Rasuah Untuk Menolak Kezaliman?

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء والمرسلين وعلي آله وأصحابه ومنتبعهم
بإحسان إلي يوم الدين. أما بعد:                                                                      .

Permasalahan rasuah merupakan perkara yang sudah dimaklumi oleh masyarakat awam tentang keharamannya. Ia tidak perlu kepada perbahasan panjang bagi membuktikan keharamannya di sisi Islam. Bahkan dengan fitrah yang sejahtera sudah cukup untuk mengetahui bahawa perbuatan ini adalah perbuatan yang buruk dan wajar diharamkan oleh agama. Di sudut Islam pula ia amat jelas keharamannya berdasar hadis nabi saw:

لعن رسول الله صلي الله عليه وسلم الراشي والمرتشي

( رواهالترمذي- حسنصحيح )

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat pemberi dan penerima rasuah. (riwayat Tirmizi)

Namun tumpuan penulisan ini adalah untuk mengetahui adakah perbuatan rasuah ditegah dan dikira haram dalam semua keadaan. Sebagai contoh adakah haram jika seorang yang dizalimi memberi pemberian tertentu untuk menyelamatkan dirinya daripada kezaliman tersebut. Atau seorang yang memberi bantuan kewangan kepada rakyat Palestin di sempadan Rafah dan Gaza, tiba-tiba pengawal sempadan Mesir melihat perbuatan tersebut lalu ditangkapnya orang berkenaan. Tuduhan yang dikenakan adalah melakukan kesalahan menyeludup wang haram.

Adakah dibenarkan orang tersebut memberi rasuah kepada pengawal sempadan agar ia dilepaskan? Jika tidak ia akan merengkuk di dalam penjara Mesir untuk tempoh yang tidak diketahui masanya.

Bagi menjawab persoalan ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca mengenai sebuah buku yang saya baca yang telah membicarakan perkara sebegini. Buku tersebut ialah buku karangan Muhamad Ahmad Ar-Rasyid yang bertajuk: Asas-Asas Berijtihad dan Memberi Fatwa dalam Fiqh Dakwah.

Muhamad Ahmad Ar-Rasyid telah membicarakan perkara ini di bawah tajuk: Beberapa contoh daripada fiqh klasik dalam merai maslahah dan perkara-perkara dharuri. Di bawah tajuk ini beliau telah menyebut lima belas perkara daripada fiqh klasik contoh-contoh perbahasan ulama terdahulu dalam merai maslahah dan perkara-perkara dharuri. Beliau telah membincang permasalahan ini dalam contoh yang ketujuh di bawah tajuk: Harus memberi rasuah untuk mendapatkan hak, menolak kezaliman dan menyelamatkan diri dari tawanan. Beliau telah menghuraikan tajuk di atas seperti huraian berikut:

Permasalahan ini telah lama diperkatakan oleh ulama terdahulu. Antaranya Imam al-Sarakhsi ketika mensyarah fiqh Muhamad bin al-Hasan as-Syaibani, beliau berkata:

“Tidak mengapa seorang tawanan muslim memberi rasuah kepada sebahagian musuh Islam supaya mereka melepaskannya dan dia dapat pulang ke negaranya. Sesungguhnya dijadikan hartanya itu bagi menjaga dirinya, dan demikianlah dia diperintahkan. Rasulullah saw telah bersabda kepada sebahagian sahabat: “Jadikanlah harta kamu dapat menjaga diri kamu, dan diri kamu menjaga agama kamu.

Ini berdasar hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa dia telah dikurung di Habsyah dan beliau telah memberi rasuah kepada mereka dua dinar sehingga mereka membebaskannya.

Maka kita memahaminya ia bukanlah termasuk dalam harta yang diharamkan bagi pihak pemberi tetapi diharamkan bagi pihak penerima. Ianya tidak termasuk dalam maksud sabda Rasulullah saw:

الراشي والمرتشي في النار

Maksudnya: Pemberi dan penerima rasuah (dimasukkan) dalam neraka.

Maksud hadis di atas ialah merujuk kepada pemberi apabila dia bermaksud kezaliman dengan pemberiannya atau berlakunya kemudharatan terhadap orang lain. Adapun jika dia bermaksud untuk menolak kezaliman terhadap dirinya, atau mendapatkan manfaat untuk dirinya tanpa melakukan kemudharatan kepada orang lain, maka ianya tidak mengapa.

Telah sampai kepada kami daripada Abu As-Sya’sa Jabir bin Zaid bahawa dia berkata:

Kami tidak mendapati di zaman Hajjaj sesuatu yang lebih baik daripada rasuah. Keadaan yang diceritakan itu sebagai dalil bahawa tidak berdosa kepada pemberi dalam pemberiannya, namun ia adalah berdosa kepada yang menerimanya. (Syarah As-Sairul al-Kabir 5/2034).

Begitu juga penerangan yang diberikan oleh Imam Az-Zarkasyi bahawa para fuqaha zaman pertengahan berpendapat seperti di atas.

Beliau berkata:
“Rasuah: Mengambil harta dengan menjadikan harta tersebut perlakuan kepada kebatilan atau menjadikan harta tersebut perlakuan kepada menolak kebenaran. Adapun jika dia dizalimi lalu dia membayarnya kepada yang berkenaan supaya dia dibebaskan atau untuk memelihara dirinya, maka ia bukanlah rasuah yang diharamkan bahkan pemberian yang diharuskan. Demikianlah hikayat dari al-Qadi Husain dalam bab riba dalam ta’liqnya tentang al-Qaffal. Ia juga seperti yang dinukilkan oleh Imam An-Nawawi dalam fatawanya.
(Muhamad Ahmad Ar-Rasyid, Asas-Asas Berijtihad dan Memberi Fatwa dalam Fiqh Dakwah)

Berdasarkan huraian di atas dapatlah difahami bahawa keharaman memberi rasuah mempunyai pengecualian dalam beberapa keadaan. Antaranya untuk menolak kezaliman daripada berlaku ke atas diri seseorang yang tidak bersalah. Jadi, merujuk kepada permulaan kisah di atas, adalah harus bagi seseorang yang memberi bantuan kepada rakyat Palestin apabila ditangkap di sempadan Rafah, beliau memberi rasuah kepada pengawal sempadan Mesir bagi membebaskan dirinya daripada merengkuk dalam penjara.

Sekian

والله أعلم

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

7 thoughts on “Rasuah Untuk Menolak Kezaliman?

  • April 5, 2010 at 9:00 am
    Permalink

    Salam. Jazakallah ustaz, sangat jelas. Sekadar bertanya, disebabkan trend di Malaysia yang banyak kes rasuah, dan sekiranya untuk menyelamatkan diri, mungkin ada yang akan mengambil kesempatan atas fatwa ni. Bagaimana pula dengan seorang pekerja yang sengaja memecut laju di jalan raya melebihi speed limit atas alasan kerja dan kemudian ditahan dan beri rasuah untuk melepaskan dirinya? atau apa-apa kes yang sewaktu dengan ini. Mintak sedikit pencerahan. Jazakallah khair. Wassalam

  • April 5, 2010 at 4:35 pm
    Permalink

    Terima kasih kpd abu aseeyah di atas respon yg diberi. Muhamad Ahmad Ar-Rasyid telah menulis persoalan yang anda timbulkan dalam kitab yang sama. Insyaallah nanti saya akan respon berdasar tulisan beliau.

    wassalam
    s/u MUIS

  • April 9, 2010 at 1:16 am
    Permalink

    menarik.. memberi jawapan kepada isu2 baksis di Mesir.. hehe

  • April 14, 2010 at 1:09 pm
    Permalink

    salam;
    kpd abu aseeyah;
    artikel saya yg bertajuk "Hukum Mematuhi Peraturan-Peraturan Kerajaan yang Fasiq" adalah dirujuk.
    Jadi, orang yang melakukan kesalahan jalanraya seperti yg anda sebut di atas sebenarnya telah melakukan kesalahan dan wajar dihukum. Tindakan menghukum orang tersebut adalah  sahih berdasar pandangan yang diberi oleh Syeikh Ahmad Ar-Rasyid. Oleh itu jika orang tersebut cuba membayar sejumlah wang bagi mengelak dirinya dari dihukum, ia merupakan tindakan yang salah. Perbuatan orang tersebut TIDAK termasuk dalam kategori orang yang dibenarkan memberi rasuah bertujuan menolak kezaliman terhadap dirinya.
    Sekian    والله أعلم بالصواب
    Setiausaha MUIS

  • April 19, 2010 at 12:51 pm
    Permalink

    salam.
    saya ingin tahu apakah hukumnya memberi wang kepada pihak ketiga sebagai upah ke atas khidmatnya melobi bagi pihak kita  untuk sesuatu projek tetapi tidak semestinya kita mendapat projek tersebut.    

  • April 22, 2010 at 11:42 pm
    Permalink

    w'salam;
    Biasanya nak dapat projek perlu mengemukakan profile company, proposal, buat presentation dll. Semua perkara tersebut memerlukan kemahiran bagi meyakinkan pihak pemberi projek bahawa kita mempunyai kelayakan untuk dianugerahkan projek tersebut. Semua usaha tersebut sebenarnya termasuk dalam maksud melobi. Jika itu yang saudara maksudkan dengan khidmat melobi, maka pemberian wang sebagai upah melobi adalah diharuskan. 
    sekian والله أعلم
    s/u muis

  • Pingback: Naqib & Family

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *