Membaca dua kali qunut dalam solat subuh

Assalamualaikum ustaz,

Kalau kita dalam solat subuh, masbu' rakaat pertama. Dan dalam solat subuh tu imam doa qunut. Adakah kita kena doa qunut balik masa kita tambah rakaat. Ataupun terus sujud. Harap ustaz faham soalan ana. Wassalam.

Jawapan:

:الحمد لله والصلاة والسلام علي رسول الله وبعد

Seperti yang diketahui, membaca qunut dalam solat fardhu subuh adalah sunat mengikut mazhab Shafi'e. Persoalan seterusnya ialah bila qunut dibaca samada sebelum atau selepas ruku'.

Mengikut kitab روضة الطالبين وعمدة المفتين karangan Imam Nawawi:

"Membaca qunut adalah sunat selepas bangun daripada ruku' pada rakaat kedua solat subuh. Begitu juga (sunat) di baca pada rakaat terakhir pada solat witir pada separuh yang terakhir bulan Ramadhan". (hal. 253 juzuk 1).

Dari kenyataan di atas jelas menunjukkan qunut dibaca pada rakaat kedua selepas bangun daripada ruku'.

Adapun keadaan anda yang masbuq pada rakaat pertama sedangkan imam berada pada rakaat kedua, maka anda perlu mengikut perbuatan imam kerana ia adalah tuntutan sembahyang berjamaah.

Walaupun anda baru berada pada rakaat pertama, tetapi anda telah membaca qunut dan juga membaca tahiyyat kerana ia adalah tuntutan mengikut imam. Selepas imam selesai memberi salam, anda perlu menyempurnakan baki satu rakaat, iaitulah rakaat kedua.

Pada rakaat kedua ini anda perlu melakukan semua perkara-perkara yang perlu pada rakaat kedua termasuklah membaca qunut. Bacaan qunut bersama imam ketika anda masbuq adalah tuntutan solat mengikut imam. Ia bukanlah bacaan untuk rakaat kedua.

Sekian والله أعلم

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

One thought on “Membaca dua kali qunut dalam solat subuh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *