Jawaban tambahan mengenai potong kuku dan rambut dalam keadaan hadas besar

Assalamualaikum ustaz,
Saya telah membaca artikel uztaz yg bertajuk sama seperti diatas. Tetapi itu lebih fatwa@dalil lebih ditujukan kepada golongan wanita di dalam waktu haid@nifas.

1. Adakah hukum atau dalil itu boleh diaplikasikan kepada golongan lelaki berhadas besar?

2. acap kali penceramah atau ustaz-ustaz yang berceramah mengenai mandi wajib ada mengatakan kuku dan rambut yg dipotong perlu dibawa sama untuk dimandikan sekali waktu mandi wajib?

Adakah ia benar?

Kalau benar apakah hukum jikalau orang itu telah pun membuang kuku atau rambut itu semasa lelaki/perempuan itu berhadas besar?

HAMBA ALLAH YANG KELIRU

Jawapan:

:الحمد لله والصلاة والسلام علي رسول الله وبعد

Persoalan memotong kuku atau memotong rambut sewaktu haid/junub dan seumpamanya telah dibincang sebelum ini di alamat berikut:

http://muis.ismaweb.net/2010/05/potong-kuku-dan-rambut-dalam-keadaan-hadas-besar/

Namun daripada jawaban saya yang lalu telah timbul persoalan baru seperti di atas. Maka jawaban saya kepada soalan di atas adalah seperti berikut:

1) Ya, hukum ini diaplikasikan juga kepada golongan lelaki yang berhadas besar. Perkara ini telah disebut dalam rujukan website (bahasa Arab) yang saya sertakan sebelum ini.

2) Kedapatan penceramah yang menyebut jika seseorang mandi wajib, dia perlu membawa bersama kuku dan rambut yang dipotong untuk dimandikan bersama….

Sebenarnya pandangan ini bersumberkan kepada pandangan yang terdapat dalam setengah kitab mazhab Shafie seperti kitab al-Iqna. Dalam kitab tersebut ada kenyataan yang berbunyi seperti berikut:

“Orang yang sedang berjunub tidak sepatutnya memotong kuku, bercukur atau membuang bulu ari-ari, juga mengeluarkan darah ataupun memisahkan sesuatu dari tubuhnya, kerana pada hari akhirat nanti semua bahagian tubuhnya akan dikembalikan kepadanya, dengan demikian ia akan kembali dalam keadaan berjunub. Ada yang menyatakan bahawa setiap helai rambut akan dituntut disebabkan keadaan junubnya".

Seperti yang telah disebut sebelum ini, pandangan di atas tidak sahih berdasar kajian yang telah dibuat oleh ulama muhaqqiqin. Dalam rujukan website yang saya sertakan sebelum ini terdapat hujah ulama membuktikan fahaman di atas adalah tidak benar.

Saya juga telah melihat masalah ini dalam kitab al-Majmuk, iaitu kitab terbesar mazhab Shafie. Namun ia tidak menyebut pandangan seperti di atas (seperti dalam kitab al-Iqna’). Bahkan dalam kitab mazhab Shafie’ yang lain seperti kitab al-Fiqh al-Muyassar, ada disebut bahawa tidak dilarang perbuatan memotong kuku atau rambut ketika waktu junub.

Selain daripada itu, saya juga sempat merujuk kitab Ensaiklopedia Fiqh keluaran Negara Kuwait. Kitab tersebut tidak menyebut pandangan seperti pandangan yang terdapat dalam kitab al-Iqna’ seperti di atas. Saya juga sempat merujuk kitab Ensaiklopedia Hukum-Hakam Wanita karangan Prof Dr Abdul Karim Zaidan mengenai tajuk memotong kuku. Juga dalam ensaiklopedia tersebut tidak disebut mengenai larangan memotong kuku pada waktu haid atau junub.

Sebagai kesimpulan, tidak mengapa dan tiada masalah bagi seseorang yang berada dalam keadaan haid, nifas atau lelaki yang sedang berjunub memotong kuku, rambut dan sebagainya. Bila tiada masalah maka tidak perlulah kuku atau rambut yang dipotong sewaktu hadas besar (junub, haid dan nifas) dibawa mandi bersama.

Sekian والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS  

One thought on “Jawaban tambahan mengenai potong kuku dan rambut dalam keadaan hadas besar

  • April 10, 2011 at 7:42 pm
    Permalink

    Assalamualaikum,
    Bilakah fidyah si mati perlu dibayar? Semasa bulan puasa ke?
    Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *