Kolumnis

Contoh Kesilapan Tafsir

PENDAHULUAN

Al-Qur’ān adalah sumber hidayah Allah SWT kepada manusia dan kitab pedoman dalam kita menjalani kehidupan di dunia ini agar tidak menyeleweng dari landasan yang di kehendaki oleh Nya.Bagi seorang yang beriman , setiap kehidupannya mesti diukur dan dinilai serta semampu mungkin dipadankan dengan kehendak Allah SWT .Lantaran itu , setiap isu yang timbul dalam kehidupan peribadi mahupun yang menyentuh isu kemasyarakatan cuba diselesaikan dengan panduan ini.Maka secara umumnya ,ada isu yang berjaya ditemui penyelesaiannya menerusi al- Qur’ān secara tepat istinbāt nya manakala ada pula yang tersasar dalam menjustifikasikan pandangannya apabila disandarkan kepada ayat-ayat al- Qur’ān dengan pemahaman dan pengertian yang tidak sepatutnya difahami begitu.Ketidak tepatan ini ini mungkin berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya ialah memahami ayat secara zahir tanpa meneliti sebab turunnya ayat berkenaan serta suasana ketika ayat itu diturunkan dan pengaruhnya terhadap konteks ayat .Begitu juga ta‘sub kepada pendapat aliran pemikiran tertentu telah menyebabkan ayat-ayat al- Qur’ān digunakan semata untuk menyokong pandangannya sahaja sehingga sampai ke tahap hanya membawakan sebahagian sahaja ayat al- Qur’ān dan meninggalkan sebahagian ayat yang lain dan memberi gambaran seolah-olah ayat berkenaan telah disempurnakan pemahamannya sekadar itu sahaja.

Mengikut al-Dhahabi , kesilapan yang sering berlaku dalam tafsir bi al-ra’y ialah pada dua perkara ,iaitu:

  1. Apabila seseorang al-mufassir mengkehendaki makna atau konsep tertentu ,kemudian ia cuba memaksakan lafaz-lafaz Qur’ān mahupun ayat-ayat al-Qur’ān tertentu agar selaras dengan makna atau konsep yang dikehendakinya.
  2. Apabila seseorang cuba menafsirkan ayat mahupun lafaz al- Qur’ān hanya berdasarkan makna lafaz yang sering diguna oleh orang-orang ‘arab sahaja tanpa meninjau latar belakang ayat ; siapa yang berbicara dengan ayat itu , kepada siapa ia berbicara dan kepada siapa ayat itu diturunkan.[1]

LATAR BELAKANG

Kertas perbincangan ringkas ini akan cuba membincangkan beberapa contoh kesilapan dalam penggunaan ayat –ayat al- Qur’ān yang digunakan sebagai dalil terhadap percubaan untuk menyelesaikan masalah.Dalam usaha untuk membawa contoh terhadap kesilapan ini ,penulis menfokuskan kepada 2 isu iaitu:-

  1. Penggunaan ayat 217 surah al-Baqarah sebagai dalil menolak cadangan supaya sekatan dibuat kepada jemaah haji dari menunaikan haji jika wabak H1N1 sukar lagi dikawal .
  2. Penggunaan ayat 26 dan ayat 31 surah al-A‘rāf, ayat 30,31 dan 60 surah al-Nūr dan ayat  59 surah al-Ahzāb sebagai ayat-ayat  yang menyokong penafsiran kesederhanaan dan kesopanan dalam berpakaian mengikut tafsiran pertubuhan Sisters In Islam.

1. ISU PERTAMA : Penggunaan ayat 217 surah al-Baqarah sebagai dalil menolak cadangan supaya sekatan dibuat kepada jemaah haji dari menunaikan haji jika wabak H1N1 sukar lagi dikawal

1.1 Latar belakang isu

Dalam satu wawancara bertajuk “H1N1 : Jangan Halang Tunai Haji “ telah disiarkan oleh  surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 4 Ogos 2009 berkenaan isu cadangan beberapa pihak ,agar disekat  jemaah haji dari menunaikan haji apabila wabak H1N1 memerbahayakan jemaah .Wawancara berkenaan berlaku antara wartawan dengan seorang tokoh masyarakat.Beliau melahirkan tidak bersetuju dengan cadangan menyekat jemaah haji dari menunaikan haji walaupun berlaku wabak penyakit berkenaan dengan berdalilkan ayat 217 surah al-Baqarah.

1.2 Penghujahan beliau

Berikut adalah petikan pandangan beliau dengan menggunakan ayat ini sebagai dalil

“Melarang umat Islam menunaikan haji juga adalah berdosa sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidilharam (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah…(al-Baqarah: 217)”[2]

1.3 Tinjauan kepada ayat berkenaan

Firman Allah SWT :

Terjemahan firman Allah SWT :

“mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).” (Surah al-Baqarah(2):217)

1.3.1 Sebab turunnya ayat ini(sabab al- nuzul)

Mengetahui sebab turun ayat sangat penting untuk kita mengetahui maksud ayat berkenaan dan menghuraikan kekeliruan .Al-Wahidi mengatakan bahawa tidak mungkin menafsirkan al- Qur’ān tanpa kita menyelidiki kisah disebaliknya dan latarbelakang penurunannya .Ibnu Daqiq al-‘Id pula mengatakan penjelasan terhadap sesuatu sabab al- nuzul merupakan jalan yang paling mantap untuk memahami makna al- Qur’ān.[3]

Antara faedah kita memahami sabab al- nuzul juga adalah kita akan mengetahui oarng yang dimaksudkan dengan penurunan sesuatu ayat berkenaan dan menjelaskan kesamaran.[4]

Sebab turunnya ayat ini ialah dilatari dengan peristiwa sariah ’Abdullah bin Jahsh  sebelum peperangan Badar bersama 8 orang Muhajirin yang telah membunuh ‘Amru bin al-Hadrami ,menawan 2 orang tawanan dan merampas barang dagangan Quraish .Peristiwa ini berlaku disebabkan ’Abdullah bin Jahsh menyangka bahawa mereka masih berada dalam hari terakhir bulan Jamad al-Akhir sedangkan sebenarnya telah masuk hari awal Rejab .Rejab adalah  salah satu bulan yang diharamkan berperang di dalamnya.Perbuatan mereka ini pada awalnya tidak dipersetujui oleh Rasulullah SAW menyebabkan celaan demi celaan dilontarkan kepada kumpulan sariah ini dan sudah tentu kesempatan ini telah digunakan sepenuhnya oleh orang Yahudi dengan menyebarkan di‘ayah bahawa orang Islam telah mencabuli konvensyen tidak boleh berlaku pembunuhan dan peperangan di dalam bulan-bulan Haram.[5]Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai penjelasan terhadap isu yang berlaku .

1.3.2 Kaitan ayat ini dengan sebelum dan selepasnya (munasabah bayna al-āyat)

 

Kaitan ayat ini dengan sebelum dan selepasnya (munasabah bayna al- ayat ) juga penting dalam usaha memahami kehendak ayat berkenaan khususnya untuk kita tidak tersasar dari tema ayat berkenaan.Kemungkinan ayat-ayat berkenaan mempunyai hubungan antara satu sama lain.Lebih-lebih lagi apabila ayat itu sukar difahami jika ia dibaca bersendirian dan terpisah dari yat selepas atau sebelumnya[6]

Apabila ditinjau kepada ayat sebelumnya , ia adalah kesinambungan dari ayat perintah jihad , kerana ayat 216 surah al- baqarah ini menceritakan tentang kewajipan tuntutan jihad itu bila-bila masa sahaja kemudian yang menjadi persoalannya samada perintah itu juga melampaui sekatan tempat seperti di masjid al-haram ,ataupun ia melangkaui sempadan masa seperti bulan-bulan haram berperang .Lebih-lebih lagi peristiwa sariah ’Abdullah bin Jahsh telah mengelirukan sebahagian muslimin dan telah diambil kesempatan oleh Yahudi.Ayat 217 ini adalah menjawab persoalan berkenaan.Namun ia masih dalam suasana menceritakan perihal jihad.

Apabila ayat ini dilihat kaitannya dengan frasa ayat berikutnya , kita mendapati bahawa tabiat orang yang memusuhi Islam ini ialah sentiasa berterusan dan akan  bertindak apabila mempunyai peluang [7].

Kesimpulannya ayat-ayat ini masih mempunyai tema jihad dan episod permusuhan antara antara iman dan kufur.

1.3.3        Kefahaman ayat

Adalah difahami dari ayat ini bahawa pembunuhan yang dilakukan dalam bulan Rejab oleh sariah yang diketuai oleh ’Abdullah bin Jahsh disebabkan kesilapan perhitungan tarikh , sebenarnya kalau dibandingkan dengan jenayah orang mushrikin yang selama ini memerangi umat Islam ,menghalang mereka dari jalan kebenaran setelah mereka mengkufurinya , malah menghalau orang Islam dari kampung halaman sendiri adalah jenayah yang jauh lebih serius dari pembunuhan yang dilakukan disebabkan silap perhitungan bukan disengajakan.[8]

1.3.4 Kesimpulan

Perbandingan yang dibuat antara sabab al- nuzul , munasabah bayna al- ayat dan kefahaman ayat dengan kesimpulan yang dibuat untuk menjustifikasikan pandangan menolak cadangan menghalang jemaah haji dari menunaikan haji jika wabak H1N1 tidak terkawal dilihat sebagai menggunakan ayat diluar konteks nya .Apabila merujuk kepada kitab tafsir aliran fiqh pun , kita tidak mendapati isu fiqh yang diperbincangkan mengenai hukum melarang orang Islam dari menunaikan haji ; tetapi perbahasan adalah mengenai samada ayat ini dinasakhkan atau tidak.[9]

2. ISU KEDUA: Penggunaan ayat 26 dan ayat 31 surah al-A‘rāf, ayat 30,31 dan 60 surah al-Nūr dan ayat 59 surah al-Ahzāb sebagai ayat-ayat  yang menyokong penafsiran kesederhanaan dan kesopanan dalam berpakaian mengikut tafsiran pertubuhan Sisters In Islam.

2.1 Latar belakang isu

Isu penguatkuasaan undang-undang mengenai pakaian dan kelakuan orang-orang Muslim dengan  penangkapan dan pendakwaan tiga peserta Muslim pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Petite oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) digambarkan oleh Sisters In Islam sebagai mencerminkan sikap misogynist (membenci wanita).

Satu kenyataan akhbar telah dilakukan oleh pertubuhan ini dan telah disiarkan oleh beberapa buah akhbar tempatan seperti Berita Harian ,Utusan Malaysia dan The New Straits Times.[10]Kenyataan ini juga masih dipamerkan dalam laman sesawang rasmi pertubuhan ini[11].Dalam kenyataan akhbar berkenaan , pertubuhan ini telah menggunakan beberapa ayat al- Qur’ān seperti ayat 26 dan ayat 31 surah al-A‘rāf, ayat 30,31 dan 60 surah al-Nūr dan ayat  59 surah al-Ahzāb untuk menjustifikasikan pandangan mereka.

2.2 Tinjauan kepada ayat-ayat berkenaan

2.2.1 Ayat 26 surah al-A‘rāf

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Terjemahan ayat 26 surah al-A‘rāf)

2.2.2 Ayat 31 surah surah al-A‘rāf

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (terjemahan ayat 31 surah surah al-A‘rāf)

2.2.3 ayat 30,31 surah al-Nūr

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.

dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Terjemahan ayat 30,31 surah al-Nūr)

2.2.4 ayat 60 surah al-Nūr

“dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (terjemahan ayat 60 surah al-Nūr)

2.3 Penghujahan Sisters In Islam

Pertubuhan ini telah menggunakan ayat-ayat ini walaupun menggunakan pendekatan mengambil hanya sebahagian daripada  keseluruhan ayat berkenaan dan membuat beberapa kesimpulan ; antaranya ialah

2.3.1        Dalam semua perbincangan mengenai soal pakaian, selalunya ramai yang mempercayai bahawa penelitian mengenai pakaian muslimah telah ditentukan secara terus terang oleh al-Qur’an. Pendapat ini adalah tidak tepat.

2.3.2   Perbincangan mengenai pakaian di dalam al-Qur’an berkisar di sekeliling konsep kesopanan dan keserderhanaan (modesty): kesopanan dalam peradaban dan pakaian; dan, pakaian yang menutup kemaluan. Surah al-A’raaf, 7:26, menyebut tentang pakaian untuk menutup aurat, dan pakaian perhiasan yang indah; tetapi ianya menegaskan bahawa “pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya”. Seterusnya di dalam ayat 31 surah yang sama Allah swt berfirman: “pakailah pakaian kamu yang indah berhias” pada tiap-tiap kali kamu beribadat tetapi “janganlah melampaui batas”.

Dalam hal menutup tubuh badan kita, kesopanan yang dimaksudkan adalah supaya kita menutup segala yang ‘aib, yakni kemaluan kita (‘awrah sebenarnya (literal)) yang tidak boleh sengaja didedahkan. Kedua-dua ayat ini bila difaham bersama menuntut supaya kita menutup ke’aiban kita. Tetapi apa yang lebih bermakna di sini adalah bahawa al-Qur’ān menekankan perihal pentingnya taqwa berbanding dengan kain yang menutupi tubuh kita, tidak kiralah betapa banyak atau kurang.[12]

2.3.3   Pada zaman itu, ayat-ayat awal mengenai kesederhanaan dan kesopanan terkandung di dalam Surah an-Nur, 24:30-31, di mana kedua-dua lelaki dan wanita digesa “menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka”. Surah an-Nur, 24:31 menggesa wanita supaya jangan mendedahkan kecantikan mereka selain dari apa yang dianggap sopan dan menyuruh wanita “menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala [khimar] mereka”.

Tudung kepala atau khimar yang dimaksudkan ini dilihat oleh seseparuh para sarjana sebagai selendang perhiasan yang sering dipakai oleh wanita Arab di zaman jahiliyyah yang dibiar meleret di belakang mereka; sejajar dengan fesyen ketika itu, leher baju wanita begitu luas hingga mendedahkan dada mereka. Oleh yang demikian, perintah menutup belahan leher baju wanita dengan khimar tidak semestinya bermaksud penggunaan khimar itu sendiri. Tafsiran surah tersebut mengutarakan bahawa perintah berkenaan menjelaskan yang bahagian dada wanita tidak termasuk dalam bahagian badan “yang zahir padanya” yang boleh didedahkan.[13]

2.3.4   Ayat terakhir dalam Surah an-Nur mengenai kesederhanaan pakaian, 24:60, membenarkan wanita “yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi” menanggalkan pakaian luar mereka tanpa bertujuan menayang kecantikan mereka.[14]

2.3.5   Jika kita berpandukan ayat-ayat mengenai kesederhanaan peradaban dan pakaian ini, wanita yang suka menunjuk-nunjukkan apa yang tidak seharusnya didedahkan (an-Nur 24:31) tidak patut diganggu atau pun tidak dihormati (al-Ahzab 33:59), kerana al-Qur’an menyuruh kita menyekat pandangan kita dari terus melihat mereka. Inilah tindakan sewajarnya. Menurut al-Qur’an pakaian yang paling baik adalah taqwa (al-A’rāf 7:26).[15]

2.4 Ulasan terhadap pemahaman ayat-ayat ini

Pemahaman pertubuhan ini terhadap ayat-ayat berkenaan dilihat hanya menyokong idea pertubuhan berkenaan mengenai penekanan bahawa kononnya tiada kod berpakaian yang ditentukan oleh Islam menerusi al-Qur’ān bahkan yang lebih penting ialah taqwa , bukannya pakaian yang menutup ‘aurah di samping mereka menafsirkan ‘aurah itu adalah kemaluan sahaja.Pendekatan yang mereka ambil dalam memahami ayat-ayat ini adalah pendekatan mendahulukan ‘aqal dari meneliti ayat ini bersudutkan tafsiran al-naqli.

Menerusi sabab al-nuzūl ayat 31 surah al-A‘rāf kita memahami bahawa perbuatan bertelanjang ketika melakukan tawaf di Bait Allah adalah perbuatan melampau sehingga di turunkan ayat ini .[16]Jelas kepada kita perbuatan mendedahkan tubuh badan khususnya anggota-anggota yang menaikkan shahwat ketika memandang kepadanya adalah perbuatan yang melampau.

Para al-mufassirun mengemukakan beberapa pandangan beberapa tokoh sahabat dan tabi‘en ketika membuat penerangan mengenai libās al-taqwa itu antaranya ‘Ikrimah mengatakan libās al-taqwa ialah pakaian yang dipakai oleh orang-orang yang bertaqwa pada hari qiamat ,Zaid bin Ali , al-Suddi ,Qatadah dan Ibn Juraij berpandangan libās al-taqwa ialah al-iman manakala al-‘Ufi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas pula berpandangan libās al-taqwa ialah ‘amal soleh .‘Urwah bin al-Zubair pula pula berpandangan libās al-taqwa ialah ‘takutkan Allah[17].

Adakah ayat ini membawa maksud yang penting hanya taqwa di dalam hati , justru itu pakailah apa sahaja pakaian !

Adalah lebih baik kita melihat juga ayat-ayat al-Qur’an secara menyeluruh .Ayat 59 surah al-Ahzab membawa arahan Allah SWT agar penampilan berpakaian bagi isteri-isteri , puteri-puteri Rasulillah SAW serta wanita-wanita mukminat mestilah berbeza dan mempunyai identiti tersendiri demi untuk membezakan diri mereka dengan wanita-wanita hamba dan wanita-wanita yang jahat bahkan mereka akan dikenali sebagai wanita yang dihormati lantaran itu mereka terselamat dari gangguan.Ini membawa maksud dari sudut penampilan pun Islam sudah memberikan perhatian.

Dalam memberi penjelasan perkataan jalabīb Ibnu Jarir al-Tobari membawa berbagai riwayat mengenai bentuk umum pakaian berkenaan  yang dapat disimpulkan sebagai pakaian yang luas yang menyelimuti seluruh tubuh .[18]

Menelusuri ayat-ayat al-Qurān seterusnya yang berkaitan dengan etika berpakaian di kalangan wanita Islam , kita juga akan mendapati perbahasan mengenai keizinan untuk mendedahkan  “perhiasan yang zahir “ telah menimbulkan beberapa pandangan ulama’ mengenai anggota badan yang boleh didedahkan seperti muka dan tapak tangan serta perhiasan-perhiasan zahir .Penelitian terhadap kitab-kitab tafsir yang muktabar ,kita tidak mendapati pandangan yang boleh mendedahkan tubuh badan secara bebas khususnya anggota-anggota badan yang merangsang shawat lelaki yang memandangnya .

Imam al-Tobari membawa pandangan Ibn Mas’ud mengenai perhiasan yang dibenarkan untuk dizahirkan selepas membahagikan perhiasan itu terbahagi kepada dua ; yang zahir seperti pakaian lapisan luar dan yang batin seperti kalung , rantai leher dan sebagainya.

Manakala pandangan Ibnu ‘Abbās pula menyatakan perhiasan yang zahir itu ialah seperti cincin , gelang dan muka .Sa’id bin Jubair pula memberi pandangan perhiasan yang zahir itu ialah muka dan kedua tapak tangan.Ada juga pandangan-pandangan sahabiy dan tabi’en lain yang menambah perhiasan yang zahir itu seperti celak dan sebagainya .Namun tiada satu pandanganpun yang meletakkan rambut sebagai perhiasan yang dibenarkan untuk didedahkan.[19]

Ayat 31 surah Al-Nur juga menjelaskan lagi betapa perlunya wanita yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan arahan supaya mereka mengenakan kain tudung menutupi leher , tengkok dan belahan dada mereka dan hanya boleh didedahkan oleh kepada orang-orang yang dibenarkan sahaja .Ini satu bentuk kemuliaan kepada para wanita setelah sekelian lama golongan ini menjadi pertikaian dari sudut samada mereka ini manusia atau berstatus seperti barangan. Mereka wajib berpakaian yang menutup belahan leher baju mereka (juyubihinna) dan mengenakan tudung yang menutup kepala mereka [20].Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai suasana yang berlaku sejurus selepas turun ayat ini , Sayyid Qutb telah memaparkan beberapa riwayat hadith betapa para mukminat ketika itu bertindak balas secara spontan patuh kepada  ayat berkenaan[21]

Gesaan agar menjaga pandangan adalah gambaran betapa Islam tidak hanya ditegakkan dengan penekanan terhadap hukuman (‘uqubah)tetapi lebih tertumpu kepada aspek pencegahan (al-wiqayah) di samping ,menyusun semula runtunan naluri kemanusiaan ke landasan yang sebenar dan menyempitkan segala ruang-ruang yang boleh menyuburkan tuntutan naluri bermaharajalela menerokai segala batasan .[22]Ini adalah usaha untuk mewujudkan masyarakat yang bersih (al-mujtama’ al – nazif) dan dapat membezakan dengan masyarakat haiwan .[23]

KESIMPULAN.

Pandangan pertubuhan ini yang mengatakan bahawa di dalam al-Qur’ān seperti tidak ada membataskan etika berpakaian untuk muslimah adalah tidak benar apabila kita meneliti keseluruhan mafhum dari ayat-ayat di atas.

Pemahaman kita terhadap ayat di atas menerusi fakta-fakta sabab al-nuzul , munasabah al-āyat , pandangan dari mufassirun yang menaqalkan pandangan para sahabat dan tabi‘en dan fakta-fakta hadith yang sahih membawa kita kepada pandangan bahawa wanita muslimah wajib menutup ‘aurah mereka .Batasan ‘aurah mereka adalah seluruh tubuh badan mereka kecuali muka dan tapak tangan dengan pakaian longgar yang menutupi keseluruhan badan lebih-lebih lagi anggota-anggota yang cepat merangsang shahwat orang yang memandangnya seperti belahan dada dan sebagainya .Namun begitu Al-Qur’ān tidak menetapkan bentuk tertentu  pakaian berkenaan asalkan sahaja pakaian itu menepati kehendak Al-Qur’ān dalam isu “apa yang wajib ditutup”. Ini memberi ruang kepada muslimah untuk memakai pakaian yang sesuai dengan budaya , iklim dan cita rasa masing-masing asalkan‘aurah terjaga. Al-Qur’ān juga sangat meraikan naluri kewanitaan untuk berhias , maka Al-Qur’ān membenarkan untuk memperlihatkan perhiasan-perhiasan zahir , itupun bukan untuk bermegah-megah.Begitu juga Al-Qur’ān memberikan rukhsah kepada wanita-wanita lanjut usia atau warga emas untuk menanggalkan pakaiannya yang sebelah luar , walaubagaimanapun rukhsah ini diikat dengan syarat bukan untuk berhias di samping memberikan galakkan untuk mengekalkan pemakaian pakaian lapis luar itu .

Namun satu aspek yang terpenting dalam mematuhi perintah Allah dalam etika berpakaian bagi muslimah ialah biarlah dorongan utama mematuhi etika berpakaian ini ialah iman , taqwa , rasa gerun ,cemas dan takut kepada Allah kerana berpakaian begitu adalah manifestasi iman dengan jelmaan ‘amal soleh .Kalau begitu keadaannya ,maka terpadulah iman di dalam hati dengan penampilan sebagai seorang yang beriman menerusi penampilan pakaiannya, kerana mungkin sahaja di kalangan hamba Allah yang berpakaian sudah menepati kehendak Al-Qur’ān namun bukan atas dorongan iman .Orang ini tidak akan konsisten dalam amalan pemakaiannya bahkan pemakaiannya itu gagal menggambarkan apa yang terkandung di dalam hatinya , maka tidak susah untuk  kita menemui wanita –wanita yang menutup ‘aurah tetapi masih mengumpat , melakukan maksiat dan sebagainya .

Namun tidak benarlah juga kefahaman bahawa yang lebih  penting taqwa itu bukannya penampilan pakaian atau dengan lain perkataan pakailah apa sahaja walaupun tidak menutup ‘aurah kerana taqwa hanya akan dicapai apabila perintah Allah ditaati dan tidak dimaksiati [24]termasuklah mentaati arahan menutup aurat ini.

Ustaz  Zamri bin Hashim
Sekretariat Majlis Ulama ISMA

BIBLIOGRAFI

Dr Mohammad Hussayn al-Dhahabi(1986),al-Ittijahat al-Munharifah fi tafsir al-Qur’an al-Karim ,cet 3,Kaherah:Maktabah Wahbah Rujuk kitab itqan , manahil

Al-Suyuti ,Jalal al-Dīn Abd al-Rahmān (1987),al-itqān fi ‘ulūm al-Qur’ān,Beirut :Dar Ibn Kathīr ,hal 93

Al-Biqa‘ī Ibrahim bin ‘Omar bin Hassan al-Ribat bin ‘Ali bin Abi Bakr(2006) ,Nazm  al-Durar fi tanāsub al-ayāt wa al-suwār,cet 3, Beirut : Dar al-kutub al-Ilmiyyah hal 325 jilid 1

Al-Wahidiyy ,Abu al-Hassan ‘Ali bin Ahmad (1991),asbab al-nuzul.al-Dammam:dar al-islah cet pertama ,

Al-Qurtubi ,Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-ansari(1986),al-Jami‘ li ahkām al-Qur’ān,al-Qāhirah:al-Hay’ah al-Misriyyah al- ‘ammah li al-kitab Juzuk 3 hlm 40-46

Ibnu Kathīr , al-Hafiz ‘Imad al-Dīn Abi al-Fidā’ Isma’īl, ( 1990   ),Tafsīr al-Qur’ān al-‘Azim , Dimashq ;Dār al-Khayr Juz 2 hal 271

Al-Tobari ,Abu Ja‘far Muhammad bin Jarīr(1992), Jami al-bayān fi ta’wīl al-Qur‘ān,Beirut:Dar al-kutub al-‘ilmiyyah Juzuk 10 hlm 331-332

Sayyid Qutb (1990),fi zilāl al-Qur’ān ,Kaherah: Dar al-Shurūq ,cet 16, hal 2513 jilid 4

Sisters In Islam ,http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/08081997.htm-6 Oktober 2009

UtusanOnline http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm dirujuk pada 9 Oktober 2009.

 

 

 


[1] Dr Mohammad Hussayn al-Dhahabi(1986),al-Ittijahat al-Munharifah fi tafsir al-Qur’an al-Karim ,cet 3,Kaherah:Maktabah Wahbah hal 20.

[2] http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm dirujuk pada 9 Oktober 2009.

[3] Al-Suyuti ,Jalal al-Dīn Abd al-Rahmān (1987),al-itqān fi ‘ulūm al-Qur’ān,Beirut :Dar Ibn Kathīr ,hal 93

[4] Ibid ,hal 95.

[5] Al-Wahidī ,Abu al-Hassan ‘Ali bin Ahmad (1991),asbāb al-nuzūl.al-Dammām:Dar al-Islāh,hlm 68-71

[6] Al-Suyuti ,Jalal al-Dīn Abd al-Rahmān (1987),op.cit hal 978.

[7] Al-Biqa‘ī Ibrahim bin ‘Omar bin Hassan al-Ribat bin ‘Ali bin Abi Bakr(2006) ,Nazm  al-Durar fi tanāsub al-ayāt wa al-suwār,cet 3, Beirut : Dar al-kutub al-Ilmiyyah hal 325 jilid 1

[8] Ibnu Kathīr , al-Hafiz ‘Imad al-Dīn Abi al-Fidā’ Isma’īl, ( 1990   ),Tafsīr al-Qur’ān al-‘Azim , Dimashq ;Dār al-Khayr Juz 2 hal 271

[9] Al-Qurtubi ,Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-ansari(1986),al-Jami‘ li ahkām al-Qur’ān,al-Qāhirah:al-Hay’ah al-Misriyyah al- ‘ammah li al-kitab Juzuk 3 hlm 40-46

[10] http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/08081997.htm

[11] http://www.sistersinislam.org.my/BM/advokasi-skp.htm- 6 oktober 2009

[12] Ibid

[13] Ibid

[14] Ibid

[15] Ibid

[16] Al-Wahidiyy ,Abu al-Hassan ‘Ali bin Ahmad (1991),asbāb al-nuzūl.al-Dammam:dar al-islah,hlm 225-226

[17] Ibnu Kathir .op.cit jilid 8 hal 232

[18] Al-Tobari ,Abu Ja‘far Muhammad bin Jarīr(1992), Jami al-bayān fi ta’wīl al-Qur‘ān,Beirut:Dar al-kutub al-‘ilmiyyah Juzuk 10 hlm 331-332

[19] Ibid hal 303-306 jil 9

[20] Ibnu Kathīr , al-Hafiz ‘Imad al-Dīn Abi al-Fidā’ Isma’īl, ( 1990   ),op.cit hal 312

[21] Sayyid Qutb (1990),fi zilāl al-Qur’ān ,Kaherah: Dar al-Shurūq ,cet 16, hal 2513 jilid 4

[22] Ibid hal 2507

[23] Ibid hal 2511

[24] Lihat tafsir al- Al-Qur’ān al-‘azim ketika pentafsiran ayat 102 surah āli ‘Imrān.

One thought on “Contoh Kesilapan Tafsir

  • muhammad firdaus

    pertubuhan ini seolah-olah pertubuhan anti hadis,

Leave a Reply