Kutip derma waktu khutbah

Assalamualaikum ustaz,

Apa hukum mengutip derma semasa khatib berkhutbah pada solat Jumaat. Berniaga pada masa tersebut dikira haram, bagaimana pula derma yg diberikan kepada orang yg ditugaskan berjalan melalui saf utk kutip derma. Orang yg kutip derma itu juga tidak mendengar khutbah kerana tumpuan adalah kepada beg yg dibawanya.

Jawapan:

Tidak syak lagi, hukum mengutip derma semasa khutbah adalah termasuk dalam perkara lagha dan makruh yang semestinya dijauhi kerana Rasulullah (s.a.w) bersabda:

ومن مس الحصا فقد لغا. (رواه مسلم)

Maksudnya: “Sesiapa menyentuh batu maka dia telah melakukan sesuatu yang sia-sia.”  (Riwayat Muslim)

Mengenai hadis di atas, Imam al-Nawawi berkata: “Daripada hadis di atas difahami bahawa memegang batu dan juga perbuatan sia-sia yang lain adalah ditegah semasa khutbah.”

Al-Buhuti di dalam Kashshaf al-Qina’ pula berkata: “Makruh melakukan perbuatan sia-sia ketika khutbah. Ini adalah kerana ia boleh menghalang kekhusyukan. Begitu juga meminum air semasa khutbah jika ia mengeluarkan bunyi kerana ia adalah perbuatan yang menyerupai perbuatan bermain-main dengan anak-anak batu, juga kerana ia boleh menghilangkan khusyuk. Tetapi tidak makruh jika seseorang meminum air kerana tersangat dahaga.”

Manakala mengutip derma lebih-lebih lagi dianggap sebagai perbuatan yang lagha, ditambah lagi dengan melangkah tengkuk para ahli jemaah yang boleh menyebabkan gangguan kepada mereka, sedangkan ia dilarang sebagaimana terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ibn Majah dan lain-lain:

أن رجلاً جاء يتخطى رقاب الناس يوم الجمعة والنبي صلى الله عليه وسلم أثناء الخطبة فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم: اجلس فقد آذيت.

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki melangkah tengkuk orang ramai pada hari Jumaat sedang Nabi (s.a.w) ketika itu sedang berkhutbah, lalu baginda (s.a.w) berkata: “Wahai si fulan! Duduklah, engkau telah mengganggu orang.”

Oleh itu adalah lebih baik sekiranya kutipan derma itu dilakukan sebelum khutbah atau selepas solat jumaat agar tumpuan sepenuhnya diberikan kepada khutbah yang disampaikan oleh khatib. 
 

Wallahu a’lam.

Disediakan oleh:
Anwar Fakhri Omar
Sekretariat MUIS

One thought on “Kutip derma waktu khutbah

  • April 30, 2010 at 4:22 pm
    Permalink

    Terima kasih Ustaz atas jawapan di atas. Perbuatan mengutip derma semasa khatib berkhutbah bukan sahaja berlaku setiap Jumaat di Masjid kami di Bukit Indah, Selangor, tetapi juga berlaku dibanyak masjid2 di Malaysia ini. Saya amat mengharapkan sesuatu dapat dilakukan bagi memperbetulkan perkara lagha ini. Terima kasih sekali lagi atas jawapan di atas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *