Beramal dengan Mazhab lain

Salam,

Ana nak bertanyakan masalah dalam bermazhab. Memang ma’ruf yang kita di Malaysia berpegang dengan mazhab syafie dan dalam banyak permasalahan ibadah kita akan beri’tikad dengan pandangan syafie. Bagaimanakah dalam situasi-situasi tertentu kita boleh berpegang pada mazhab lain atau pendapat yang ‘asoh’?

Sebab kadang-kadang bila kita baca fiqh sunnah atau fiqh dan perundangan islam (wahbah zuhaili) kita akan dapati pendapat ijma’ ulama’ atau pendapat ‘asoh’ akan bertentangan dengan pendapat syafie.

Jawapan:

Perbahasan mengenai mazhab dan perkara yang berkaitan dengannya adalah perbahasan yang
panjang dikalangan ulama. Persoalan di sini ialah bagaimana jika kita mengikut atau berpegang
dengan sesuatu mazhab dan kita mendapati pandangan mazhab lain lebih kuat dalam masalah
tertentu. Adakah kita boleh mengikut pandangan tersebut yang bukan pandangan mazhab yang
kita pegang?

Sebenarnya tidak ada nas yang mewajibkan seorang muslim yang telah mengikut sesuatu mazhab
mesti mengikut seluruh permasalahan feqah dalam mazhab tersebut sahaja. Jesteru, para ulama
telah membincangkan keadaan-keadaan di mana seorang yang bermazhab tertentu  boleh
mengikut pandangan-pandangan mazhab lain. Ringkasnya keadaan-keaadan tersebut adalah seperti
berikut:

1) Apabila permasalahan tersebut telah difatwakan oleh mufti semasa. Sebagai contoh ulama semasa
mazhab Shafi’e telah berfatwa bahawa pengikut mazhab Shafi’e boleh membayar zakat fitrah
dengan nilai mata wang bagi menggantikan bayaran dengan beras. Walaupun membayar zakat fitrah
dengan nilai mata wang adalah pandangan mazhab lain tetapi pengikut mazhab Shafi’e boleh
membayar dengan nilai mata wang kerana telah difatwakan oleh ulama semasa.

2) Apabila hujah mazhab lain lebih kuat dalam perkara tersebut. Sebagai contoh pengikut mazhab
Shafie’i mengikut pandangan mazhab Maliki dan Hanbali yang mengatakan tidak batal wudhu’ apabila
kulit lelaki dan kulit wanita ajnabiyyah bersentuhan secara tidak sengaja tanpa syahwat. Mengikut
perbincangan dalam feqah perbandingan, pandangan mazhab Maliki dan Hanbali ditarjih sebagai
pandangan yang paling kuat dalam masalah ini.

3) Apabila keadaan memerlukan. Sebagai contoh seorang yang bermazhab A menghadapi masalah
dalam melakukan ibadatnya. Masalah tersebut perlu diselesaikan segera. Pada waktu tersebut tiada
ulama dari mazhabnya untuk dikemukakan pertanyaan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Sedangkan pada waktu tersebut ada seorang ulama dari mazhab lain. Dalam keadaan begini dia boleh
bertanya kepada ulama tersebut bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Di sini saya ingin mengakhiri jawaban saya dengan merakamkan kisah saya dengan guru saya mengenai
persoalan di atas. Guru saya bernama Syeikh Al-Husaini, bermazhab Shafi’e dan merupakan seorang yang
amat dihormati lagi alim di Kuliah Syariah Universiti Al-Azhar Kaherah. Beliau digelar sebagai ‘Mughni as-Shogir’
atau “Mughni the Junior” merujuk kepada penguasaannya kepada kitab “Mughni” yang masyhur dalam
mazhab Shafi’e. Satu masa selepas habis pengajian saya bertanya kepada beliau seperti berikut:

Saya: “Ya Syeikh! Saya belajar mazhab Shafi’e dengan tuan dan tuan telah menceritakan pandangan-pandangan
yang sahih dan sebagainya dalam mazhab Shafi’e. Kemudian saya pergi belajar subjek feqah perbandingan yang
membahaskan sesuatu masalah dari pelbagai mazhab. Diakhir perbincangan, para ulama akan mentarjih (memilih
pandangan yang paling kuat) berdasar hujah-hujah yang dikemukakan oleh setiap mazhab. Kadangkala pandangan
yang ditarjih adalah pandangan mazhab lain. Boleh tak orang seperti saya yang bermazhab Shafi’e
mengikut pandangan mazhab lain yang ditarjih sebagai pandangan yang paling kuat?”

Syeikh Al-Husaini: “Boleh”. (jawabnya ringkas)

Sekian semoga huraian di atas dapat membantu persoalan yang ditanya.

Rujukan:
1) Usul Feqah, Prof. Abd Karim Zaidan.
2) Usul Feqah, Prof. Muhamad Abu an-Nur Zuhair.
3) Al-Ghiathi, Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini.
4) Majmu’ al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah.

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin

Setiausaha Majlis Ulama Isma

3 thoughts on “Beramal dengan Mazhab lain

  • March 19, 2010 at 7:43 am
    Permalink

    bagus, satu penjelasan yang terbuka dan bernas. tahniah MUIS.

  • March 28, 2010 at 1:39 pm
    Permalink

    Satu Pengetahuan yang berguna

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *