Hukum wanita pakai celak di luar rumah

Assalamualaikum ustaz,

Saya ingin bertanya, apakah hukum bagi seorang wanita bercelak di luar rumah?

Sekian, terima kasih.

Jawapan:

Waalaikum Salam Warahmatullah,

Terimakasih kepada saudari yang bertanya. Sebelum saya menjawab soalan saudari , terlebih saya suka menjelaskan asal kepada permasalahan ini. Soalan ini berkait rapat dengan Firman Allah dalam Surah Annur ayat 31:-

31. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki Yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.

Dalam membincangkan maksudnya “ Kecuali yang zahir daripadanya” Imam Al_qurtubi dalam tafsirnya berkata:
“Allah s.w.t memerintahkan kaum wanita supaya tidak memperlihatkan (menzahirkan) perhiasan mereka kepada kaum lelaki kecuali yang dikecualikan oleh ayat tersebut sebagai langkah mengelak fitnah. Dalam membicarakan maksud perhiasan zahir, Para ulama’ mempunyai beberapa pandangan antaranya:-

1) Ibn Mas’ud – Perhiasan zahir ialah pakaian
2) Said Bin Jubair, Ata’ dan Al-Auzaie – Muka, Dua Tapak Tangan dan Pakaian.
3) Ibn Abbas, Qatadah dan Musawwar Bin Mukhrimah – Celak Mata, gelang tangan, inai hingga setengah hasta, anting-anting dan cincin. (Petikan Fatwa Semasa: Dr Yusof Qardawi – Jilid 1)

Adakah harus memakai celak mata?

Harus berdasarkan hadith-hadith berikut:-

1) Dikeluarkan oleh Tarmizi dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas r.a, katanya:” Adalah di sisi Nabi s.a.w bekas celak, Baginda s.a.w bercelak daripadanya 3 kali bagi setiap mata”
2) Daripada Ibnu Abbas juga katanya:-
Sabda Nabi s.a.w: ” Sebaik-baik celak mata bagi kamu ialah yang berwarna hitam, ia mengelokkan pandangan dan menumbuhkan rambut (bulu kening)”.
3) Dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya. Daripada Abu Hurairah r.a, Katanya:
Sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: “Barangsiapa yang bercelak mata hendaklah ia melakukannya dengan bilangan yang ganjil. Sesiapa yang bercelak dia telah melakukan kebaikan (dapat pahala) dan sesiapa yang tidak bercelak tiada kepayahan (dosa) baginya”.

Dapat difahami dari hadith-hadith di atas Harus menggunakan celak mata baik kaum lelaki dan wanita.
Petikan dari kitab:
المفصل فى أحكام المراة والبيت المسلم في الشريعة الاسلامية. Karangan Dr Abd Karim Zaidan Jilid 3 (2607).

Ringkasnya:-

Harus bagi wanita muslimah memakai celak mata ketika keluar rumah kerana ia termasuk dalam perhiasan zahir yang diharuskan penggunaannya. Bahkan di sana terdapat hadith-hadith yang mengharuskan kaum lelaki dan wanita memakai celak mata ketika melakukan ibadat ihram kecuali celak mata berwarna sahaja dimakruhkan ketika ihram.

والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Ustaz Shaharuzzaman Bistamam
Pensyarah Akademi Ikatan Muslimin (AIM) Ipoh
Ahli Panel MUIS

 

  

11 thoughts on “Hukum wanita pakai celak di luar rumah

  • May 26, 2010 at 6:37 pm
    Permalink

    Ustaz, satu soalan disini. Ketika berwudhu' adakah celak tidak menghalang air dari mengalir?

  • May 27, 2010 at 10:56 pm
    Permalink

    saya tak tahu apa jenis celak yang anda pakai. Namun celak yang biasa dipakai tidak menghalang air dari sampai anggota wudhu' dan dikira sah wudhu'nya. sekiranya celak yg dipakai seperti make-up tebal yang menghalang air dari sampai ke kulit kecuali dengan menggosoknya, maka wudhu'nya dikira tidak sah.
    sekian
    ustazah nurazimah

  • May 28, 2010 at 7:55 pm
    Permalink

    xpernah pakai sebenarnya ustazah.tu yg tanya.syukran atas penerangan:)

  • June 3, 2010 at 6:22 am
    Permalink

    assalamualaikum.. ustaz, haram dan berdosa ke perempuan yang berpurdah memakai celak? knape bila sy tny kat ramai orang semua kata salah dan tak boleh sbb menarik perhatian. harap dapat bantu beri jawapan yg pasti.

  • June 21, 2010 at 1:22 pm
    Permalink

    Salam ustazah.Saya ingin btanya.JIkalau pemakaian celak tidak dibersihkan dgn sempurna semasa bwudhu,maka wudhu'nya tidak sah.maka solatnya pun tidak sah.bagaimana dgn solat2nya yg dahulu?maknanya semasa wudhu'nya tidak sah.apakah wajib mengqada'kan solat jikalau seseorng itu baru tau tentang hal ini?dan adakah celak mata seperti celak AVON jikalau tidak dibersih dgn sempurna semasa bwudhu',maknanya tidak sah wudhu'nya?

  • July 19, 2010 at 12:08 pm
    Permalink

    salam ustaz,
    apa hukum isteri pakai make up di luar rumah termasuk eye shadow, eye bro . terima kasih ustaz

  • August 9, 2010 at 8:32 am
    Permalink

    salam
    pemakaian celak akan menampakkan mata pemakainya lebih galak dan cantik. tidakkah ia dikira bertabaruj bagi perempuan jika ia menarik perhatian orang lain?
    jzzk

  • August 9, 2010 at 8:36 am
    Permalink

     

    salam
    pemakaian celak akan menampakkan mata pemakainya lebih galak dan cantik. tidakkah ia dikira bertabaruj bagi perempuan jika ia menarik perhatian orang lain?
    jzzk

  • July 23, 2011 at 8:27 pm
    Permalink

    maaf… tp celak adalah haram utk perempuan …….

  • August 3, 2011 at 9:33 am
    Permalink

    ya Allah, apakah kalian tidak membaca penerangan di atas ini? janganlah anda mengharamkan apa yang dihalalkan dan menghalalkan apa yang diharamakan,ianya boleh membawa kepada syirik, dan yang demikian itu sudah menjadi rahmat Allah kepada kalian, mengapa harus dipersoalkan lagi?
    "dan sesungguhnya Allah hanya inginkan kesenangan bagimu dan bukanlah dia menginginkan bagimu kesusahan" – S.Al-baqarah
    dan sesungguhnya segala sesuatu adalah dgn niat, dan Allah maha mengetahui dan menilai hamba-hambanya.

  • November 23, 2011 at 9:18 am
    Permalink

    slm ustaz…sy ingn bertanya..bibir sy agak kering dan sy memakai pelembab yg warna tidak terang namun masih ada warna sdkt pink….adakah boleh ustaz..tp bukan gincu..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *