Pembelian melalui pinjaman bank

Assalamualaikum ustaz,
Baru-baru ini saya ada membeli sebuah kenderaan atas nama kakak saya. Dia yang menguruskan segalanya dari A to Z, sebab agen tersebut adalah kawannya.

Setahu saya, jika membeli kereta keluaran X ni, pinjaman kewangannya adalah melalui bank islam. Masalahnya sekarang, kakak saya telah membuat pinjaman kewangan dari bank lain yang mengamalkan riba’ disebabkan kesukaran mendapat kelulusan pinjaman dari bank islam(itu alasan yang diberi oleh kakak saya).

Kesimpulannya, kereta yang saya guna sekarang adalah atas pinjaman wang berunsur riba’. Hidup saya tak tenang sekarang kerana benar-benar takut akan murka allah. Jadi saya ingin mendapat kepastian, adakah jatuh hukum dosa riba’ tersebut ke atas saya? Ada tak jalan untuk saya keluar dari beban riba’ ini? wassalam..

Jawapan:

وعليكم السَّلام ورحمة الله وبركاته،

الحمدلله والصلاة والسلام على رسول الله وبعد:

Terlebih dahulu saya merakamkan pujian di atas keluhan rasa yang diluahkan dan kebimbangan yang anda alami iaitu bimbang terhadap kemukaaan Allah SWT dek kerana melanggari batasanNya. Itu merupakan petanda iman masih hidup dan kemanisan iman masih wujud. Sabda nabi saw:

Maksudnya: Tiga golongan yang ada padanya kemanisan iman, bahawa Allah dan RasulNya lebih dicintai mengatasi segala-galanya, mengasihi seseorang sepertimana ia mengasihi dirinya dan ia benci kepada kemaksiatan (kemurkaan Allah) sepertimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka setelahmana ia diselamatkan.

Saudara yang dikasihi;

Pada masa kini urus niaga, pinjaman dan pelaburan secara Islam bukan hanya beroperasi di Bank Islam sahaja. Walaupun secara umumnya urus niaga, pinjaman dan pelaburan di Bank Islam lebih menjamin kehalalan dan keharusannya. Walaupun begitu, keadaan tersebut tidak bererti berurusan dengan selain Bank Islam kesemuanya terikat dengan muamalat secara ribawi. Kebiasaannya, apabila anda membuat pinjaman atau urus niaga dengan bank-bank berkenaan, anda akan diberi pilihan samada memilih secara konvensional atau secara Islam. Malah mutakhir ini, pihak bank yang tidak Islamik lebih cenderung menawarkan produk berasaskan sistem Islam yang dikatakan lebih menjamin dan menguntungkan. Kesimpulannya, muamalat secara ribawi atau tidak bergantung kepada akad yang dilakukan semasa urusan atau pinjaman dilakukan. Langkah awal, pastikan apakah bentuk pinjaman yang dipilih oleh kakak anda ketika membuat urusan. Sekiranya beliau memilih secara Islam hukumnya harus tetapi jika beliau memilih secara konvensional hukumnya haram dan wajib dijauhi. Berkaitan siapa yang melakukan pinjaman tidak berbangkit kerana hasrat dan tujuan pinjaman berkenaan adalah jelas iaitu untuk membeli kereta berkenaan.

والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Ust Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *