْرُهُمَا مَعًا لِلتَّأْكِيدِ وَالِاهْتِمَامِ بِالْخَاصِّ، كَقَوْلِهِ تَعَالَى: مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِلَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَجِبْرِيلَ [2 \ 98]

Jelas daripada petikan di atas mengatakan bahawa Allah menyebut sifat menghalau Rasul adalah untuk ta’kid(penegasan). Bagaimana pun sepatutnya kita memberi perhatian yang lebih kepada sifat kufur mereka kepada risalah Rasulullah SAW dan bukannya perbuatan menghalau Rasulullah. Perbuatan menghalau Rasulullah itu hanyalah merupakan antara contoh perbuatan kufur mereka kepada Rasulullah SAW, di samping ada banyak lagi perbuatan mereka yang menyakiti Rasulullah SAW. Oleh itu, al-Shanqiti jelas menyatakan bahawa perbuatan ingkar (kufur) kepada risalah yang dibawa oleh Rasulullah itu sendiri adalah perbuatan mungkar dan menyakiti Rasulullah SAW, dan perbuatan ini lebih besar dan merangkumi semua perbuatan-perbuatan lain yang menyakiti Rasulullah SAW termasuklah tindakan kaum Quraisy menghalau baginda SAW dari Mekah.

Jelas bahawasanya ‘illah pengharaman adalah sifat al-kufr itu sendiri yang merangkumi semua tindakan yang menyakiti Rasulullah SAW, dan tidak hanya khusus kepada mereka yang menghalau Rasulullah SAW. Maka‘illah pengharaman kekal umum melainkan jika ada nas yang mengkhususkannya. Tidak ada ulama yang menjadikan (mengeluarkan rasul) sebagai salah satu illah pengharaman tersebut. Dalam nukilan yang lain, al-Shanqiti (8: 218) jelas menerangkan bahawa sebab pengharaman muwalah dalam ayat 1 surah Mumtahanah adalah kufur.

…أَنَّ سَبَبَ النَّهْيِ عَنْ مُوَالَاةِ الْأَعْدَاءِ، هُوَ الْكُفْرُ…

Pentafsiran yang sama juga dapat dilihat daripada kitab-kitab tafsir yang lain antaranya Wahbah al-Zuhayli dalam Tafsir al-Munir (28: 123):

يستنبط من الآيات ما يأتي: تحريم موالاة الكفار ومناصرتهم ومعاونتهم بأي وجه من الوجوه، والسورة أصل في النهي عن موالاة الكفار، ولو في الظاهر، مع عدم الرضا في القلب بالاعتقاد الذي هم عليه.

Dr Wahbah al-Zuhayli menyatakan bahawa haram memberi muwalah kepada orang-orang yang kafir. Begitu juga haram menolong dan membantu mereka dengan apa cara sekalipun. Bahkan beliau dengan begitu tegas menyatakan bahawa perbuatan memberi muwalah kepada orang kafir adalah tetap haram walaupun secara pura-pura.

Bagaimanakah penulis boleh menyatakan bahawa secara dilalat al-nassmuwalah kuffar dilarang hanya kepada mereka yang menentang Islam. Sedangkan ia bertentangan dengan pandangan-pandangan ulama muktabar seperti al-Shanqiti dan Wahbah al-Zuhayli. Sekali lagi diulang bahawa al-Shanqiti jelas mengatakan‘illah pengharaman adalah al-kufr itu sendiri dan perkataan (يخرجون الرسول) adalah untuk ta’kid (penegasan) danihtimam (concern).

Contoh yang sama berkaitan ‘illah dan ta’kid di dalam al-Quran dapat dilihat dalam hukum mengahwini anak tiri. Al-Quran telah mengharamkan seseorang mengahwini anak tiri, tidak kira sama ada anak tiri tersebut berada dalam jagaan ayah tirinya atau tidak. Pengharamannya adalah kepada sifat anak tiri itu sendiri, sama ada yang di bawah jagaan ayah tiri atau tidak. Oleh itu, yang menjadi ‘illah kepada pengharaman ialah ‘anak tiri’ bukan ‘di bawah jagaan’. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 23:

23. Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dalam konteks Malaysia, jelas sebahagian daripada non muslim secara terang-terang menyatakan penentangan mereka tentang pelaksanaan Islam seperti hudud dan sebagainya. Tidakkah mereka ini termasuk di dalam konteks larangan ini? Dan jika terdapat seorang muslim berwibawa bertanding menentang non muslim sebegini, apakah hujah syarak yang membolehkan kita sebagai seorang muslim untuk mengundi non muslim dan meninggalkan muslim berwibawa tersebut? Tidak ada sebarang hujah syarak yang boleh menyokong pandangan ini.

Sekiranya kita masih lagi ragu-ragu bahawa ayat-ayat di atas hanya berkaitan dengan orang-orang kafir pada zaman Nabi SAW, maka al-Shanqiti menyatakan dengan jelas bahawa hukum yang sama terpakai untuk semua kelompok orang kafir yang wujud pada zaman moden ini seperti komunis, Hindu, Budha dan lain-lain. Tidak ada alasan untuk kita menyatakan bahawa hanya golongan kafir Quraisy zaman Nabi sahaja yang termasuk dalam ayat ini, bahkan semua golongan kufur adalah dikategorikan sebagai golongan yang tidak boleh kita memberi muwalah kepada mereka. Ini termasuklah golongan orang bukan Islam yang memperolok-olokkan agama Islam dan memperlekehkan syariat Islam di Malaysia pada hari ini. al-Shanqiti berkata (Adwa al-Bayan, jld. 8, hlm. 80):

وَمِنَ الطَّوَائِفِ الْمُحْدَثَةِ كُلُّ مَنْ كَفَرَ بِمَا جَاءَنَا مِنَ الْحَقِّ مِنْ شُيُوعِيَّةٍ وَغَيْرِهِمْ، وَكَالْهِنْدُوكِيَّةِ، وَالْبُوذِيَّةِ وَغَيْرِهِمْ، وَمِمَّا يَتْبَعُ هَذَا الْعُمُومَ مَا جَاءَ فِي قَوْلِهِ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ [5 \ 57 – 58]. فَكُلُّ مَنْ هَزِئَ بِشَيْءٍ مِنَ الدِّينِ أَوِ اتَّخَذَهُ لَعِبًا وَلَهْوًا فَإِنَّهُ يُخْشَى عَلَيْهِ مِنْ تَنَاوُلِ هَذِهِ الْآيَةِ إِيَّاهُ.

Hujah Ketiga

Adapun hujah ketiga beliau menggunakan ayat 22, surah al-Mujadalah:

22. Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya.

Dalam mengulas ayat ini, Ustaz Anhar telah menyatakan: “bahawa larangan berkawan dan menyokong non muslim adalah bagi yang menentang Islam. Maka mafhumnya adalah sebaliknya iaitu tiada larangan bagi non muslim yang tidak menentang Islam.”

Ayat ini pada hakikatnya adalah bertepatan dengan firman Allah (لا ينهاكم الله…) iaitulah berkenaan dengan memberi kasih sayang (mawaddah) kepada non muslim terutamanya mereka yang mempunyai hubungan persaudaraan dan kasih sayang dengan kita. Bagaimanapun perbuatan memberi kasih sayang ini dibenarkan dengan syarat mereka tidak memusuhi Allah dan rasulNya. Perkara ini diperjelaskan lagi oleh Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di dalam tafsir beliau Tafsir al-Sa’di:

يقول تعالى: {لا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ} أي: لا يجتمع هذا وهذا، فلا يكون العبد مؤمنا بالله واليوم الآخر حقيقة، إلا كان عاملا على مقتضى الإيمان ولوازمه، من محبة من قام بالإيمان وموالاته، وبغض من لم يقم به ومعاداته، ولو كان أقرب الناس إليه.

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menjelaskan bahawa tidak mungkin di dalam hati seseorang mukmin itu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat mempunyai perasaan sayang dan memberi muwalah kepada orang bukan Islam. Iman itu sendiri menuntut dia untuk memberi perasaan kasih sayang hanya kepada orang yang beriman dan membenci orang yang menentang Islam walaupun mereka itu adalah terdiri daripada kaum keluarga terdekat.

Pemahaman yang jelas daripada ayat 22 surah al-Mujadalah tidak membenarkan kita untuk memberikan kasih sayang kepada non muslim jika sekiranya mereka memerangi Islam. Inilah dilalat al-nass kepada ayat ini. Adapun isu muwalah (perlantikan non muslim) tidak dibincangkan dalam ayat ini. Adapun dengan menggunakan ayat ini untuk menunjukkan tiada larangan untuk menyokong non muslim, ia memerlukan satu dalil yang lain. Nas ayat ini tidak sama sekali menunjukkan perkara tersebut. Bagaimanakah beliau boleh menyatakan bahawa dilalat al-nass ayat ini adalah bermaksud sedemikian. Sekali lagi jelas beliau gagal memahami dilalat al-nass di dalam ayat-ayat al-Quran yang dijadikan hujah oleh beliau.

Hujah Keempat

Seterusnya Ustaz berhujah dengan mengambil pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang membenarkan kita mengundi non muslim seperti mana yang dinyatakan di dalam Min Fiqh al-Dawlah. Perkara ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam. Sebelum mengambil kesimpulan mudah bahawa Dr Yusuf al-Qaradhawi membenarkan undi non muslim, kita perlulah memahami keseluruhan penulisan al-Qaradhawi dalam isu ini (antaranya ialah laman sesawang beliau http://www.qaradawi.net/library/77/3904.htmlGhayr al-Muslimin fi al-Mujtama’ al-Muslim dan Min Fiqh al-Dawlah).

Perlu diingatkan bahawa Dr Yusuf al-Qaradhawi meletakkan tiga syarat yang ketat sebelum kita boleh memilih non muslim untuk menjadi ahli parlimen. Syarat-syarat tersebut ialah:

  1. al-Maqasid al-‘Ammah kepada siyasah syar’iyyah iaitu “menjaga agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama” terpelihara dengan baik dan manifestasi utamanya iaitu syariat Islam terlaksana dengan sempurna dalam negara.
  2. Jawatan yang dipegang bukan jawatan yang sensitif.
  3. Non muslim yang dilantik mesti menerima pengamalan syariat Islam yang sempurna dalam negara.

Untuk pendetailan mengenai pandangan Dr Yusuf al-Qaradhwi dalam isu ini, sila lihat tulisan Dr Aznan, Pengerusi Majlis Ulama ISMA tentang hal ini (http://muis.ismaweb.net/) (http://www.ismaweb.net/v4/2013/04/sheikh-dr-yusuf-al-qaradhawi-dan-isu-pengundian-non-muslim-di-dalam-pilihanraya/).

Adapun berhujah bahawa al-Mawardi atau Abu Ya’la al-Farra’ yang membenarkan ahli zimmah boleh dilantik menjadi wazir tanfiz, maka kita perlu memahami dalam konteks perbincangan al-Mawardi. al-Mawardi ketika membenarkan ahli zimmah menjadi wazir tanfiz, kebenaran tersebut adalah dibenarkan di dalam konteks yang lebih besar iaitulah suasana di mana Negara diperintah oleh al-Khilafah. Oleh sebab itulah ketika memulakan perbincangan al-Mawardi menyebutkan bahawa kepimpinan (al-imamah) adalah bertujuan untuk menggantikan tugas kenabian dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Beliau berkata:

الإمامة موضوعة لخلافة النبوة في حراسة الدين وسياسة الدنيا به.

Ini menunjukkan bahawa pelantikan non muslim sebagai wazir tanfiz adalah dalam konteks wujudnya negara Islam dan pelantikan tersebut tidak akan sama sekali mengganggu identiti dan struktur negara Islam.

Ini dikuatkan lagi dengan kata-kata al-Mawardi yang menjelaskan bahawa terdapat enam perkara penting yang membolehkan urusan dunia menjadi kemas dan tersusun, iaitu 1) agama yang dituruti, 2) pemerintah yang berkuasa, 3) keadilan yang melata, 4) keamanan, 5) kemakmuran dan 6) wawasan yang jauh. Beliau berkata dalam kitabnya Adab al-Din wa al-Dunya, hlm 135-136:

“اعلم أن ما تصلح به الدنيا حتي تصير أحوالها منتظمة وأمورها ملتئمة ستة أشياء في قواعدها وإن تفرعت، وهي: دين متبع وسلطان قاهر، وعدل شامل، و أمن عام وخصب دائم، و أمل فسيح.”

Ini menunjukkan bagaimana pelantikan non muslim sebagai wazir tanfiz adalah di dalam konteks di mana negara tersebut terdiri di atas agama dan terdapat sultan (kekuasaan Islam) untuk memastikan bahawasanya kewujudan non muslim tersebut tidak mengganggu struktur negara Islam tersebut. Adakah suasana yang sama terdapat di dalam negara kita untuk membolehkan kita memilih non muslim sebagai pemimpin?

Adapun hujah Ustaz Anhar yang menyatakan bahawa Imam al-Haramayn al-Juwayni juga bersetuju dengan pandangan al-Mawardi ini, adalah jauh tersasar daripada kebenaran. Sesiapa yang membaca al-Ghiyathi akan memahami bahawa Imam al-Haramayn al-Juwayni adalah antara orang yang tidak membenarkan sama sekali pelantikan non muslim. Bahkan beliau telah mengkritik keras pandangan al-Mawardi dalam hal ini dengan mengatakan bahawa pandangan al-Mawardi ini adalah satu kesilapan besar dan tidak mungkin datang daripada seorang yang berilmu. Beliau berkata:

وذكر مصنف الكتاب المترجم بالأحكام السلطانية إن صاحب هذا المنصب يجوز أن يكون ذميا وهذه عثرة ليس لها مقيل وهي مشعرة بخلو صاحب الكتاب عن التحصيل. فإن الثقة لا بد من رعايتها وليس الذمي موثوقا به في أفعاله وأقواله وتصاريف أحواله. وروايته مردودة وكذلك شهادته على المسلمين فكيف يقبل قوله فيما يسنده ويعزيه إلى إمام المسلمين. فمن لا يقبل شهادته على باقة بقل ولا يوثق به في قول وفعل كيف ينتصب وزيرا وكيف ينتهض مبلغا عن الإمام سفيرا على أنا لا نأمن في أمر الدين شره بل نرتقب نفسا فنفسا ضره وقد توافرت شهادة نصوص الكتاب والسنة على النهي عن الركون إلى الكفار والمنع من ائتمانهم وإطلاعهم على الأسرار. قال الله تعالى {لا تتخذوا بطانة من دونكم لا يألونكم خبالا}. وقال {لا تتخذوا اليهود والنصارى أولياء} وقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أنا برئ من كل مسلم مع مشرك لا ترا آي نارهما واشتد نكر عمر على أبي موسى الأشعري لما تخذ كاتبا نصرانيا وقد نص الشافعي رحمه الله عليه أن المترجم الذي ينهى إلى القاضي معاني لغات المدعين يجب أن يكون مسلما عدلا رضيا ولست أعرف في ذلك خلافا بين علماء الأقطار فكيف يسوغ أن يكون السفير بين الإمام والمسلمين من الكفار فليت شعري كيف يستجيز التصدي للتصنيف من هذا منهتى فهمه ومبلغ علمه ومن استجرأ على تأليف الكتب تعويلا على ذاربة في عذبة لسانه واستمكانه من طرف البسط في بيانه ولم يكن بحرا معلوليا في العلوم لا ينكش ولا يغضغض ونهرا معدودا لا ينزف ولا يمخض فقد تهدف فيما صنف واقتحم المهاوي وتعسف ولست والله في ذلك أتكلف وأتصلف.

Imam al-Haramayn al-Juwayni menegaskan kepentingan thiqah dalam pelantikan seorang pemimpin dan sifat ini tidak mungkin ada pada seorang kafir zimmi. Seorang wazir tanfiz adalah merupakan wakil kepada khalifah dalam menjalankan tugas-tugas kenegaraan dan beliau menyatakan bahawa kafir zimmi tidak layak menjalankan tugas ini. al-Juwayni menyatakan bahawa seorang kafir zimmi itu ditolak penyaksian mereka dan tidak diterima periwayatan mereka, oleh itu tidak logik untuk menyerahkan jawatan wazir tanfiz yang besar itu kepada mereka. Beliau juga menyatakan jika sekiranya kita melantik juga mereka sebagai wazir tanfiz nescaya kita tidak akan rasa aman dan tenteram, bahkan kita akan sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap kemudaratan yang mungkin mereka akan lakukan. Dalil-dalil yang diberi oleh Imam al-Juwayni dalam menolak pandangan al-Mawardi ialah ayat 118 surah Ali ‘Imran dan ayat 51 surah al-Ma’idah. al-Juwayni menyatakan bahawa semua ulama termasuk Imam Syafie bersetuju bahawa pelantikan jawatan yang kecil sekalipun seperti penterjemah kepada hakim perlulah dilakukan di kalangan orang Islam yang adil dan tidak boleh melantik seorang kafir zimmi untuk tugas tersebut.

Oleh itu jelas kepada kita bahawa pandangan Imam al-Juwayni adalah sangat bertentangan dengan pandangan Imam al-Mawardi dalam hal membenarkan pelantikan kafir zimmi sebagai wazir tanfiz. Bagaimanakah Ustaz Anhar boleh menyatakan Imam al-Juwayni bersetuju dengan pandangan al-Mawardi?

Kesimpulan

Penulisan ini hanya menumpukan kepada kegagalan Ustaz Anhar untuk memahami dilalat al-nass di dalam ayat-ayat al-Quran yang dibincangkan. Begitu juga kesilapan beliau dalam memahami teks al-Ghiyathi karangan Imam al-Haramayn al-Juwayni.

Adapun pendapat beliau yang lain iaitu  “kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara”, yang menjadi penghujahan beliau bagi membolehkan mengundi calon non muslim dalam PRU akan diulas dalam siri akan datang.

Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayatNya kepada kita semua dalam memperjuang dan mendaulatkan Islam di Malaysia.

Ustaz Anwar Fakhri Omar

Sekretariat MUIS (Majlis Ulama ISMA)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *