Hukum wanita solat terawih di masjid

Assalamualaikum ustaz,

Saya nak tanya berkenaan dengan hal wanita solat terawih di masjid. Adakah ianya sunat? Setahu saya wanita digalakkan solat di rumah hatta solat fardhu sekali pun.
Harap mendapat penjelasan ustaz. Terima kasih

Jawapan:

:الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي رسول الله وبعد

Adalah harus bagi wanita menunaikan solat terawih di masjid berdasarkan riwayat dan huraian berikut:

Daripada U'rwah bin Zubair bahawa Umar bin al-Khattab r.a telah menghimpunkan manusia supaya menunaikan solat terawih. Jamaah lelaki diimamkan oleh Ubai bin Ka'ab dan jamaah wanita diimamkan oleh Sulaiman bin Abi Khaithumah. Dalam riwayat Sai'ed bin Mansur bahawa Tamim ad-Daari telah menjadi imam kepada jamaah wanita atas arahan Umar bin al-Khattab. Mengikut Ibnu Hajar al-'Asqalani, kemungkinan berlakunya peristiwa di atas dalam
dua waktu yang berlainan.

'Arfajah at-Thaqafi telah berkata: Ali bin Abi Talib r.a telah menyuruh manusia menunaikan qiam bulan Ramadhan (solat terawih) dengan melantik seorang
imam untuk jemaah lelaki dan seorang imam untuk jamaah wanita dan aku adalah imam kepada jamaah wanita. Riwayat Baihaqi (rujukan: Syarah Sahih Bukhori oleh 'Asqalani, Majmuk dan Mughni al-Muhtaj).

Berdasar riwayat di atas Prof. Dr Abdul Karim Zaidan telah berkata:

Maka dapat difahami daripada riwayat di atas bahawa harus bagi wanita menunaikan solat terawih di masjid secara berjamaah samada berimamkan seorang imam yang dikhususkan untuk mereka atau di belakang saf jamaah lelaki.

Tambah beliau lagi: Perlu diperhatikan bahawa apabila harus bagi wanita menunaikan solat terawih di masjid secara berjamaah samada khusus untuk mereka atau bersama-sama jamaah lelaki, maka harus juga bagi mereka menunaikan solat terawih di rumah secara bersendirian atau berjamaah dengan diimamkan oleh seorang wanita di kalangan mereka.

Sebagai kesimpulan, adalah harus bagi wanita menunaikan solat terawih secara berjamaah di masjid berpandukan kepada riwayat-riwayat seperti di atas.

Sekian والله أعلم بالصواب

Rujukan:
1) Al-Mufassol fi ahkam al-Mar'ah oleh Dr Abd Karim Zaidan.

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS 

One thought on “Hukum wanita solat terawih di masjid

  • September 17, 2010 at 10:51 am
    Permalink

    assalam'alaikum. ustaz, jika jemaah tarawih muslimat diimamkan oleh seorang muslimat juga, adakah bacaan fatihah dan surah selepasnya dibaca secara jahar atau sirr?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *