Bayaran cagaran tanah

Assalamualaikum ustaz,

Sepuluh tahun lepas, ibu saya mencagarkan sebidang tanah untuk pinjaman duit sebanyak RM 2000.
Sekiranya saya ingin membayar semula wang tersebut sekarang berapakah jumlah yang perlu dibayar?
Sekiranya tanah tersebut ingin dijual,yang mana masih lagi di atas nama ibu saya,bagaimanakah cara pembahagian duit hasil jualan tersebut?

Syukran jazilan.

Jawapan:

وعليكم السَّلام ورحمة الله وبركاته

Bayaran yang perlu dikembalikan adalah sebanyak RM 2000 mengikut  jumlah wang yang dipinjam sekalipun tempoh 10 tahun telah berlalu. Jumlah wang yang dikembalikan mengikut persetujuan semasa cagaran dibuat. Penerima cagaran perlu akur kepada persetujuan yang telah dibuat berdasarkan sabda Nabi saw;

المسلمون عند شروطهم

Maksudnya: Orang Islam terikat kepada syarat-syarat mereka (yang dipersetujui)

Sekiranya harta tersebut ingin dijual dan si ibu telah meninggal dunia maka hasil jualan merupakan harta pusaka   dan perlu diagihkan mengikut sistem faraidh. Oleh kerana pihak tuan tidak  menyatakan  waris-waris  yang akan mewarisi harta tersebut, maka  saya tidak dapat memberi jawapan secara terperinci kerana hak seseorang waris akan berubah-ubah mengikut jumlah, jantina  serta perkaitan dengan si mati. Oleh itu, bagi menentukan jumlah  dan hak setiap  waris,  perkara ini boleh dirujuk kepada pejabat agama di mana  tuan berada.

Tetapi sekiranya si ibu masih hidup, maka semua hasil jualan tersebut menjadi milik si ibu. Sekiranya pihak  tuan yang menolong menjelaskan wang pinjam tersebut, tuan berhak mengambilnya kembali jumlah wang berkenaan dan baki hasil jualan tetap  menjadi milik si ibu.

والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *