Suami menduakan dengan teman-teman lelaki

Salam Ustaz,

Suami tidak menduakan saya dengan perempuan lain mahupun laki2 lain. Tetapi menduakan saya dengan teman2 lelakinya. Balik kerja (suami bekerja shif) melepak, selepas makan malam bila saya inginkan masa berdua-duaan setelah anak2 tidur dia keluar melepak. Lebih senang melepak daripada menghabiskan masa bersama saya dan anak2. Selama perkahwinan menjangkau 6 tahun, kami sering bertengkar mengenai perkara yang sama iaitu aktiviti melepaknya. Saya bekerja dan teramat jarang meminta apa2 dari suami dan tidak pernah menolak walau sekali permintaan suami untuk melayan nafkah batinnya. Namun masih kepada kawan2 masa yang dihabiskannya. Di saat saya mengirimkan emel ini kepada ustaz, telah 4 hari kami tidak bertegur sapa akibat saya bertanyakan hal yang sama. Saya bermuhasabah tentang diri sendiri dan cuba bersabar dengan semua yang terjadi.

Jawapan:


Kewajipan menggauli isteri

Sebagaimana Allah swt mewajibkan isteri supaya taat kepada suami, begitu juga Allah swt mewajibkan suami untuk menggauli isterinya dengan baik. Firman Allah swt dalam surah al-Nisa’ ayat 12:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu (para suami) menggauli mereka (para isteri) dengan kebaikan (makruf).”

Hukum persetubuhan

Persetubuhan atau biasa disebut sebagai nafkah batin oleh masyarakat kita merupakan antara tanggungjawab paling besar yang mesti dilaksanakan oleh suami terhadap isterinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah berkata di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra: “Wajib suami menyetubuhi isterinya secara makruf (patut dari sudut tempoh). Bahkan kewajipan ini adalah antara kewajipan utama, lebih utama daripada kewajipan memberi makan dan minum. Namun para ulama berselisih pendapat tentang bilangan persetubuhan yang wajib dilakukan ini. Ada yang mengatakan wajib dilakukan sekali setiap 4 bulan. Ada pula yang berpendapat ia wajib menurut keperluan isteri dan kemampuan suami, sebagaimana suami wajib memberi makan kepada isteri menurut keperluan isteri dan kemampuan suami, dan inilah pendapat yang lebih sahih.”

Jika suami enggan melaksanakan tanggungjawab ini, tidak mengapa isteri menuntut perceraian daripada suaminya, kerana walaupun terdapat tegahan terhadap isteri untuk meminta perceraian daripada suami, tegahan itu hanyalah jika tuntutan perceraian itu tidak mempunyai apa-apa alasan yang dibenarkan syarak.

Sabda Rasulullah saw (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud):

أيما امرأة سألت زوجها الطلاق من غير ما بأس فحرام عليها رائحة الجنة

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang meminta talak tanpa sebarang alasan, maka haram ke atasnya bauan syurga.”

Tidak bertegur sapa

Perbuatan seseorang muslim yang tidak bertegur sapa dengan saudara semuslimnya yang lain lebih daripada 3 hari, tanpa apa-apa sebab yang dibenarkan oleh syarak adalah haram. Ini sebagaimana difahami daripada sebuah hadis Rasulullah saw yang bersabda:

لا يحل لمسلم أن يهجر أخاه فوق ثلاث ليالٍ، يلتقيان فيعرض هذا، ويعرض ‏هذا وخيرهما الذي يبدأ بالسلام

Maksudnya: “Tidak halal bagi seseorang muslim untuk meninggalkan (tidak bertegur sapa) dengan saudara semuslimnya lebih daripada tiga malam. Kedua-dua berjumpa tetapi masing-masing berpaling. Yang paling baik antara keduanya ialah yang memulakan salam.”

Ini hukumnya antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Maka begitu juga jika ia berlaku di antara suami isteri, bahkan mungkin lebih besar lagi kesalahannya kerana ia berlaku di antara dua orang insan yang sepatutnya ikatan kasih sayang di antara mereka sentiasa segar dan mekar.

Walaupun Islam tidak menegah bahkan menggalakkan seseorang untuk mementing dan melebihkan kawan daripada diri sendiri, namun seseorang yang sudah berkeluarga mempunyai tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Tanggungjawab ini sepatutnya lebih diutamakan daripada kawan-kawannya. Allah swt berfirman dalam surah al-Tahrim, ayat 6:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.”

Cadangan penyelesaian

Cubalah berbincang secara baik dengan suami dengan memberikan kefahaman yang tepat tentang tanggungjawab seorang suami terhadap isteri dan keluarganya. Puan lebih tahu tentang cara paling baik yang boleh digunakan untuk berbincang dengan suami. Jika ini tidak berjaya atau puan merasakan suami tidak boleh terima jika puan sendiri menasihatinya, cubalah minta pertolongan daripada seseorang yang disegani atau dihormati oleh suami untuk memberi nasihat kepadanya. Tetapi sebaik-baiknya janganlah suami sedar bahawa puan meminta pertolongan daripada orang berkenaan, kerana kalau tersilap langkah ini akan menyebabkan suami akan lebih marah dan mungkin mengamuk serta menuduh puan mahu menyebarkan keaibannya kepada orang lain. Ini akan menyentuh keegoannya.

Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran kepada puan untuk mengharungi kehidupan sebagai seorang isteri yang taat kepada suami. Wallahu a’lam.

Disediakan oleh:
Ustaz Anwar Fakhri Omar
Sekretariat Majlis Ulama ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *