Solat Jumaat di Masjid Negara

Assalamualaikum ustaz,

Di masjid negara hampir kesemuanya yang bersolat jumaat di situ bukan pemastautin. Adakah solat jumaat itu sah kerana syarat solat jumaat dlm mazhab syafie ialah 40 orang pemastautin?

Jazakallah khairan

Jawapan:

Wa`alaikum al-Salam wrh wbrkth,

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه أجمعين

Perkara pertama yang mesti diamati dalam soalan di atas ialah kenyataan “hampir kesemuanya bukan pemastautin” perlu disokong dengan statistik yang telah dilakukan, kerana hukum tidak diasaskan atas sangkaan atau jangkaan sahaja.

Andainya betul apa yang didakwa, mengikut mazhab Syafie dan Hanbali tidak berlaku solat Jumaat kecuali dengan bilangan 40 orang lelaki mukallaf pemastautin, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ka`ab Ibn Malik yang mengandungi bilangan orang yang solat Jumaat, iaitu seramai 40 orang.

Sementara mazhab Hanafi bilangan yang paling sedikit ialah 3 orang, tidak termasuk imam, kerana perkataan jamak mengandungi sekurang-kurangnya 3. Adapun mazhab Maliki terdapat dua riwayat, iaitu 20 dan 30 orang.

Al-Syaukani memberi komentar dalam masalah ini, kekhilafan ini berlaku kerana tidak sabit nas yang jelas mensyaratkan bilangan yang khusus dan telah sah solat jamaah dengan dua orang dan tidak ada perbezaan dengan solat jamaah yang lain.

Dr. Wahbah al-Zuhaili menekankan kepada wujudnya perhimpunan atau ijtimak. Apabila adanya perhimpunan mengikut adatnya maka sah jumaat.

Kesimpulannya, bilangan 40 pemastautin adalah termasuk dalam perkara khilaf dalam kalangan ulama. Sementara menentukan yang mana pemastautin dan tidak adalah perkara yang sukar di Masjid Negara. Oleh kerana itu, tidak perlu menyusahkan diri untuk membilang dan mengkategorikan makmum yang datang bersolat.

Rujukan:
Al-fiqh al-islami wa adillatuh 2/276
Naylu al-awtar 3/274 kaherah: dar al-hadith

Disediakan oleh:
Ustaz Razali Musa
Ahli Panel MUIS
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *