Hukum mematuhi peraturan-peraturan kerajaan yang fasiq

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء والمرسلين
وعلي آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين أما بعد

Sesungguhnya Islam menyeru umatnya agar menjadi contoh terbaik bagi melayakkan mereka menjadi qudwah kepada umat lain. Perkara ini telah berlaku kepada jenerasi pertama umat ini.  Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran:

وَكَذَ‌ٰلِكَ جَعَلْنَا كُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ

Maksudnya: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhamad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). al-Baqarah:143

Jelas antara peranan umat Islam ialah menerangkan kepada umat manusia mengenai perkara-perkara benar dan perkara-perkara batil dalam kehidupan. Dalam perkataan lain umat Islam perlu menjadi contoh kepada umat lain. Jadi umat Islam wajar mengamalkan terlebih dahulu sesuatu kebenaran dan meninggalkan sesuatu kebatilan sebelum menerangkan perkara-perkara tersebut kepada umat lain. Jika tidak, umat lain akan menolak mentah-mentah penerangan daripada umat Islam yang bercakap tak serupa bikin.

Pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang tidak mengikut peraturan-peraturan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Bagaimana umat Islam boleh menjadi umat yang terbaik jika peraturan-peraturan yang dibuat oleh pihak kerajaan tidak dipatuhi. Ia memberi imej yang buruk mengenai sikap umat Islam yang suka melanggar peraturan dan undang-undang. Alasan yang diberi ialah kerajaan yang memerintah adalah dari golongan yang zalim atau  kerajaan yang ada adalah kerajaan yang fasiq dan sebagainya. Maka segala peraturan yang lahir dari kerajaan yang fasiq tidak wajib diikuti. Benarkah alasan tersebut?

Bagi menjawab persoalan ini, saya ingin berkongsi pandangan Syeikh Muhamad Ahmad Ar-Rasyid mengenai perkara di atas. Syeikh Ar-Rasyid telah memberikan pandangan beliau mengenai perkara di atas di dalam bukunya yang bertajuk “Asas-asas berfatwa dan berijtihad dalam fiqh dakwah”. Beliau menulis perkara ini di bawah tajuk;
“Beberapa contoh daripada fiqh klasik dalam merai maslahah dan perkara-perkara dharuri.”
Di bawah tajuk ini beliau telah menyebut lima belas perkara daripada fiqh klasik contoh-contoh perbahasan ulama terdahulu dalam merai maslahah dan perkara-perkara dharuri. Beliau telah membincang permasalahan di atas dalam contoh yang kesembilan di bawah tajuk: Mematuhi apa yang menepati syarak atau maslahah dari tindakan-tindakan pemimpin yang fasiq. Beliau memulakan perbincangan dengan menukilkan pandangan ulama terkenal mazhab Shafi’e, I’z bin Salam.

I’z bin Salam telah berkata:

Pemerintahan orang fasiq adalah mafsadah (kerosakan) kerana dominannya perkara khianat dalam pemerintahannya. Akan tetapi kami membenarkannya sebagai hak pemimpin atau pemerintah yang fasiq, jika kerana menolaknya akan menyebabkan luputnya kepentingan dan kebajikan orang ramai. Maka kami tidak membatalkan tindakannya dalam perkara maslahah (kebajikan) walaupun wujud tindakannya yang batil. Adalah tidak wajar menolak perkara yang hak kerana wujud perkara batil pada tempat lain. Maka aku berpandangan: Kita membenarkan (mengira sebagai sahih) tindakan pemimpin tersebut dalam urusan yang menepati kebenaran walaupun wujud pertikaian pemerintahan mereka. Semua ini adalah demi menjaga kepentingan rakyat…(Qawaid al-Ahkam dengan adaptasi).

Berdasar pandangan I’z bin Salam di atas, maka Syeikh Muhamad Ahmad Ar-Rasyid berkata:

“Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab dai’e mematuhi peraturan-peraturan umum kerajaan di negara-negara sekular atau negara-negara kafir yang mereka diami. Berdasar alasan ini, maka peraturan-peraturan jalan raya, sistem pengurusan pasar, pengurusan sitem kesihatan, sistem pengajian, penjagaan alam sekitar, pembinaan, pertanian, pengilangan dan sebagainya wajib diikuti.

Perbezaan politik dengan pemerintah yang zalim tidak menjadi halangan untuk mematuhi pandangannya dalam perkara-perkara di atas yang berkait dengan penjagaan kepentingan orang ramai. Syeikh Ahmad Muhamad Syakir menyokong pandangan ini ketika menghurai kitab hadis Musnad Imam Ahmad. Syeikh Ar-Rasyid telah membawa pandangan ulama lain bagi menguatkan lagi pandangan di atas. Untuk pembacaan lanjut, sila rujuk buku beliau dalam tajuk yang dinyatakan di atas.

Dari huraian ringkas di atas, maka jelaslah bagi para dai’e bahawa mereka perlu mematuhi  peraturan-peraturan yang memberi kebaikan kepada rakyat walaupun ianya datang dari pemerintah yang  zalim atau fasiq. Sebagai contoh, peraturan jalan raya dikuatkuasakan adalah untuk menjaga keselamatan orang ramai. Para dai’e perlu mematuhinya. Jika dia melanggar undang-undang tersebut lalu ditangkap dan dia cuba melepaskan diri dengan cara memberi sejumlah wang, maka pemberian wang tersebut adalah pemberian yang dilarang.

Sekian  والله أعلم

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

2 thoughts on “Hukum mematuhi peraturan-peraturan kerajaan yang fasiq

  • June 1, 2010 at 8:48 pm
    Permalink

    Assalamualaikum Ustaz,
    bagaimanakah dengan pemerintah yang zalim serta memperlekehkan hukum Islam seperti yang pernah berlaku di Singapore mengenai isu bertudung di sekolah bagi pelajar perempuan Islam..
    Dan Kalo xsilap saya ada satu hadith yang memberi penyelesaian untuk menghindar kezaliman atau menentang kezaliman…
    Dan mengenai isu penggunaan nama Allah dalam ajaran selain dari agama Islam yang mempunyai agenda untuk memesong agama Islam, seperti berlaku di Indonesia. Sehingga sukar untuk mencari buku ilmu agama Islam yang sohih kerana bercampuraduk yang sohih dan yang palsu, justeru itu timbul keraguan

  • September 4, 2010 at 3:08 pm
    Permalink

    Assalamualaikum ustaz,
    Saya sebenarnya bersetuju dengan pandangan Ustaz bahawa menjadi kewajipan kepada kita untuk mematuhi peraturan dan undang-undang sesebuah kerajaan sekalipun kerajaan itu fasiq, zalim atau pun kafir. Contohnya jika kita ke Singapura, kita wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh mereka berhubung dengan peraturan jalan raya, peraturan imigresyen dan sebagainya. Ini adalah kerana bagi mengelakkan berlakunya huru-hara yang timbul apabila kita gagal mematuhinya.
    Namun satu perkara, kepatuhan ini bukanlah kepatuhan mutlak. Bila mana sesuatu undang-undang atau peraturan itu bercanggah dengan Al-Quran atau Hadis secara mutlak, maka kepatuhan itu gugur dengan sendirinya (dalam perkara yang bercanggah itu). Misalnya, apabila ada peraturan yang menghalang wanita menutup aurat (seperti bertudung), atau ada peraturan yang melarang kaum muslim bersolat (seperti di sesetengah industri).. maka kepatuhan itu dengan sendirinya gugur.
    Ketika Saidina Omar Al-Khattab diangkat menjadi Khalifah (Saidina Omar sebelum Islam terkenal dengan sifat jahiliahnya, amat kuat memusuhi Islam malah pernah membunuh dan menanam anak perempuannya sendiri), seorang lelaki muslim menjawab.. "Wahai Omar, kami akan ikut kamu selagi kamu mengikut Allah dan RasulNya, tetapi jika kamu lari dari jalan Islam…ini akan membetulkan kamu" ujarnya sambil mengangkat sebilah pedang. Saidina Omar diam.
    Soal sejauhmana penentangan/ penolakan seseorang terhadap peraturan yang bercanggah dengan Islam itu akan bergantung kepada kekuatan iman dan kesan mudharat ke atasnya. Samada seseoang itu boleh menolak dengan kekuasaan tangannya, atau menolak dengan lisannya, atau yang paling lemah menolak dengan hatinya sahaja.
    Saya kira apa yang ingin diutarakan oleh saudara Rahmat Raup Abd Ghani adalah kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh sesebuah Kerajaan yang fasiq/zalim/kafir itu bukanlah satu kepatuhan yang mutlak tanpa had. Selagi mana ianya tidak bercanggah dengan Islam, kita wajib mematuhinya.
    Saya kira Ustaz perlu menambahkan memperjelaskan sedikit had-had kepatuhan tersebut, dan tidak hanya terhenti begitu sahaja.
    Wallahu'alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *