Khitan anak lelaki sewaktu masih bayi

Assalamualaikum ustaz,

Apakah hukum mengkhitan seorang anak laki-laki semasa dia masih lagi bayi yang baru beberapa hari dilahirkan? Tidakkah perbuatan itu menyamai amalan Yahudi? Apakah baik-buruk perbuatan tersebut terhadap bayi dari segi kesihatan serta psikologi?

Jawapan:

sumber: http://ulugadong.blogspot.com/2009/11/musim-bersunat-dah-datang.htmlالحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه أجمعين، وبعد:

Khitan dari sudut bahasa beerti memotong dan dari sudut istilah iaitu memotong kulit (Qulfah) yang menutupi kepala dzakar bagi lelaki dan memotong sedikit daging yang berada di bahagian atas faraj (clitoris) bagi wanita. Hukum bersunat bagi lelaki adalah wajib manakala bagi wanita terdapat khilaf antara sunat, al-fadhilah (kemuliaan) dan wajib. (Syarah Sahih Muslim 1/543 dan Fathul Bari 10/340).

Dari sudut sejarah, ianya merupakan tradisi lama yang diwarisi semenjak sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w lagi. Menurut beberapa catatan sejarah dunia, ada pendapat yang mengatakan ianya berlaku semenjak zaman Baginda Nabi Ibrahim a.s lagi . Ada yang mengatakan ianya merupakan tradisi masyarakat Arab sebelum Islam lagi, dan tok mudim yang terkenal di era-sebelum Islam itu bernama “ Ummu Anmar” sebagaimana menurut catatan Imam Al-Bukhari di dalam sahihnya. Tradisi ini terus terlaksana apabila datangnya Baginda Rasulullah s.a.w dan diakui pula oleh Islam sebagai salah-satu tuntutan agama. Umat Muhammad saw diperintah untuk mengikutinya, sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT dalam FirmanNya:


Maksudnya: “kemudian Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad): hendaklah Engkau menurut agama Nabi Ibrahim dan tidaklah ia dari kalangan orang-orang musyrik”.
(An-Nahl: 123)

Sabda nabi SAW:
عن ابي هريرة رضي الله عنه قال : قاال رسول الله صلي الله عليه وسلم : خمس من الفطرة : الاستحداد، والختان، وقص الشارب، ونتف الابط، وتقليم الأظفار.

Dari Abu Harairah r.a berkatanya: Rasulullah saw bersabda; “lima perkara yang termasuk fitrah iaitu: mencukur bulu kemaluan, khitan, memotong kumis, mencabut bulu ketiak, dan memotong kuku.”
(HR; Bukhari dan Muslim)

Terdapat beberapa hadis yang boleh dijadikan panduan dalam menentukan waktu melakukan khitan antaranya;

  1. Dari Jabir bin ‘Abdillah ra; bahawa Rasulullah saw melaksanakan aqiqah Hasan dan Husain serta mengkhitan keduanya pada hari ketujuh.(HR; Thabrani dan Baihaqi)
  2. Dari Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Terdapat tujuh perkara yang termasuk sunnah dilakukan bayi pada hari ketujuh: Diberi nama, dikhitan,….” (HR; Thabrani)
  3. Dari Abu Ja’far ra berkata, “Fathimah melaksanakan aqiqah anaknya pada hari ketujuh. Beliau juga mengkhitan dan mencukur rambutnya serta mensedakahkan perak seberat timbangan rambutnya.” (HR; Ibnu Abi Syaibah)

Terdapat juga hadith yang menceritakan khitan yang dilakukan oleh para sahabat ketika si anak mencapai usia mumaiyiz (5 – 7 tahun).

Ibnu ‘Abbas ra bahawa beliau pernah ditanya, “bagaimanakah kamu ketika Rasulullah saw meninggal dunia ?” Beliau menjawab, “Saat itu saya baru dikhitankan. Malah para sahabat tidak melakukan khitan kepada anak-anak mereka kecuali setelah mereka mengerti sesuatu.” (HR; Bukhari, Ahmad, dan Thabrani).

Hadith ini menjadi sandaran kepada mazhab Syafi'i dan Hanbali yang berpendapat khitan dilakukan ketika usia baligh kerana khitan bertujuan untuk menyempurnakan thaharah (bersuci) dalam beribadah dan ketika ini mereka mula ditaklifkan seperti solat dan kefardhuan yang lain. 

Sebagai kesimpulan Imam Al-Mawardzi berkata; ”Khitan itu memiliki dua waktu, waktu wajib dan waktu sunnah. Waktu wajib adalah ketika usia baligh, dan waktu sunnah adalah sebelumnya. Ibnu Hajar mentarjihkan waktu yang paling baik melakukan khitan adalah pada hari ketujuh setelah kelahiran dan tidak melambat-lambatkan khitan sehingga waktu wajib kecuali terdapata keuzuran atau sebab-sebab tertentu. (Fathul Bari 10/342).

Pendapat-pendapat di atas turut disokong oleh pengamal perubatan moden yang berpendapat umur antara sehari hingga sebulan adalah yang terbaik untuk bersunat. Lebih sesuai pada hari kedua selepas bayi dilahirkan kerana dapat mengurangkan kesakitan bayi. Mereka berpendapat;

i. “Komplikasi di kalangan bayi lebih rendah, berbanding kanak-kanak yang disunatkan pada usia lebih tua kerana pada usia kurang dari satu bulan, manakala kesakitan yang dirasai juga tidak sesakit berbanding umur selepas sebulan,’’

ii. Kanak-kanak lelaki berusia enam atau tujuh tahun menjadi lebih lasak dan pada usia ini mereka sudah merasai kesakitan dan sukar membendung perasaan tersebut.

iii. Proses penyembuhan bagi bayi lebih cepat mengambil masa kira-kira tiga hingga empat hari sahaja berbanding kanak-kanak yang berusia enam atau tujuh tahun.

(Dr. Mohd. Tasron Surat- Sunathrone Bio-Medical)

والله أعلم بالصواب
 

Disediakan oleh:
Ustaz Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS

Zaharulaswad

Im a sinner who seeks His blessing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *