Beberapa isu berkaitan hukum membaca qunut dalam solat subuh

 

الحمدلله رب العالمين و الصلاة و السلام علي أشرف الأنبياء و المرسلين

 

 

وعلي آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين ، أما بعد :

Insyaallah dalam tulisan kali ini saya ingin menyentuh satu persoalan yang sering ditanya kepada pihak MUIS. Persoalan tersebut ialah permasalahan membaca qunut ketika solat subuh. Moga artikel ringkas ini dapat menjadi  panduan umum kepada pembaca berhubung masalah ini. Tulisan ini adalah dalam bentuk panduan ringkas. Jika pembaca ingin mengetahui secara lebih mendalam mengenai tajuk yang dibincangkan, saya mencadangkan para  pembaca merujuk terus kepada kitab-kitab fiqh utama bagi setiap mazhab  dan juga kitab usul fiqh.

Jadi sebagai panduan untuk memahami permasalahan dan hukum membaca qunut dalam solat subuh, pembaca perlu memahami perkara-perkara di bawah:

1) Masalah ini adalah masalah khilaf. Iaitu masalah yang berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama.

2) Perbezaan pendapat dalam masalah ini berlaku di kalangan ulama-ulama besar umat Islam. Perbezaan pendapat dalam masalah ini berlaku di antara  Imam Shafie' sendiri dan Imam Abu Hanifah dan lain-lain.

3) Perbezaan berlaku berpunca daripada perbezaan metodologi dalam penerimaan hadis sebagai sumber hukum. Jika para sahabat nabi yang sama-sama mendengar  hadis di hadapan nabi saw boleh berbeza fahaman dalam kes solat Asar di Bani Quraizoh seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhori, maka berlaku perbezaan pendapat di kalangan imam-imam mazhab lebih mudah untuk difahami. Apalagi wujud lebih daripada satu hadis dalam membicarakan masalah ini.

4) Hukum membaca qunut dalam solat subuh di kalangan ulama mazhab adalah seperti berikut:

 

Pandangan Pertama: 

Sunat membaca qunut dalam solat subuh. 

Ini adalah pandangan mazhab Shafie' dan Maliki.

 

Pandangan Kedua:

Tidak harus membaca qunut dalam solat subuh. 

Ini adalah pandangan mazhab Hanafi dan Hanbali. 

 

5) Hujah setiap pandangan;

Hujah Pandangan Pertama:

Untuk meringkaskan, saya hanya membawa hujah yang digunakan oleh mazhab Shafi'e. Mereka berhujah dengan hadis berikut;

عن أنس رضي الله عنه أنه قال: مازال رسول الله يقنت في الفجر حتي فارق الدنيا

(رواه الإمام أحمد وعبدالرزاق والدارقطني وإسحاق بن راهويه )

(وكان عمر يقنت في الصبح بمحضر من الصحابة وغيرهم (الفقه الإسلامي وأدلته

 

Maksudnya: Daripada Anas r.a. bahawa dia berkata: Rasulullah berterusan membaca qunut dalam solat subuh sehingga baginda meninggal dunia.

(Riwayat Imam Ahmad, Abdul Razak, Daruqutni dan Ishaq)

Dan adalah Saidina Umar r.a membaca qunut  dalam solat subuh dengan dihadiri oleh para sahabat dan lain-lain. (Fiqh Islami)

 

Ibnu Solah berkata: Telah menghukum sebagai sahih hadis di atas oleh bukan seorang daripada 'al-Huffaz'. Antara mereka ialah al-Hakim, al-Baihaqi dan al-Balkhi. Al-Baihaqi berkata: Beramal dengan kehendak hadis di atas oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang empat.

 

Hujah Pandangan Kedua:

Antara hujah yang digunakan oleh mazhab kedua ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

(أن النبي صلي الله عليه وسلم قنت شهرا يدعو علي حي من أحياء العرب ثم تركه (رواه مسلم

Maksudnya: Bahawa nabi saw telah membaca qunut selama sebulan dengan berdoa ke atas penduduk kampung daripada perkampungan Arab dan kemudian meninggalkannya (bacaan qunut). (riwayat Muslim.)

 

Dan hadis yang diriwayatkan daripada Abi Malik al-Asyja'ie bahawa dia berkata:

"Bapaku telah solat di belakang Rasulullah saw ketika berumur enam belas tahun, di belakang Abu Bakar, Umar dan Uthman". Maka aku bertanya: "Adakah mereka membaca qunut?". Jawabnya: "Tidak".

 

6) Hadis yang dibawa oleh mazhab Shafi'e berlaku زيادة (penambahan) pada hadis yang di bawa oleh mazhab Hanafi dan Hanbali. Di sini berlaku perbezaan usul istinbat di kalangan ulama mazhab. Kaedah usul istinbat yang diperselisihkan di sini ialah; adakah diterima زيادة الثقة sesuatu hadis. Mazhab Shafi'e menerimanya sedangkan Hanafi tidak menerima. 

Maka implikasi perbezaan penerimaan kaedah di atas menyebabkan hadis yang  diterima oleh Shafi'e ditolak oleh mazhab Hanafi. Dengan ini berlakulah perbezaan hukum membaca qunut dalam solat subuh antara mazhab Shafi'e dan Hanafi. Begitu jugalah dengan kes-kes hukum-hakam lain yang melibatkan زيادة الثقة dalam sesuatu hadis.

 

7) Dalam tulisan ini saya hanya membawa hujah ringkas ulama bagi memahamkan pembaca mengenai permasalahan ini dan bagaimana perbezaan boleh berlaku. Tulisan ini tidak membawa seluruh hujah ulama mengenai masalah ini.

8) Bagi orang awam, hukum membaca qunut dalam solat subuh adalah mengikut  mazhab yang menjadi pegangannya. Bagi mereka yang mempelajari fiqh perbandingan, adalah harus beramal dengan pandangan yang telah ditarjih (dipilih sebagai pandangan yang lebih kuat) jika yang ditarjih itu bukan pandangan mazhabnya. Di sini kita perlu menerima satu lagi hakikat bahawa dalam melakukan tarjih, hasil tarjih boleh berbeza antara seorang ulama dengan ulama yang lain.

9) Bagaimanakah kedudukan bacaan qunut dalam solat subuh secara berjamaah berimamkan imam mazhab lain yang berbeza pandangan dengan mazhab makmum? 

Sebagai contoh, mazhab makmum menganggap sunat membaca qunut sedangkan mazhab imam menganggapnya tidak sunat. Bagi menyelesai masalah ini, kita perlu beramal dengan kaedah yang telah di susun oleh para ulama. Kaedahnya berbunyi seperti berikut:

العبرة بمذهب الإمام وليس بمذهب المأموم

Maksudnya: Yang diambil kira (yang perlu diikuti) adalah mazhab imam bukan mazhab makmum.

 

Oleh itu setiap makmum tanpa mengira mazhabnya perlu mengikut mazhab orang yang menjadi imam dalam solat subuh tersebut. InsyaAllah, semua solat mereka (makmum dan imam) adalah sahih.

10) Semoga dengan sedikit penerangan di atas dapat menjadi panduan kepada pembaca walau di mana sahaja anda berada. Bagi penuntut ilmu, kitab utama setiap mazhab dan perbahasan mengenai مصادر الشرع  dalam ilmu usul fiqh perlu dirujuk.

 

Sekian  والله أعلم

 

Rujukan:

1) فقه السنة للسيد السابق
2) الفقه الميسر لأحمد عيسي عاشور
3)  بداية المجتهد ونهاية المقتصد لابن الرشد
4) الفقه الإسلامي وأدلته للدكتور وهبة الزحيلي
5) Pelbagai

 

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *