Mengapa Tilawah Tidak Menggetarkan Hati ?

INI 7 CARA UNTUK MENGEMBALIKAN FOKUS KITA KEPADA AL-QURAN

Kita yakin bahawa Al-Quran merupakan wasilah penting untuk penambahan iman iaitu melalui mau’izah-Nya (peringatan) yang jelas memberi kesan kepada perasaan dan menggegarkannya. Dengan itu tercetuslah interaksi antara fikiran dan emosi.

Sepertimana yang disebut dalam surah al Anfal ayat 2 :

(إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِینَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَإِذَا تُلِیَتۡ عَلَیۡهِمۡ ءَایَـٰتُهُۥ زَادَتۡهُمۡ إِیمَـٰنࣰا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ یَتَوَكَّلُونَ)

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal”.

Tapi mengapa getaran itu tidak terasa dalam diri kita saat kita membacanya?

Sedangkan, nilai Al-Quran terletak pada maknanya, kemampuannya mencetus perubahan, mengembalikan kesegaran minda dan membangkitkan roh dalam hati pembacanya?

Nilai ini tidak akan terhasil jika hanya membaca Al-Quran sekadar atas lisan sahaja, walaupun telah khatam Al-Quran beribu kali dengan cara ini.

Ibnu Mas’ud pernah berkata: “Janganlah kamu membaca al-Quran dengan cepat sebagaimana kamu membaca syair”.

Jangan juga kamu lupa untuk perhatikan ayat-ayat-Nya. Gerakkanlah hati dengannya.

Jangan jadikan fokus utama kami untuk menghabiskan akhir surah itu”.

Rupanya selama ini kita tersilap cara berinteraksi dengan Al-Quran, tilawah kita hanya untuk menghabiskan target atau sasaran harian.

Jauh sekali kita menelaah maksud dan menghayati apa yang pengajaran yang disampaikan.

Untuk mengubah cara membaca Al-Quran (tanpa tadabbur) yang dibiasakan selama ini mungkin pada permulaannya akan susah, tapi tidak mustahil.

Terdapat beberapa cadangan langkah-langkah praktikal untuk membantu mengembalikan fokus kita kepada Al-Quran. Antaranya:

1. Sibukkan diri dengan Al-Quran

Jangan biarkan seharian berlalu tanpa kita bertemu dengannya. Berikan dan lapangkan masa yang banyak untuk Al-Quran.

2. Sediakan suasana yang sesuai

Cari tempat yang tenang dan jauh dari hiruk pikuk, bagi memberi ruang untuk fokus, mudah faham apa yang dibaca dan dapat menghayati perasaan kita.

3. Baca secara perlahan-perlahan

Jika sebelum ini tilawah kita untuk berlumba menghabiskan khatam 30 juz, sekarang kita ubah perlumbaan dalam memahami makna-makna ayat Al-Quran pula.

4. Fokus dan menumpukan perhatian ketika membaca

Baca dengan minda yang sedar. Ketika terleka seketika, ulang semula ayat yang terlepas dari minda kita. Sepertimana kita membaca novel, bila ada yang tak difahami atau terlepas dari pandangan, tentu sekali kita cuba untuk mengulang kembali bacaan untuk faham apa perkaitan dengan kisah atau penceritaan yang sebelumnya.

5. Berinteraksi dengan ayat Al-Quran

Cuba respon kepada ayat-ayat al-Quran dengan menjawab persoalan, arahan untuk bertasbih, tahmid atau istighfar. Begitu juga ketika melalui ayat-ayat doa, sujud tilawah dan sebagainya.

Ketika terbaca ayat-ayat keindahan syurga, berdoalah agar layak menghuninya, sebaliknya bila terjumpa ayat tentang kedahsyatan azab neraka, berta’awwuz lah dan minta perlindungan agar dihindari darinya.

6. Jadikan pengertian ayat sebagai tujuan kita.

Mendalami setiap patah perkataan tentunya sukar, ia akan menimbulkan rasa bosan dan menyebabkan kita kembali dengan cara tilawah yang dahulu.

Cara mudah untuk tilawah dan tadabbur sekaligus adalah dengan melihat maksud umum satu-satu ayat itu, tidak perlu mendalami setiap patah perkataan pun kita mampu memahami maksud yang ingin disampaikan.

7. Ulang-ulang perkataan yang mengesani hati

Ini adalah cara paling penting yang dapat membantu kita mengambil manfaat daripada Al-Quran.

Kerana getaran jiwa saat mendengar kalam Allah kerana iman yang hidup, bukan hanya dari akal yang faham.

*Sumber rujukan: Bagaimana mengambil manfaat dari Al-Quran (Dr Majdi Al-Hilali)

****

Ubah cara tilawah kita,

Getarkan jiwa, gegarkan dunia.

اللهم اجعلنا من أهل القرآن الذين هم أهلك وخاصته

Ustazah Zainab Husna Hussen
Penyelidik MUIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 200 access attempts in the last 7 days.