Pandangan mazhab lain diamalkan di Malaysia

Assalamualaikum ustaz,
Adakah dibolehkan orang Islam Malaysia mengikut Mazhab selain Mazhab Syafii'e di negara ini? Setahu saya, kita dibolehkan mengikut mazhab lain di Mekah kerana ia lebih sesuai untuk diamalkan di sana terutamanya untuk menunaikan haji atau umrah. Tetapi jika tiada sebab yang kukuh, bolehkah kita mengamalkan ajaran mazhab lain di mana-mana?

Jawapan:

:الحمد لله والصلاة والسلام علي رسول الله وبعد

Sebenarnya sebelum ini saya telah menjawab persoalan mengenai seseorang yang beramal dengan pandangan mazhab lain. Sila lihat jawaban yang telah saya berikan dalam ruangan arkib di bawah tajuk
"Beramal dengan mazhab lain" atau di alamat berikut:

http://muis.ismaweb.net/2010/03/feqah-semasa/

Dalam jawaban tersebut saya telah menyatakan ada tiga keadaan di mana seseorang itu boleh mengikut pandangan mazhab lain. (sila rujuk tiga keadaan tersebut di alamat website di atas). Menganggap boleh beramal dengan mazhab lain hanya apabila berada di Mekah adalah suatu yang perlu diperbahaskan semula.

Tidakkah anda mengetahui bahawa masyarakat Islam di Malaysia yang bermazhab Shafi’e sebenarnya telah mengamalkan banyak pandangan mazhab lain di bumi Malaysia tanpa pergi ke Mekah. Sebagai contoh;

1) Rata-rata masyarakat Islam di Malaysia membayar zakat fitrah dengan nilai matawang. Membayar zakat fitrah dengan nilai matawang adalah pandangan mazhab lain. Pada pengamatan saya ia adalah sesuai diamalkan di Malaysia walaupun ia merupakan pandangan mazhab lain dan setakat ini tiada masalah yang timbul.

2) Melakukan solat sunat terawih di bulan Ramadhan sebanyak lapan rakaat. Banyak surau dan masjid menunaikan solat sunat terawih sebanyak lapan rakaat dan masyarakat boleh menerimanya dengan baik walaupun ia bukan pandangan mazhab Shafie. Nampaknya masyarakat sudah matang. Yang melakukan lapan rakaat menghormati golongan yang melakukan dua puluh rakaat dan begitulah sebaliknya.

Sebagai kesimpulan, sebenarnya kita telah banyak beramal dengan pandangan mazhab lain samada kita sedar atau tidak. Dan amalan tersebut walaupun dari pandangan mazhab lain tetapi ia adalah sesuai dan masyarakat Islam Malaysia telah menerimanya dengan baik seperti membayar zakat fitrah dengan nilai matawang tidak dengan beras.

Sekian والله أعلم

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

One thought on “Pandangan mazhab lain diamalkan di Malaysia

  • June 23, 2010 at 8:40 am
    Permalink

    oh, begitu kah…saya baru sahaja tahu bahawa itu adalah daripada mazhab lain…terima kasih…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *